Sempena Bulan Kesedaran Autisme GPSBestari membawakan bingkisan perkongsian Puan Noorjahan Sultan membesarkan anak autisme berdasarkan pengalaman peribadi.

Apabila permata hati kita didiagnosis sebagai autisme atau apa juga ketidakupayaan, sebagai manusia kita akan menjadi tidak keruan dan ada juga antara kita yang tersekat di zon penafian.

Saya dan suami juga melalui fasa tersebut. Pun begitu sebagai pendidik saya terpanggil untuk berkongsi kisah kami menggunakan medium maya Facebook; sebagai satu usaha untuk mewujudkan kesedaran dan mungkin boleh dijadikan rujukan kepada ibu bapa dan guru yang terlibat secara langsung dengan anak-anak autisme.

Berikut adalah prinsip 7R yang boleh dijadikan panduan.  

Prinsip ini adalah intipati dari slot “Sesi Perkongsian Istimewa” saya sempena Mesyuarat Agung Tahunan PIANiS (Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang) pada 02 Mac 2019 di UIA, Kuantan.

1. Reda

Pertama sekali sebagai manusia, kita harus reda dengan ketentuan Tuhan. Janganlah kau bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman.              

Ali Imran ayat 139

Reda adalah sesuatu yang spiritual dan eksklusif. Ia adalah satu titik di mana kita mula menerima tanpa mempersoalkan ketentuan takdir. Berbicara tentang reda saya pasti setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri yang kadangkala tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Mencari hikmah dan menemui reda tiada satu durasi yang standard. Sering kali bibir cuba melafaz reda namun masih beriringan dengan tangisan dan keluhan. Ia satu proses berbaik sangka dengan pencipta. Laluilah; hadaplah; sehingga bertemu dengan hikmah dan seterusnya reda.

2. Rancang

Dalam apa jua senario, perancangan amat penting. “If you fail to plan, you are planning for a failure” - Benjamin Franklin

Ya, begitu besar dan pentingnya merancang. Kenal pasti isu dan masalah. Susun mengikut keutamaan. Rancang dan laksana mengikut kemampuan.

Perancangan yang teliti dan komprehensif akan memberi kesan yang positif kepada perkembangan anak. Melalui perancangan ibu bapa/guru dapat menentukan kemahiran, pengetahuan dan nilai yang hendak dicapai. Dalam proses perancangan juga akan ditentukan konteks ilmu, gaya pembelajaran, tempoh, bahan bantu belajar dan strategi pelaksanaan.

Perancangan yang berkesan akan dapat memastikan masa dimanfaatkan dengan perkara yang berfaedah seterusnya memberi impak yang bermakna kepada anak/pelajar. Selain itu, perancangan dan pelaksanaan yang baik juga dapat menentukan kelebihan dan kelemahan anak/pelajar. Dapatan ini dapat membantu ibu bapa/guru untuk membina perancangan baharu yang lebih tersusun dan sistematik mengikut keupayaan anak/pelajar.

3. Runding

Setiap perkara yang dirancang sebaiknya dirujuk kepada pakar bidang atau individu yang berilmu dalam perkara tersebut. Dalam konteks ini, kita sebagai ibu bapa/guru lazimnya mempunyai hipotesis yang tersendiri. Bagi memastikan kita berada dalam landasan yang betul kita perlu mengadakan perbincangan berbagai hala. Rundingan bersama pakar perubatan/psikiatri/guru/rakan sekasut amat membantu kita membina KPI untuk anak/pelajar berkeperluan khas. RPI adalah satu contoh rundingan yang efektif bagi anak-anak berkeperluan khas.

Akta Pendidikan bagi Individu Kurang Upaya atau IDEA (Individuals With Disabilities Education Act) merupakan peraturan persekutuan, yang turut merangkumi penyediaan proses formal bagi menjalankan penialaian terhadap murid kurang upaya serta menyediakan program dan perkhidmatan khusus untuk membantu mereka berjaya dalam pendidikan di sekolah.  (Siegel 2009).

Di bawah IDEA, program dan perkhidmatan yang diperlukan oleh individu kurang upaya akan ditentukan menerusi Rancangan Pengajaran Individu (RPI). RPI merupakan dokumen bertulis yang menjelaskan tentang perkhidmatan yang akan disediakan untuk pelajar, dan ini merupakan bahagian yang sangat penting dalam pendidikan bagi individu  kurang upaya (Siegel 2009).

RPI boleh dirancang secara khusus dan “custom made”. Ia juga merupakan satu proses mendokumentasikan segala pengubahsuaian, pencapaian dan strategi ke atas program pembelajaran serta perkhidmatan yang disediakan.

RPI berfungsi sebagai satu instrumen yang menentukan kerjasama dan kolaborasi antara sekolah, ibu bapa dan pelajar khususnya. Ia boleh juga melibatkan sukarelawan/NGO atau agensi swasta.

RPI pada dasarnya adalah satu pernyataan ringkas tentang:

    Tahap prestasi seseorang pelajar.

    Perancangan yang merangkumi aspek akademik dan bukan akademik.

    Matlamat tahunan/bulanan/mingguan yang boleh dicapai oleh murid.

    Maklumat yang mengandungi satu siri objektif yang boleh diukur bagi setiap matlamat yang dikenal pasti.

    Objektif, prosedur dan urutan penilaian bagi menentukan pencapaian berhubung dengan perkhidmatan yang diperlukan oleh murid.

    Perancangan jangka masa dan tarikh perkhidmatan yang disediakan untuk murid.

    Satu perancangan dan persediaan untuk membantu murid berkeperluan khas menghadapi dunia sebenar.

4. Realistik

“Be optimistic but remain realistic”. Kita semua mahukan yang terbaik untuk anak/pelajar kita. Pun begitu dalam menangani anak berkeperluan khas kita harus ingat mereka adalah istimewa. Cara mereka menguasai ilmu, kemahiran dan nilai adalah berbeza. Keupayaan menaakul dan membina konsep serta pengalaman juga berbeza. Dalam hal ini saya berpegang pada prinsip “do something slowly but surely”. Saya juga menyenaraikan “keutamaan” dan bertindak mengikut susunan. Misalnya adab mendahului ilmu. Saya percaya dengan kaedah yang betul semua anak/pelajar boleh belajar. Yang berbeza adalah kadar masa dan kuantiti yang mampu dikuasai. Justeru dalam membina RPI kita perlu lebih telus, realistik dan praktikal.

5. Rangsang

Persekitaran yang kaya dengan rangsangan adalah penting untuk memastikan individu berkeperluan khas membesar secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan akal. Anak/pelajar istimewa belajar paling berkesan melalui peniruan. Justeru adalah penting mereka disajikan dengan tatacara yang harmoni dan perbualan yang santun agar mereka meneladani tingkahlaku dan tuturkata yang baik.

Antara rangsangan yang memberikan impak positif kepada anak/pelajar berkeperluan khas ialah hubungan dengan alam sekitar; (nature walk/haiwan peliharaan), hubungan dengan anggota keluarga, hubungan dengan rakan, hubungan dengan “permainan” (permainan yang merangsang pemikiran; congkak, chess, karom dll)  dan hubungan dengan “peranti” (dalam tempoh yang dibenarkan dan tujuan pendidikan.

6. Rai

Setiap pencapaian adalah kejayaan dan setiap kejayaan perlu dirai. Meraikan pencapaian akan meningkatkan keyakinan seseorang individu. Meraikan pencapaian juga akan memotivasikan individu tersebut untuk mengekalkan satu-satu tingkahlaku dan nilai. Kejayaan yang dirai akan menyuntik semangat untuk terus berusaha dengan gigih agar lebih banyak pencapaian dapat diraih. Dan yang paling penting bagi anak istimewa ialah perasaan dihargai meskipun pencapaian yang dirai itu adalah satu kejayaan yang lazim atau kecil.

7. Refleksi

R yang terakhir ialah refleksi. Setiap proses pengajaran dan pembelajaran mesti diakhiri dengan refleksi. Refleksi adalah satu proses melihat kembali kejayaan dan kegagalan satu-satu proses pembelajaran. Melalui refleksi kita dapat menentukan gaya pembelajaran, mengenal pasti minat bahkan boleh mencungkil potensi, Melalui proses ini juga kita dapat membuat kesimpulan dan merancang untuk RPI yang berikutnya.

“Di sebalik kemenjadian setiap anak istimewa ada sekelompok dewasa yang tidak pernah berputus asa”. Noorjahan Sultan

*****

Penulisan ini adalah perkongsian pengalaman peribadi kami sekeluarga dalam membesarkan anak autisme.

Saya bercerita tentang Rafique sejak mula didiagnos dalam album “My Second Heart” sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran dan sebagai panduan kepada yang memerlukan.

Semoga bermanfaat.

#AutismSpectrum

#MySecondHeart

https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10208383295899130&type=3