Shah Alam - Pengasas modul Soleh English (SE) Mohd Ridzuan Abdul Ghani memperkenalkan doa khas setiap kali memulakan kelas bahasa Inggeris.

Beliau yang dikenal sebagai Coach Ridz berkata, doa itu bagi membantu meluruskan niat dan memimpin pelajar memaksimumkan pahala sepanjang proses pembelajaran.

"Bahasa Inggeris bukan sekadar subjek akademik tetapi ia adalah Fardu Kifayah. Proses belajar dan praktis bertutur BI adalah proses yang mendatangkan pahala dan dikira sebagai amal soleh," katanya.

Beliau bersama isteri, Rasheedah Zakariya atau Coach Sha telah berkecimpung dalam pengendalian kelas Bahasa Inggeris sejak 2003.

"Dan kami bercita-cita mahu membawa modul SE ini ke seluruh pelosok dunia khususnya dunia Islam," katanya.

Katanya, doa itu dikenal sebagai 'Doa for Learning English' berbunyi:

“O ALLAH Al ‘Alim please help me be good at English

So I can read, write, speak and listen and be a better servant.

O ALLAH Ar Raheem lease help me be good at English

So I can use it to serve the ummah and follow Rasulullah saw.”

Kata beliau, kemahiran  berbahasa Inggeris biasanya dilihat sebagai alat untuk mendapatkan habuan dunia semata-mata.

Namun, setelah berpuluh tahun bahasa Inggeris diajar di negara kita, masih ramai yang belum mampu menguasai sepenuhnya.

"Kami yakin, jika bahasa Inggeris dipelajari untuk niat yang lebih besar dan mulia, bantuan daripada Pencipta bahasa itu sendiri pasti akan hadir," katanya.

Program Soleh English yang diadakan di Karangkraf babitkan 60 peserta pada 24 September lalu.

Menurutnya, bagi membantu lebih ramai ummat Islam terdedah dengan bahasa Inggeris yang Soleh, mereka memerlukan bantuan dan sokongan khususnya guru bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah dan pra-sekolah.

“Kami menyediakan alat bantu mengajar dan sokongan dari segi latihan untuk semua guru yang mahu menggunakan SE sebagai modul utama atau sampingan dalam sesi kelas mereka.

“Pemerolehan Bahasa di peringkat umur ini sangat penting dan berkesan. Kami sudah sediakan lagu-lagu 'Nursery Rhymes' yang berlirikkan kenal ALLAH, saying Nabi dan suka al-Quran untuk diserap oleh anak-anak ini,” katanya.

Menurut Coach Ridz lagi, melodi semua 10 lagu yang mereka perkenalkan adalah melodi biasa dalam lagu kanak-kanak berbahasa Inggeris.

Peserta berlumba melancarkan bacaan lagu 'Going to the Masjid' dengan cara 'read in chunks, ' iaitu potong ayat yang panjang menjadi frasa pendek.

Semuanya akan dikembangkan menjadi modul pembelajaran yang berpanjangan dan di hujungnya pelajar akan menangkap kosa kata, sebutan bahasa Inggeris yang tepat, tatabahasa yang mantap dan paling utama pengisiannya berkongsepkan Islami yang menyuburkan jiwa.

Soleh English yang dimaksudkan bukan hanya soleh dari segi agama. Soleh yang bermaksud baik akan menjadi tunjang dalam SE kerana bahasa Inggeris yang baik akan didedahkan kepada anak. Baik dari segi tatabahasa, sebutan dan pilihan perkataan.

“Hari ini kita dapati ada anak yang selesa berbahasa Inggeris tetapi kekurangan adab. Ada anak yang gunakan 'Whatever!' dan 'Yeah right!' dengan ibu bapa.

"Adakah ibu ayah akan berbangga dengan anak-anak sebegini?” katanya.

Fasilitator yang dikenal sebagai Selfie (Soleh English Learning Facilitators).

Suasana pembelajaran seronok

Hasrat besar pasangan ini adalah untuk menjadikan sesi pembelajaran bahasa Inggeris sebagai satu sesi kerohanian tanpa meminggirkan unsur seronok dan interaktif dalam belajar yang sudah menjadi ciri utama pembelajaran abad ke-21.

“Setiap kali selepas kelas, iman dan takwa akan bertambah.. pelajar akan dapat melihat kebesaran ALLAH yang mencipta bahasa dan menjadikan bahasa sebagai alat penting untuk komunikasi sesama manusia dan dengan ALLAH.

"Kandungan SE juga direka secara sistematik dan berdasarkan teknik penyampaian bahasa yang terbukti berkesan," katanya.

Peserta sedang melakukan aktiviti berkumpulan, menyusun cawan plastik dalam bentuk piramid mengikut lirik lagu 'Going to the Masjid'.

Kerangka penyampaian yang disyorkan meliputi lima elemen pemudahcaraan pembelajaran yang efektif.

“Kami panggil Soleh Delivery Method, Start with a Question, Open for Answers, Lesson of the Day, Explain/Example/Explore dan Highlight Learning Points.

"Semua aliran sesi SE akan menekankan konsep Learner Centric atau konsep fokus kepada Pelajar atau berpusatkan pelajar," katanya.

Sementara itu, Shafiza salah seorang fasilitator yang menggunakan SE dalam sesi kelas beliau berkata, SE bukan sekadar memperkenalkan bahasa Inggeris kepada anak-anak tetapi memperlihatkan gambaran yang lebih luas dalam bahasa itu.

“Dulu kami selalu bercerita tentang hero dari kisah dongeng Inggeris. Kini kami ketengahkan kisah Rasulullah dan sahabat. Salah satu modul SE berkenaan Perang Badar. Kami sebagai guru dapat merasakan roh Islam ketika dan selepas kelas yang kami kendalikan. Seronok, puas dan bermanfaat, dunia dan akhirat”," katanya.

Sehubungan itu, Soleh English Teaching Tools (SETT) kini dibuka untuk jualan kepada guru sekolah rendah, pra-sekolah, 'home tutors', 'homeschool families', 'freelance facilitators' dan sesiapa sahaja yang mahu menjadikan sesi pembelajaran menarik dan bermakna.

"Keistimewaan SETT ini, ia bukan hanya boleh digunakan oleh guru bahasa Inggeris tetapi semua guru tanpa mengira subjek yang diajar. Sesi pembelajaran dipecahkan dalam slot pendek untuk memudahkan guru dan fasilitator," katanya.