Mempunyai anak-anak yang masih di bangku sekolah, sama ada sekolah menengah mahupun rendah, permasalahan duit belanja sekolah sering menjadi masalah utama.

Menentukan jumlah duit belanja yang perlu diberikan kepada anak bukanlah satu hal yang mudah. Sekiranya diberikan sedikit, khuatir anak akan kelaparan, jika terlebih, takut pula anak menjadi boros.

Tidak kurang juga sesetengahnya yang beranggapan, wang adalah segalanya. Kesibukan berada di pejabat sehingga tidak punya cukup waktu untuk bersama anak-anak telah merentap hak kebersamaan itu. Sebagai galang ganti, sejumlah duit diberikan, dengan harapan pandai-pandailah anak itu mengurus diri.

Menurut Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Batu 8 Puchong, Norjah Yusop, wang saku bukan pengganti kasih sayang, sebaliknya sebagai ‘alat pengajaran’ agar anak menjadi seorang yang amanah, jujur, bertanggungjawab, dan berhemah, seterusnya dapat membentuk karektor yang baik pada masa akan datang.

“Berilah perbelanjaan yang cukup, namun ia bukan pengganti kasih sayang yang diperlukan oleh anak. Setiap anak itu memerlukan perhatian, didiklah mereka untuk menjadi anak yang bertanggungjawab dan amanah.

“Pemberian wang saku merupakan ‘alat pengajaran’ ampuh untuk mendidik anak menjadi seorang yang matang. Selain mengamalkan sikap berhemah ketika berbelanja, anak-anak juga perlu juga didedahkan dengan tabiat suka menabung sedari awal,”katanya.

Pun begitu, menurut pendidik asal Negeri Sembilan ini, ibu bapa perlu terlebih dahulu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Sekiranya ibu bapa itu seorang yang berhemah dan berjimat cermat, sudah tentu anak-anak akan meneladani mereka.

“Anak-anak sekarang ini banyak terdedah dengan macam-macam yang tiada keperluan. Disebabkan itulah mereka perlu dididik untuk menilai dan mengurus perbelanjaan dengan baik. Setidaknya mereka bolehlah membuat perancangan awal dan tidak berbelanja lebih dari keperluan,”katanya.

Tambah Norjah, tidak salah seorang pelajar itu membawa wang saku lebih ke sekolah. Ia bukanlah bertujuan untuk memewahkan anak, sebaliknya sebagai memenuhi keperluan dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Jadual padat dan memerlukan pelajar itu berada di sekolah dari pagi sehingga petang antara faktor ibu bapa perlu berbuat demikian, bagi menampung perbelanjaan untuk membeli makanan.

“Begitu juga dengan pelajar yang menaiki pengangkutan awam ke sekolah. Sudah tentulah mereka memerlukan peruntukan yang lebih untuk menampung tambang pergi balik setiap hari,”jelasnya.

Bagaimanapun, pemberian wang saku perlulah mengikut kemampuan ibu bapa. Ibu bapa yang tidak berkemampuan, usahakan dengan menyediakan bekalan dari rumah untuk anak-anak.

“Sungguhpun begitu, membawa bekal itu bukan lagi trend. Kebanyakan ibu bapa yang bekerja memang tidak sempat untuk memasak awal dan menyediakan bekalan. Melainkan pelajar ini mempunyai ibu yang bekerja sendiri atau suri rumah, ia boleh diusahakan,”katanya.

Pun begitu, Norjah menjelaskan, SMK Batu 8 tidak pernah berhadapan dengan situasi pelajar kurang mampu sehingga terpaksa berlapar di sekolah. Namun, sekolah dan warga pendidiknya sentiasa prihatin dan peka dengan keadaan dan kebajikan pelajar.

“SMK Batu 8 ini hanya menempatkan pelajar tingkatan 5 & 6 sahaja. Menu makanan yang dijual di kantin juga adalah terhad, sesuai dengan jumlah pelajarnya yang setakat 160 orang sahaja. Ia secara tidak langsung menghadkan keinginan pelajar untuk membeli macam-macam. Malah, saya juga minta pihak kantin menjual menu yang terhad tetapi sihat dan mengenyangkan,”katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Harlina Halizah Siraj juga turut berpendapat yang sama, katanya pemberian duit belanja sekolah itu dapat mendidik anak-anak tentang nilai duit itu sendiri. Malah, keluarga juga perlu memberikan garis panduan serta nilaian kepada duit yang diberi.

“Bagi yang berkemampuan untuk beri lebih, barangkali ia tidak mendatangkan masalah, namun berbeza bagi mereka yang tidak mampu beri lebih kepada anak-anak. Anak-anak itu perlu diajar bagaimana untuk memahami peribahasa ‘ukur baju badan sendiri’.  

“Selain itu, ibu bapa juga tidaklah boleh menjadikan duit itu adalah segalanya. Anak-anak sentiasa memerlukan perhatian dan rasa kebersamaan itu. Tiada apa yang boleh digantikan dengan nilai duit yang diberi. Jangan sampai kita menggadaikan aspek pendidikan, aspek kebersamaan keluarga, dan keluangan masa, hanya kerana kita terlalu mementingkan tentang ekonomi,”katanya.

Reaksi

“Sekolah sentiasa prihatin, ada juga di kalangan pelajar yang datang dan nyatakan lupa bawa duit belanja, kami bantu mereka. Begitu juga pelajar yang tidak mampu buat bayaran van sekolah. Dengan kerjasama pihak luar, sekolah mempunyai peruntukan untuk mengurangkan beban mereka.” - Cikgu Rohaya Ramly, Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Batu 8.

“Saya berpendapat, wang belanja sekolah perlulah diberi mengikut keperluan anak dan kemampuan ibu bapa juga. Bagi yang mampu beri lebih tiada masalah, bagi yang kurang mampu, menyediakan bekalan adalah solusi yang terbaik”- Azman Zulkifli, bapa.

“Saya diberi belanja RM10 seminggu, namun ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan saya di sekolah. Selain itu saya juga seorang yang aktif, dan ia membolehkan saya menang banyak hadiah berupa alat tulis. Itu sudah menjimatkan, saya tidak perlu lagi beli alat tulis untuk keperluan belajar,”- Asif Imran Salim, pelajar.

“Bapa saya beri RM100 setiap bulan, lebihannya saya simpan sebagai tabungan. Selain membeli makanan, peruntukan itu saya gunakan untuk membeli alat tulis, buku dan tambang pergi balik.”Lee Chee Meng, pelajar.