Bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri, Sarawak, program ketika cuti sekolah sering diadakan malah masa yang diambil hanyalah sekitar satu hingga tiga hari sahaja.

Pengetua, Ahmad Fauzi Yaakob berkata, hanya program tertentu sahaja yang sering diadakan sewaktu cuti sekolah.

“Program dikategorikan kepada dua iaitu program perkembangan akademik dan program perkembangan sahsiah/jati diri.

“Setakat ini, sambutan yang kita terima dalam kalangan peserta sangat menggalakkan. Ibu bapa juga beri kerjasama penuh dan menyokong program yang kita laksanakan. Ini sebab mereka terlebih dahulu telah dimaklumkan melalui grup whatsapp kelas masing-masing mengenai program masa cuti sekolah,” ujarnya.

Ahmad Fauzi berkata, tujuan program di buat ketika cuti sekolah kerana beberapa faktor tertentu.

“Kebiasaan program yang kita buat melibatkan guru (penceramah subjek) sekolah lain dari Semenanjung Malaysia. Waktu cuti sekolahlah barisan penceramah subjek boleh turun padang ke sekolah ini.

“Bila kita laksana aktiviti masa cuti, ia tidak mengganggu waktu PdP pelajar. Guru juga tiada masalah untuk 'join' program dan respon diterima, mereka lebih suka anjur aktiviti pada waktu awal cuti kerana program lebih berfokus,” jelas beliau.

Ahmad Fauzi

Program menarik

Antara program yang telah dijalankan ketika musim cuti sekolah sebelum ini adalah Kem Skor A, Kem Masih Ada Yang Sayang, Kem Belaian Kasih, Tamrin Nuqaba, Kem Bina Insan, Kem Bina Sahsiah dan Kem Pemantapan Aqidah.

Dua program yang paling berjaya setakat ini adalah Kem Skor A dan Kem Bina Sahsiah.

Tambah Ahmad Fauzi, pelajar kelas peperiksaan diwajibkan hadir bagi program akademik yang dianjurkan semasa cuti sekolah, kecuali ada kes khas yang dimaklumkan terlebih awal.

Pengecualian daripada program hanya mendapat kelulusan daripada pengetua setelah berbincang dengan ibu bapa, namun kebiasaannya, program tetap mendapat sambutan menggalakkan dan kehadiran pelajar juga penuh.

“Begitu juga dengan ibu bapa. Mereka memberi sokongan padu kepada program yang dilaksanakan sekolah kerana jawatankuasa penganjur terdiri daripada gabungan guru dan ibu bapa,” ujarnya.

Menurut Ahmad Fauzi, kebanyakan program yang dilaksanakan di sekolah adalah secara percuma kerana dana program telah dibiayai Jawatankuasa Kecemerlangan, PIBG yang berjaya mendapatkan pelbagai sumbangan dari luar.

“Alhamdulillah, hasil usaha keras Jawatankuasa Kecemerlangan, PIBG ini, dapatlah anak-anak sertai program secara percuma. Selain itu, ibu bapa yang berkelapangan, sanggup turun padang dan menganggotai jawatankuasa makanan dan minuman pelajar.

"Yang berkemahiran memberi ceramah pula, sanggup menyampaikan ceramah tanpa dikenakan bayaran. Kami betul-betul berterima kasih kepada mereka atas kerjasama yang diberikan,” katanya.

Tidak ketinggalan, kehadiran ibu bapa semasa program memberi kesan kepada pelajar kerana pelajar merasakan yang ibu bapa amat menyokong program tersebut.

Kem Skor A PT3 yang diadakan ketika cuti sekolah

Bagi pemilihan lokasi untuk program, SMKA Miri akan menganjurkannya di kawasan sekolah untuk program akademik.

Untuk Program Jati Diri pula, kebanyakannya di buat di luar sekolah seperti di Pantai Bungai Miri, Pantai Peliau Miri dan Perkampungan Petronas Miri yang semuanya jarak tidak melebihi 15km dari sekolah.

“Saya harap, pelajar yang mengikuti program pada cuti sekolah, dapat memanfaatkan segala ilmu yang mereka dapat dengan baik.

“Percayalah, apa yang pihak sekolah lakukan, bukanlah sekadar untuk suka-suka sebaliknya kita buat untuk mereka bina masa depan yang cemerlang akan datang,” ujarnya.

Kem Skor A SPM yang mendapat sambutan hangat setiap tahun.

Peserta Kem Bina Insan berada di masjid sekolah mengikuti aktiviti disediakan.

 Ibu bapa turut turun padang menyediakan jamuan untuk anak-anak di Kem Skor A SPM ketika cuti sekolah.

 

REAKSI

1) “Banyak manfaat yang diperoleh oleh murid jika mereka ikuti program masa cuti sekolah. Selain mengisi masa lapang, mereka juga dapat pelbagai ilmu baru kalangan guru. Selain itu, aktiviti yang pelbagai masa cuti juga, pastinya mendorong murid untuk hadir ke program tersebut. Saya yakin, pihak sekolah telah memilih aktiviti yang terbaik dan bagus untuk pesertanya."

- Cik Wan Norasyidah Meor Affandi

Penyelaras ICT

SK Sementa, Klang, Selangor

 

2) “Ketika cuti, sekolah sering menganjurkan kelas tambahan, latihan pasukan sekolah dan pertandingan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa. Faktor dianjurkan pada masa cuti kerana murid mempunyai ruang masa yang lebih untuk memberikan tumpuan kepada program yang dikhususkan. Mengenai pemberitahuan program kepada murid, kami telah memberi taklimat dan makluman awal mereka melalui surat kebenaran waris yang dikeluarkan sekurang-kurangnya seminggu lebih awal. Dengan cara ini mereka lebih bersedia untuk menyertai program tersebut. Lebih-lebih lagi murid juga dipilih oleh guru-guru berasaskan minat mereka terhadap program tersebut. Biasanya ibu bapa sangat menggalakkan anak-anak mereka menyertai program yang dianjurkan. Ini berikutan mereka sedar akan kepentingan program tersebut. Harapan saya agar program yang dirancang dan dijalankan semasa cuti membawa impak yang positif kepada kemenjadian murid sekolah ini.

- Mohd Nizam bin Saidin

Guru Besar

SK Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah