KEPADA yang mempelajari topik Algebra dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, barangkali ingatan anda akan terarah kepada pengasas ilmu ini yang dikenali ramai sebagai Al-Khawarizmi.

Pemilik nama sebenar Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi ini antara tokoh Islam yang termasyhur dalam ilmu Matematik.

Tokoh hebat ini juga mempunyai pengetahuan yang luas serta kemahiran dalam bidang astronomi, falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia.

Skala kepopularan beliau boleh diukur dengan beberapa gelaran dunia Barat terhadapnya. Ada yang memanggil Al-Khawarizmi dengan panggilan Al-Cowarizmi, Al-Ahawizmi, Al-Karismi, Al-Goritmi dan Al-Gorismi.

Figura ini dikatakan dilahirkan sekitar 780 Masihi di daerah Khawarizmi (kini dikenali sebagai Khiwa). Zaman kegemilangannya dipercayai sekitar 780M hingga 850M.

Berdasarkan historiografi, beliau pernah bekerja di sebuah balai cerap iaitu lokasinya mempelajari tentang Matematik dan astronomi. Maka, tidak hairanlah Al-Khawarizmi begitu terserlah ketokohannya dalam kedua-dua cabang itu sehingga digelar sebagai Bapa Algebra.

Ketokohannya sebagai sarjana Matematik bukan sahaja diperakui orang Islam sendiri malah juga di Barat.

Ia dibuktikan dengan kata-kata ahli kimia dan ahli sejarah sains, G Sarton:

"Pencapaian-pencapaian yang tertinggi telah diperoleh oleh orang-orang Timur. Ia termasuk Al-Khawarizmi sendiri."

Beliau juga menyifatkan Al- Khawarizmi mempunyai personaliti yang teguh dan seorang yang bergeliga dalam dunia sains.

Kehebatan

Kehebatan beliau begitu terserlah apabila ilmu dan konsep-konsep Matematik yang dicetuskannya banyak digunakan sehingga zaman sekarang. Antara ilmu Matematik diperkenalkan beliau adalah Geometri, Algebra, Aritmetik dan lain-lain.

Paling popular adalah Algebra/Aljabar kerana beliau merupakan tokoh yang mula-mula memperkenalkannya seterusnya menjadi nadi kepada Matematik Algebra.

Sebelum ini, tiada istilah Aljabar sehingga karya 'Hisab al-Jibra wa al Muqabalah' yang ditulis Al-Khawarizmi pada 820M.

Ia kemudian diterjemahkan oleh Gehard of Gremano dan Robert of Chaster ke dalam bahasa Eropah pada abad ke-12.

Ilmu Algebra yang diperkenalkan beliau banyak membantu dalam masalah seperti pembahagian harta pusaka dan perniagaan.

Seperkara lagi, ilmu Geometri yang diperkenalkan beliau merupakan cabang kedua dalam Matematik.

Isi kandungan yang dibincangkan dalam cabang kedua ini ialah asal-usul Geometri dan rujukan utamanya ialah Kitab al-Ustugusat (The Elements).

Geometri mula dipelajari sejak zaman firaun iaitu 2,000 sebelum Masihi (SM).

Kemudian Thales Miletus memperkenalkan Geometri Mesir kepada Grik sebagai satu sains dedukasi dalam kurun ke-6SM.

Seterusnya, sarjana Islam telah mengemaskinikan kaedah sains dedukasi ini pada abad ke-9 Masihi.

Dalam bidang astronomi pula, Al-Khawarizmi pernah menghasilkan dua buah karya pada awal kurun ketiga yang membuatkan beliau dikenali pada zama tamadun Islam.

Salah satu daripada karyanya itu telah diterjemahkan ke Bahasa Latin dan memberi pengaruh besar bukan hanya kepada masyarakat Muslim malah Sepanyol dan Kristian.

 

SISTEM nombor diperkenalkan Al- Khawarizmi telah memberi manfaat kepada semua manusia sehingga ke saat ini.