PERSEKOLAHAN Pasca Covid-19 di Malaysia bermula secara berperingkat dengan pembukaan kelas peperiksaan SPM dan STPM pada 22 Jun 2020. Ini diikuti dengan pembukaan Taska, Tadika dan Prasekolah pada 1 Julai 2020.

Kemudiannya diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Satu sehingga Empat dan Tahun Lima dan Enam pada 15 Julai 2020. Manakala Tahun Satu sehingga Tahun Empat pada 22 Julai 2020.

Seakan menyambut suatu pesta besar-besaran, guru, pentadbir sekolah dan komuniti ibu bapa (PIBG) memperlengkapkan kemudahan dan prasarana sekolah bagi memenuhi keperluan SOP Kementerian Pendidikan Malaysia.

Keselamatan, kesihatan dan kebajikan guru-pelajar menjadi sandaran utama dalam mempersiapkan persekitaran pembelajaran Persekolahan Penjarakan Sosial Pasca Covid-19. Sebelum sesi persekolahan dibuka, pemantauan, khidmat nasihat dan penyeliaan terus dilipatgandakan oleh pihak KPM bagi memastikan pihak sekolah menyediakan segala keperluan dan kemudahan fizikal dan prasarana untuk pembukaan sekolah pada bulan Julai ini.

Meninjau dari segi kesediaan guru dan pentadbir sekolah untuk memulakan sesi persekolahan penjarakan sosial pasca Covid-19, seharusnya semua pihak terus memberi sokongan kepada pihak sekolah untuk memulakan persekolahan norma baharu Pasca Covid-19.

Namun sehingga hari ini, rasional pembukaan semula sekolah penjarakan sosial pasca Covid-19 terus diperdebatkan, diperkatakan dan diperbincangkan oleh segenap lapisan masyarakat dari pelbagai aspek meliputi keselamatan, ekonomi sehinggalah sosialisasi komunitinya.

Rata-rata ibu bapa menyatakan kebimbangan dan kerisauan untuk menghantar anak-anak memulakan persekolahan pasca covid-19. Tidak kurang juga ibu bapa yang bertindak untuk memulakan persekolahan di rumah (Homeschooling) dan sebahagiannya masih menyatakan pendirian untuk meneruskan pembelajaran homebased learning bersama anak-anak di rumah semasa pasca Covid-19 dan tidak kurang juga ibu bapa yang terus mendesak pihak sekolah untuk meneruskan pembelajaran dalam talian bagi pelajar yang tidak mahu memulakan persekolahan secara bersemuka atas kepentingan kesihatan dan keselamatan.

Sebahagian ibu bapa dan komuniti pembelajaran terus meragui akan keupayaan pihak sekolah mendepani cabaran penularan pandemik Covid-19. Tidak kurang juga yang menanam sentiment bahawa dengan pembukaan sekolah akan bermulanya kluster baharu penularan Covid-19. Ini dapat dilihat sehingga hari ini, terdapat ibu bapa dan komuniti setempat menyuarakan kerisauan khususnya berhubung keakuran para pelajar-guru untuk mengikuti prosedur dan arahan yang ditetapkan bagi memulakan sesi persekolahan.

Antara yang menjadi perbincangan hangat hari ini adalah berhubung dengan cara menyusun kerusi meja di dalam kelas yang disesuaikan oleh pihak sekolah dalam pelbagai cara ukuran 1 meter untuk memenuhi saiz dan jumlah pelajar dalam sesebuah kelas; keakuran pelajar untuk mematuhi prosedur penjarakan sosial di dalam kelas dan di luar sekolah selepas sesi persekolahan tamat; jadual pembelajaran lama yang menyebabkan pelajar perlu berada di tempat masing-masing; aktiviti pembelajaran yang lebih bersifat individu-statistik berbanding berkumpulan-pergerakan aktif dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang diaplikasikan oleh guru dan kerangka model pilihan sekolah KPM yang menyebabkan bebanan tugas guru di sekolah meningkat.

Kebimbangan dan kerisauan yang diutarakan ini jika diteliti satu persatu, ianya mempunyai asas yang perlu diberi pertimbangan wajar oleh semua pihak khususnya KPM dalam mempersiapkan sekolah dengan Norma Baharu Persekolahan Penjarakan Sosial Pasca Covid-19.

Walau bagaimanapun, jika kita meneliti dari perspektif yang berbeza, awalnya ramai yang mempertikaikan rasional pembukaan Taska, Prasekolah mahupun Tadika yang dilihat lebih bersifat kepentingan ekonomi.

Namun setelah dua minggu ianya beroperasi dan disesuaikan dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak dan konteks persekitaran pembelajaran setempat, hari ini sedikit demi sedikit guru, murid, ibu bapa dan komuniti mula menyesuaikan diri dengan norma baharu ini.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa, sesuatu perubahan memerlukan sedikit masa untuk para guru-komuniti sekolah  mengadaptasi dan menyesuaikannya dengan persekitaran yang baharu.

Maka, sesuai dengan slogan ‘Kembali ke sekolah: Norma baharu Persekolahan Penjarakan Sosial’, aspek penyesuaian diri sekolah dan guru perlu diberi penekanan utama.

Sejauh manakah sekolah telah bersedia menerima kedatangan pelajar bermula 15 Julai 2020 dan 22 Julai ini? Cuba kita amati bersama-sama, sehingga hari ini, guru dan pentadbir sekolah bertungkus-lumus menyediakan aspek persediaan fizikal sekolah selaras dengan keperluan SOP yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.  

Suka dicadangkan bagi mengatasi kebimbangan dan kerisauan ibu bapa terhadap tahap kesediaan sekolah dalam memastikan persekitaran pembelajaran selamat Pasca Covid-19, ada baiknya ibu bapa dan komuniti setempat membuat kunjungan ke sekolah dan seterusnya membantu pihak sekolah menambah baik segala keperluan fizikal dan prasarana sekolah. Hubungan Ibu Bapa dan komuniti sekolah bukan saja dapat meningkatkan kesediaan ibu bapa untuk memulakan sesi persekolahan anak-anak Pasca Covid-19, tetapi juga menambahkan kesefahaman dan kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak.

Pada masa yang sama juga, ibu bapa lebih memahami tugas, tanggungjawab dan dedikasi guru serta komuniti sekolah dalam memastikan garis panduan pembukaan sekolah pasca Covid-19  - kedudukan jarak antara murid, susunan kerusi-meja, tempat basuh tangan, pengambilan suhu badan, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, perkongsian bahan pembelajaran, tempat berkumpul, menunggu dan menurunkan pelajar serta pengunaan bilik-bilik khas di sekolah dipatuhi sepenuhnya.

Seterusnya, dalam menyesuaikan dengan Norma Baharu Persekolahan Penjarakan Sosial Pasca Covid-19, ianya bukan hanya terhad kepada konteks persekitaran fizikal sekolah sahaja. Sebaliknya, guru juga perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran pasca Covid-19.

Mungkin sehingga hari ini, kita tidak pernah memikirkan tentang bagaimana guru mempersiap-sediakan dirinya dengan suasana persekitaran pembelajaran Pasca Covid-19.

Saban hari kita sering kali diasak dengan kebimbangan para ibu bapa akan keciciran anak-anak dalam pembelajaran; kegagalan menguasai topik pelajaran dan keselamatan anak-anak di sekolah.

Kerisauan ibu bapa ini mempunyai asas yang kukuh apabila sesi pembelajaran dalam talian tidak dapat dioptimumkan sepanjang tempoh PKP. Tempoh PKP yang berlangsung dari pertengahan Mac sehingga pertengahan Julai 2020 memperlihatkan komitmen guru-pelajar-ibu bapa menjalankan pembelajaran dalam talian dengan bersungguh-sungguh dalam persekitaran digital dan akses teknologi yang terhad.

Maka, dengan bermulanya sesi persekolahan bersemuka Pasca Covid-19, sejauh manakah guru telah bersedia dari segi fizikal, emosi, psikologi dan mental untuk berhadapan dengan norma baharu persekolahan penjarakan sosial?

Tinjauan yang dijalankan dalam kalangan guru-guru baik di bandar mahupun luar bandar memperlihatkan kesediaan untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka. Ini diperkukuhkan dengan kajian yang dijalankan oleh pihak NUTP yang mendapati 93% guru memilih pendekatan pembelajaran secara bersemuka persekolahan penjarakan sosial. Maka, dengan dapatan ini secara langsung menampakkan bahawa guru telah mempersiapkan diri untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pasca Covid-19.

Selain itu juga, pemerhatian dan tinjauan yang dijalankan di beberapa buah sekolah terpilih mendapati sebahagian besar guru dan pentadbir sekolah sudah mengatur dan menyesuaikan jadual pembelajaran secara anjal bersesuaian dengan tempoh masa pembelajaran yang diperuntukkan bagi setiap mata pelajaran.

Perkara yang penting bagi setiap guru dan pihak panitia mata pelajaran adalah untuk memastikan bahawa kurikulum atau sukatan mata pelajaran dicerakinkan mengikut darjah keutamaan, gaya pembelajaran, bentuk pedagogi dan keperluan pembelajaran pelajar.

Guru perlu bersedia untuk melaksanakan pembelajaran hybrid bagi memastikan setiap topik pembelajaran dikuasai sepenuhnya oleh pelajar. Ini adalah elemen utama yang perlu disediakan oleh setiap guru sebelum memulakan sesi persekolahan.

Kesediaan guru untuk menerima, menyesuai dan mengadaptasi pendekatan pedagogi baharu dalam penyampaian pembelajaran menjadi titik tolak kejayaan sesi pembelajaran bersemuka pasca Covid-19.

Mahu atau tidak, guru perlu bersedia untuk mengimplimentasikan gaya pengajaran hybid dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi pengajaran secara digital dan digembling bersama dengan pembelajaran secara bersemuka. Menerusi pendekatan ini secara tidak langsung kerisauan ibu bapa terhadap keupayaan guru menyelesaikan topik pembelajaran dan keciciran pelajar dalam pembelajaran dapat diminimakan.

Ringkasnya, penyesuaian terhadap norma baharu persekolahan penjarakan sosial ini bukan hanya terhad terhadap penyesuaian fizikal sekolah terhadap garis panduan pembukaan sekolah - SOP Kementerian Pendidikan Malaysia, tetapi juga perlu meliputi penyesuaian aspek tenaga kerja (guru) untuk bersedia menerima norma baharu Persekolahan Penjarakan Sosial pasca Covid-19.

Guru seharusnya bersedia untuk mengubahsuai pendekatan pengajaran dan pembelajarannya selain bertindak proaktif, kreatif dan dinamik bagi mentransformasikan sesi penyampaian pembelajaran dengan lebih berkesan pasca Covid-19.

Adalah mustahak untuk setiap guru melapangkan fikiran bagi menerima garis panduan pembukaan sekolah – SOP KPM ini dengan positif dan seterusnya menghasilkan inovasi pengajaran dan pembelajaran ke arah mempertingkatkan kualiti pendidikan.

Ketak sediaan guru untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan normal baharu persekolahan penjarakan sosial pasca Covid-19 akan mengekang dan menghalang proses pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya membantutkan sistem pendidikan negara.

Maka, guru perlu melihat setiap halangan, kekangan dan kesukaran dalam pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran pasca Covid-19 ini sebagai satu peluang dan ruang terbaik untuk menghasilkan inovasi pengajaran dan pembelajaran seiring dengan keperluan pendidikan masa depan.

- Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Artikel menarik:

"Pembukaan semula sekolah mulai 15 Julai undang kebimbangan ibu bapa?" - Dr Rafidah kongsi pandangan

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Covid-19 boleh bertahan pada kulit selama empat hari

Wabak masih belum berakhir