Penutup tirai 2020, diserikan dengan penganjuran program Ziarah Mahabbah dan Khidmat Masyarakat Luar Bandar, anjuran Malaysian Relief Agency (MRA) Perak pada 31 Disember lalu.

Perindu Smart Volunteerism tidak melepaskan peluang menyertai misi yang diadakan di beberapa buah perkampungan orang asli di Tasik Banding, Royal Belum Perak termasuklah Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai kejar.

Pengarah program, Dasuki Wahab yang juga Setiausaha MRA Perak berkata,  program mahabbah kali ke 28 itu turut disertai 40 orang sukarelawan daripada pelbagai agensi.

Antara agensi terlibat adalah, MRA Perak dan MRA  Pusat, Yayasan MRCB, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kolej kediaman Perindu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL BMI) serta Team Dana Kita.

MRA Perak selaku penyelaras utama program,  turut melakukan kunjungan hormat ke rumah Tok Batin dan ketua kampung sebelum melakukan aktiviti bagi menghormati adat istiadat  masyarakat orang asli.

Selain itu, MRA Perak juga turut mengadakan 'chak rayak' atau jamuan makan bagi meraikan masyarakat orang asli di kampung tersebut.

Dalam masa sama turut diadakan agihan makanan keperluan dan pakaian kepada penduduk kampung.

Menurut Dasuki, program tiga hari tersebut juga diisi dengan pelbagai aktiviti lain, antaranya pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada masyarakat orang asli sekitar Kampung Sungai Kejar, Kampung Tanjung Pulau Tahan dan Kampung Sungai Tiang, Royal Belum.

“Ia sebenarnya sudah menjadi tradisi kepada MRA dan Skuad medik yang diketuai Dr Ibrahim dan dibantu oleh sukarelawan kesihatan yang lain,” katanya.

Tambahnya, selain pemeriksaan kesihatan, UniKL BMI dan Yayasan MRCB turut meninjau lokasi yang sesuai bagi pemasangan tenaga solar untuk kegunaan sekolah rendah dan Tadika KEMAS di sana.

Manakala Team Dana Kita, dibantu oleh Kolej Kediaman Perindu UiTM Shah Alam telah mengedar 300 buah bag sekolah, alat tulis dan kit kesihatan kepada anak-anak masyarakat orang asli di kampung tersebut.

Selain itu, Kolej kediaman Perindu UiTM Shah Alam Bersama Fakulti Pendidikan UiTM Cawangan Selangor juga merancang akan membangunkan beberapa modul Pendidikan bagi kegunaan murid di sekolah dan tadika pada masa akan datang.

Diharapkan program sukarelawan tersebut dapat diterapkan dalam jiwa mahasiswa sebagai nilai tambah dan amalan  murni yang diperlukan untuk pembangunan sahsiah dan rupa diri mereka.

“Untuk melahirkan sukarelawan yang berkualiti dan bersedia dari sudut fizikal dan mental bukanlah mudah. Penerapan nilai-nilai sukarelawan aruslah ditanam seawal di peringkat universiti lagi, selaras dengan usaha kementerian Pengajian Tinggi (IPT) dalam memperkasa aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa dan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG),” katanya.