Kaedah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berlangsung kini, masih lagi menjadi bualan dalam kalangan semua pihak.

Ada yang memuji segala usaha yang dilakukan oleh guru-guru di Malaysia kini.

Tetapi, ada juga yang seakan masih tidak berpuas hati, dengan apa yang warga pendidik lakukan sekarang.

Guru Sains Sekolah Kebangsaan Jengka Pusat 2, Pahang, Cikgu Mohamad Safuan Rozak terpanggil untuk berkongsi tentang isu PdPR yang kini semakin rancak diperkatakan dalam semua laman sosial.

“Apa yang saya tulis ini, bukanlah untuk menimbulkan polemik semata-mata.

“Saya harap, semua pihak dapat membaca dan memahami apa yang saya jelaskan khususnya buat ibu bapa,” katanya.

Ikuti apa kata Cikgu Mohamad Safuan menerusi laman facebooknya, hari ni.  

*****

Penting untuk ibu bapa baca

Sekali lagi saya terpanggil untuk menulis tentang isu PdPR yang rancak diperkatakan di media sosial pada masa kini.

Sebagai guru dan juga ibu bapa, kita perlu tahu dan faham konsep PdPR yang betul agar kita tidak saling menyalahkan antara satu sama lain.

Beberapa pendapat dilontarkan oleh para ibu bapa tentang PdPR. Antaranya ialah meminta guru untuk menghasilkan video proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) sendiri bukannya berkongsi link daripada guru yang lain.

SEBENARNYA PERKONGSIAN LINK VIDEO BUKANLAH SUATU KESALAHAN BAGI PELAKSANAAN PdPR.

Pastinya seseorang guru telah meneliti kandungan video tersebut sebelum dikongsi dengan para pelajar.

Di situ juga ada konsep pengajaran yang berlaku antara guru dan murid. Al-kisah semasa persekolahan secara bersemuka pun, para guru sering juga menayangkan video-video semasa PdPc bagi menambahkan lagi pengetahuan murid.

Cuma saya tidak nafikan ada segelintir guru yang meminta murid menyalin nota dan menjawab soalan latihan semata-mata tanpa bantuan penerangan sokongan seperti video mahupun info- grafik. Cara inilah sebenarnya yang harus diperbetulkan.

 Sebenarnya bukanlah mudah bagi seseorang guru untuk menghasilkan video sendiri. Ia memerlukan kepakaran dan pengetahuan bagi menghasilkan video yang baik.

Saya yakin guru-guru di negara kita sentiasa komited dalam menambahkan ilmu bagi peningkatan profesionalisma diri masing-masing.

Dedikasi dan kerajinan guru-guru di negara kita sememangnya mendapat pengiktifaran dunia.

Diharapkan para ibu bapa dapat memperbetulkan salah faham yang timbul.

Sama-samalah kita berganding bahu dan menyokong usaha antara satu sama lain bagi memastikan anak-anak kita tidak keciciran dalam menimba ilmu.

Sumber: Facebook Mohamad Safuan Rozak

Artikel menarik

Luar biasa dan mengagumkan, pelajar ini dapat markah cemerlang Matematik Tambahan percubaan SPM

Anak hidap kanser tahap tiga, guru wanita ini tabah sediakan soalan PdPR dalam wad