RANCANGAN Sarapan Sekolah yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan merupakan skim makanan bantuan kerajaan yang disediakan secara percuma untuk semua murid sekolah.

Matlamat skim makan tengah hari adalah demi mengelakkan  kelaparan, membaiki taraf pemakanan murid, meningkatkan kerjasama dan kemesraan antara murid, meningkatkan kehadiran di sekolah dan meningkatkan prestasi murid dari segi minda dan jasmani.

Jelas bahawa peningkatan taraf pemakanan murid memberi  kesan positif kepada pembelajaran  mereka. Peluang makan bersama di mana semua orang dihidangkan makanan yang serupa dapat menimbulkan rasa persamaan, persaudaraan dan kerjasama antara mereka.

Serampang tiga mata  Perlu ditegaskan juga bahawa Rancangan Makan Tengah hari  di sekolah merupakan pendekatan serampang tiga mata yang dapat mengatasi masalah kesihatan akibat salah pemakanan.

Rancangan demikian sekali gus dapat memastikan:

(1) Jaminan makanan;

(2) Keselamatan makanan;

(3) Peningkatan taraf pemakanan kanak-kanak;

(4) Pembasmian masalah kekurangan zat makanan, seperti tumbesaran terbantut (stunting), dan juga penyakit akibat makanan berlebihan, yang lebih daripada keperluan dietari tubuh kita, seperti diabetes dan gemuk berlebihan (obesiti);

(5) Peningkatan kemampuan jasmani serta minda;

(6) Pemupukan semangat persamaan, persaudaraan serta kerjasama.

Pendidikan pemakanan bagi murid sekolah menekankan ajaran tentang kesihatan dan pemakanan  yang menyeluruh.

Guru dilatih untuk menggunakan  modul pendidikan pemakanan dan kesihatan untuk kempen makan dan hidup sihat.

Dasar Lingkungan Sokong Makanan Sihat di sekolah mengikut  modul Kementerian Kesihatan cuba memastikan hanya  makanan sihat dihidangkan di sekolah. Hidangan sarapan sekolah berubah setiap hari dalam dua atau empat minggu, sedangkan kantin swasta hanya dibenarkan menghidangkan makanan sihat.

Pelaksanaan skim

Terdapat tiga pendekatan melaksanakan rancangan sarapan sekolah:

(1) Pendekatan sejagat – yang mana semua murid sekolah diberi sarapan percuma di semua sekolah tanpa sebarang syarat;

(2) Pendekatan individu – hanya beberapa murid yang dianggap layak menerima sarapan percuma seperti anak keluarga miskin tegar, mereka yang mengalami kekurangan zat makanan seperti terbantut, kurang berat badan serius, malpemakanan (malnutrition) dan kelaparan kanak-kanak, golongan kurang upaya;

(3) Pendekatan kawasan – pendekatan cara ini memilih kawasan di mana sebilangan besar penduduk dikira layak disediakan sarapan percuma.

Ia boleh dipilih berdasarkan, misalnya, kawasan miskin di luar bandar, kawasan miskin dalam bandar, kawasan komuniti orang asal dan orang asli, kawasan pascabencana, kawasan orang pelarian dan sebagainya.

Pengalaman di Jepun dan masyarakat lain menunjukkan bahawa hanya pendekatan sejagat dapat  mencapai kesemua matlamat rancangan yang disenaraikan tadi.

Sebagai ekonomi yang dikatakan hampir maju dan sesuai juga dengan hasrat Wawasan 2020, Malaysia bukan hanya mampu tetapi juga wajib  melaksanakan pendekatan sejagat, walaupun secara berperingkat mulai dengan pendekatan kawasan.

Pendekatan individu didapati ‘mengkambinghitamkan’ murid yang mendapat dan mengasingkan mereka daripada mereka yang tidak layak yang sudah pasti akan membawa perpecahan dalam kalangan orang ramai.

Semua menu dalam Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) dirancang oleh ahli pemakanan demi memenuhi keperluan micronutrient (vitamin dan mineral) dan 25-30 peratus daripada keperluan macronutrient (seperti karbohidrat dan protein) mereka.

Maka, program HiTS menyediakan makanan berzat yang memenuhi keperluan dietari kanak-kanak  di samping menanam pengetahuan dan tabiat makan yang sihat.

Kajian keberkesanan mendapati kanak-kanak yang mengikuti program HiTS mengalami pengurangan Indeks Jisim Tubuh (BMI) secara signifikan berbanding kumpulan kawalan walaupun didapati mereka juga makan lebih di rumah.

Kumpulan HiTs juga meningkatkan pencapaian kognitif dengan  signifikan dibanding kumpulan kawalan, barangkali kerana makan lebih banyak dan sihat.

Program percubaan Kementerian Kesihatan di negeri Johor, negeri kos makanan yang lebih  mahal kerana merupakan jiran Singapura, lebih murah  dibandingkan dengan skim sarapan sekolah sedia ada yang dibiayai Kementerian Pendidikan.

Keberkesanannya mungkin  lebih baik oleh kerana melibatkan ibu-bapa dalam pengendaliannya.

Penjana ekonomi pertanian baru Memandangkan Skim Sarapan Sekolah dapat merupakan satu skim yang kekal dalam persekolahan harian maka bekalan makanan untuk sarapan itu perlulah wujud secara berterusan setiap hari.

Pertanian makanan di Malaysia sepatutnya merupakan  sumber makanan utama bagi rancangan ini.

Jadi skim ini dapat meningkatkan  pendapatan para petani yang membekalkan bahan makan yang berkhasiat, bersih lagi sihat seperti sayur-sayuran serta buah-buahan.

Maka, ini merupakan peluang amat baik untuk menghidupkan  kembali pertanian makanan para petani dengan  menyediakan bahan makan untuk  penyediaan sarapan sekolah.

Di samping itu, kalau disusun dengan baik, pertumbuhan  skim ini dapat menghidupkan  semula peranan koperasi serta persatuan petani, untuk  membekalkan bahan makanan kepada sekolah dan bahan pertanian untuk petani sekali gus meningkatkan pendapatan para petani.

*Dr Wan Manan Muda ialah mantan Profesor Kesihatan Umum dan Pemakanan di Universiti Sains Malaysia manakala Dr Jomo KS ialah penasihat kanan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Artikel menarik:

Kerana longkang pra sekolah tersumbat, guru besar sanggup 'buat ini' - Ramai yang terkejut!

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Cikgu ini sebak terima sebatang lidi sate pemberian anak murid, rupa-rupanya...

‘Andai ada yang bertanya, tak nak ke tukar ke arus perdana...maaf, kami bahagia bersama anak syurga'

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma