Menjaga kualiti, menjadikan kerjaya sebagai ibadah dan menjalankan tugas sebagai amanah menjadi kekuatan Sekolah Kebangsaan Laksamana Kota Tinggi yang pernah merangkul lima anugerah di Hari Anugerah Kualiti dan Inovasi Pendidikan Peringkat Daerah Kota Tinggi.

Menariknya, selain memenangi lima Anugerah Kualiti, SK Laksamana Kota Tinggi turut berada di tempat ke dua terbaik daerah Kota Tinggi, serta Naib Johan Pertandingan Bilik JQAF Negeri Johor.

Penganugerahan itu membolehkan sekolah membawa pulang Anugerah Kualiti (Anugerah Perak ) SK Gemilang, Anugerah Kualiti Kecemerlangan Linus, Anugerah Kualiti Kelab dan Persatuan, Anugerah Kualiti Pengurusan dan Anugerah Kualiti Pengurusan Pendidikan Khas.

Selain itu Bonda juga turut menerima anugerah tertinggi iaitu Ikon Guru Negeri Johor, 2015 dan Guru Ikon PIBK Negeri Johor pada tahun 2016.

Manakala Disemberi tahun lalu Bonda turut menerima Anugerah Kepimpinan Guru Besar Idea Juara Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti & Sektor Swasta (PIBKS).

“Anugerah itu diterima kerana usaha yang konsisten dalam menggerakan organisasi ke arah sekolah berkualiti dan kemenjadian murid. Sudah tentulah saya berasa bersyukur dan terharu apabila diberi kepercayaan berkongsi pengalaman mengenai PIBKS di negara jiran, seluruh negeri, daerah dan institusi,”katanya.

Katanya lagi, selain 15 anugerah di peringkat kebangsaan, tujuh Anugerah Kualiti dan Inovasi Pendidikan Daerah Kota Tinggi, dan juga Anugerah Kecemerlangan Flipped Classroom Negeri Johor 2019, Anugerah Perak (kedua terbaik di dalam daerah Kota Tinggi), SK Laksamana turut memenuhi penyertaan di peringkat antarabangsa, iaitu Festival Layang-layang Sedunia dan International Online Essay Competiton.

Itulah rahsia kejayaan yang sentiasa dipupuk oleh pemenang Anugerah Kepimpinan Inovasi, Guru Besar SK Laksamana Kota Tinggi, Bibi Sakinah Haron Khan.

Itulah kekuatan Guru Besarnya Bibi Sakinah Haron Khan atau lebih mesra dengan sapaan Bonda.

Kegemilangan demi kegemilangan dibawa Bonda untuk sekolah tercinta. Tiada penat lelah, ada sahaja yang dilakukan oleh wanita kental ini demi kemenjadian murid dan sekolah.

Anugerah

1.Anugerah Kecemerlangan Flipped Classroom Negeri Johor 2019

2.Sekolah Cemerlang Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA (NATIONAL KEY RESULT AREAS) sebanyak tiga kali

3.Anugerah Kualiti dan Inovasi Pendidikan Daerah Kota Tinggi

  •  Anugerah Kualiti Sekolah Gemilang
  •  Anugerah Kualiti Kepimpinan Inovasi Sekolah Rendah
  •  Anugerah Kualiti Pengurusan 3K
  •  Anugerah Kualiti Kesenian Dan Kebudayaan Sekolah Rendah
  • .Anugerah Kualiti Pengurusan Kantin
  •  Anugerah Kualiti Kecemerlangan Perkongsian Pintar
  •  Anugerah Kualiti Keab Dan Persatuan

4.Peringkat Antarabangsa

  • Festival Layang-layang Sedunia
  • International Online Essay Competiton

5.Peringkat Kebangsaan

  •  MSSM Bola Baling Di Perak
  •  MSSM Tenpin Bowling, Sunway Piramed ,Selangor
  • Agnoree Peringkat Kebangsaan Di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Terengganu
  •  Khemah Ibadat Sekolah-sekolah (KISS) KPM
  • Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik Kempen – 3R
  • Kancil Science Competition
  • Anugerah Guru Cemerlang Kelab Doktor Muda (Pn. Kintan Bt. Ahmad)
  •  Makex Robotics Competition Malaysia
  • Anugerah Pusat Sumber Sekolah
  •  Pertandingan Bercerita Bahasa Isyarat Pendidikan Khas
  •  Anugerah 3K Sayangi Sekolahku Peringkat Kebangsaan
  • Pemantauan Pertandingan Hiasan Bangunan Bertema Hari Kebangsaan Peringkat Kebangsaan
  •  Digital Competency Score (DCS)
  • Ujian Tahap Kecekapan Digital (ICT) Tahun 6
  •  Pameran PIBK Peringkat Kebangsaan, Auditorium Cempaka Seri Putra Jaya
     

Pun begitu, 30 Nov lalu menjadi detik duka buat SK Laksamana Kota Tinggi. Setelah 34 tahun bergelar pendidik, Bonda Bibi Sakinah diraikan persaraannya dalam suasana hiba dan penuh kerinduan.

Tiada majlis rasmi, hanya ucapan dan kenangan yang diberikan kepada Guru Besar kesayangan ramai ini.  Bak kata Bonda, tidak terucap dek kata-kata, setiap bait ucapan yang diberikan cukup menyentuh hati.

Persaraannya bukan hanya ditangisi oleh warga sekolah, bahkan semua pendidik seluruh Malaysia yang mengenali beliau.

Ikuti perkongsian mereka...

SETANGGI CITRA BUAT BONDA KHAS DARIPADA KAMI SK LAKSAMANA

    Bonda Hajah Bibi Sakinah Haji Haron Khan merupakan seorang pentadbir sekolah yang prolifik dan dikagumi dalam mendepani cabaran dunia pendidikan khasnya sering mencari peluang dan membuka jalan untuk warga sekolah yang diterajui demi mencipta dan merealisasi potensi.  Bicara hatinya diterjemah dalam keyakinan tindakan yang terancang dan terukir dalam sebuah kenyataan.

Beliau seorang yang tegas dan amat mementingkan pengurusan disiplin masa terutama dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Pesanan yang sering diberi untuk diingati agar sentiasa menjaga hubungan dengan Allah, ibu bapa mahupun pasangan kerana perkara tersebut mempengaruhi impak dalam membina kejayaan.  Memiliki sifat keibuan bersulam kasih sayang dan prihatin seringkali menjadi tempat rujukan khasnya barisan pentadbir sekolah dalam melaksanakan misi penting.  

Pencetus inspirasi, keteguhan dalam melaksanakan prinsip untuk membakar semangat yang tidak mengenal erti penat lelah dengan sentiasa memberi komitmen mahupun menghulur idea walaupun di luar waktu bekerja. Pencapaian dan sumbangan yang dicurah memperlihat ketokohan dalam kepimpinan pendidikan terbilang.

Hendak berburu ke luar kota,  seluas alam bumi terentang;

Tanpa guru siapalah kita,  ibarat malam tanpa bintang.

Bonda dan PIBK berpisah tiada

Lima tahun mengenali Bonda. Terlalu banyak yang dikongsikan bersama. Bukan untuk diri sendiri. Tetapi komuniti. Jika dahulu, sebelum Bonda memperkenalkan kepada kami apa itu PIBK. Kami ibarat sampan yang mempunyai kemudi, tetapi tiada arah tuju.

Bonda juga mula kenalkan kami tentang konsep jariah ibu bapa. Dengan majoriti adalah dari kalangan berpendapatan rendah (B40). Ramai ibu bapa yang tidak dapat tampil ke hadapan apabila sekolah memerlukan bantuan.

Apa yang ada difikiran kami, bantuan adalah kewangan. Dengan memperkenalkan konsep Jariah. Alhamdulillah, Bonda dapat menarik ramai ibu dan bapa untuk hadir bersama-sama bagi menghulurkan bantuan, dari segi tenaga, kemahiran dan juga masa.

Terlalu banyak ilmu yang sangat bermanfaat buat kami dikongsikan oleh Bonda. Setiap kali sekolah dapat mencapai kejayaan. Kami turut merasa bangga. Kerana sedikit sebanyak ada bantuan kami di dalam kejayaan itu. – CIKGU NURHUDA ABDULLAH

IKON KERJAYAKU

Cikgu Hajah Bibi Sakinah Haji Haron Khan atau lebih senang disapa dengan panggilan Bonda amat sinonim dalam kalangan warga pendidikan Kota Tinggi, Johor. Bonda sentiasa mengembangkan ilmu baru yang bermanfaat untuk dicurahkan kepada anak didik , barisan guru dan staf seliaannya malah kepada pelbagai golongan termasuk ibu dan bapa serta komuniti. Bonda mempunyai pendirian yang adil, tegas dan telus berdasarkan mandat yang diterimanya. Bonda sentiasa bersegera membuat keputusan serta mengambil tindakan tuntas meskipun ia suatu keputusan yang drastik.

 Apabila melibatkan kepentingan anak didik atau warga sekolah,  seboleh-bolehnya Bonda mengenepikan kepentingan peribadi. Sesuai dengan “tag line” menginspirasi semua , setiap tutur katanya bersederhana dan mampu membuatkan semua peringkat usia terkesan, ceria dan selesa berurusan dengan beliau.

Bonda adalah seorang jurulatih utama dan ikon PIBK (Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti) lantikan KPM, ikon guru dan ikon transformasi pendidikan yang dihormati. Bonda juga adalah seorang guru serta pemimpin terbilang yang sentiasa mempamer aura positif dalam setiap langkah yang diatur bagi memastikan kerja keras warga sekolah sentiasa dijulang bukan sahaja di peringkat PPD Kota Tinggi,  JPN Johor malah berjaya dimartabatkan ke peringkat yang tertinggi.

Berbekalkan pengalaman selama 20 tahun sebagai seorang guru besar, Bonda beberapa kali diiktiraf sebagai ikon kepimpinan aktif atas kehebatannya berkongsi amalan terbaik sehingga ke peringkat kebangsaan.

Bonda merupakan pencetus inspirasi dan penggalak kepada pewaris pemimpin masa hadapan seperti saya. Di mana sahaja Bonda ditugaskan , di situ juga kejayaan baru akan terukir. Jika ditakdirkan suatu hari nanti saya menjadi pemimpin, sudah pastinya saya akan menjadikan Bonda sebagai IKON KERJAYAKU  bagi menghadapi cabaran dunia pendidikan yang kian mencabar dengan lebih matang dan profesional.

NOTA UNTUK BONDA, NUKILAN NISA JURI DARI SK MUZAFFAR SYAH KOTA TINGGI, JOHOR

Erti pendidik sebenar

Peluang bersama sama dengan Bonda Bibi Sakinah tak kan saya lupa sampai bila-bila. Bekerja di bawah Bonda mengajar saya erti seorang pendidik yang sebenar. Dalam erti kata lain menjadi pendidik bukan setakat mengajar sahaja tapi sebagai guru juga seharusnya mempunyai sikap yang prihatin, menghargai dan  saling mengambil tahu tentang permasalahan murid-murid.

Walaupun tegas dalam karier , Bonda sangat  rapat dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu yang bermanafaat dengan kami. Kenangan bersama Bonda akan sentiasa terlipat di sudut hati saya sebagai seorang pencetus Inspirasi dan  insan yang selalu positif di dalam sesuatu perkara.

Terima kasih Bonda…

SUZANI, GURU SK TAMAN PASIR PUTIH, PASIR GUDANG, JOHOR

Kenangan Terindah

B- Bonda mengenalimu meninggalkan kenangan terindah dalam hidupku.

O- Orangnya ayu, keibuan dan selalu tersenyum manis.

N- Namamu menjadi sebutan dan disegani ramai.

D- Dalam tegasmu menjalankan tugas, kami tahu hati mu penuh kasih sayang dan pengertian.

A - Aku merindui detik bersamamu..aku doakan semoga dikau bahagia selalu BONDA    

NORHASMANI, GURU SK BANDAR PENAWAR, KOTA TINGGI, JOHOR

Pencetus Inspirasi Pendidikan

Buat Bonda  Cikgu Hajah Bibi Sakinah Haji Haron Khan Pencetus Inspirasi dunia pendidikan. Banyak mengubah persepsi dan tindakan dalam kalangan guru pembina rantai ikatan buat ibu dan bapa. Bonda berpengalaman panjang dalam dunia pendidikan dikongsi buat panduan semua. Bersama, ia membina ikatan ukuh dan melatak sistem pada trek yang jelas dan tepat.

Pendidikan tidak berfungsi dengan baik pendidikan tidak berjalan dengan sempurna tanpa jambatan ini. Cara Bonda membawa komuniti bersama membina peradaban tercontoh dalam kalangan semua.

Kami yakin dan percaya, ramuan yang dibuat, ramuan yang digaul menjadi resepi mantap bagi menghasilkan produk yang berkualiti. Saya hanya insan kerdil yang hanya sempat berkongsi pengalaman dalam ruangan yang kecil sahaja. Cukup memberi pandangan serta membuka persepsi luas bagi mencorak budaya gemilang.

Doa saya buat bonda moga dikurnia kesempurnaan kesihatan, dipanjang usia dan dipermudah urusan. Kami dalam kalangan pemimpin pendidik akan kehilangan rakan yang menjadi panduan dan rujukan sentiasa.

Adat resam patah tumbuh, hilang berganti, yang patah pasti berbeza dengan yang tumbuh yang hilang jua tidak sama pada mengganti. Kami akan tercari penganti. Tercari rakan yang menjadi pakar rujuk.

HAZI KADIR, GURU BESAR SEKOLAH AMANAH PULAU BESAR, KLANG SELANGOR

Kenangan terindah bersama Bonda

Misi Bonda yang saya pelajari hingga sekarang :

i.Sarana Ibu bapa diperkukuhkan

ii. Kemenjadian murid

iii. Guru yang berkesan

iv.Barisan pentadbir yang berkualiti

KENANGAN INDAH BERSAMA BONDA…

1.Membimbing anak saya Adib menjadi insan yang hebat dan berkeyakinan tinggi. Salute cara pemilihan Ketua Pengawas semasa Bonda buat sesi temu duga.

2. Membawa kejayaan dalam masa singkat dalam melaksanakan sarana secara menyeluruh. Team work yang hebat dengan permulaan langkah melawat rumah anak anak didik.

3. Bonda banyak membantu saya ketika saya alami ujian yang hebat, malahan sentiasa memberi ruang saya untuk bangkit semula.

4. Ilmu yang Bonda berikan kepada saya, banyak saya gunakan di sekolah baharu. Walaupun tak semua, namun kesannya amat besar.

5. Semoga Bonda bersara dengan penuh kepuasan dan penuh nostalgia yang manis.

InsyaAllah.

Ayat Bonda yang saya sentiasa pegang :

Rezeki Dikongsi Bersama

Selamat Bersara Bonda.....

KETUA YANG HEBAT DAPAT MEMBIMBING INSAN YANG LEMAH MENJADI KUAT.

NIZARUDIN AZNAN, SK SRI SELAMA, PERAK

Bantu ke hadapan

Sesungguhnya banyak ilmu mengurus masa dan kerja dengan baik. Peluang dan ruang yang diberikan menjadikan diri ini tabah menerima apa jua cabaran dalam profesyen ini. Sentiasa ada positive vibes untuk terus ke depan ..

Bonda banyak bantu saya untuk berani ke hadapan dengan ilmu... alhamdulilah..

NORAFIDAH JABAR, SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN PUTRA PERDANA

Contoh teladan

Selamat bersara wahai serikandi ..semoga jasa mu diberkati, ilmu yang dikongsi oleh mu, akan menjadi contoh teladan kepada ramai pemimpin masa depan dalam dunia pendidikan..aamiin

Bonda BibiSakinah

#LONGLIFE

#LOVEFOREVER

WAHIDAH IBRAHIM, GURU BESAR YONG PENG

Terima kasih atas jasamu bonda

Alhamdulillah...

Terima kasih atas segalanya...

Ilmu, bimbingan, tunjuk ajar dan dorongan untuk saya lebih maju ke hadapan..

Tanpa rakan-rakan saya, team kreatif tidak akan berjaya mewarnai stesen-stesen tersebut...

Saya, Izni, Kak Syu, Nadia dan Aisyah...

Juga penyelaras bilik-bilik yang bekerjasama dengan kami.

Kami buat apa yang termampu..

Kami minat dan suka buat bersama-sama...

Saya berasa sangat bersyukur apabila hasil kerja saya dan rakan-rakan dihargai.

Saya sangat bangga dan berbesar hati bekerja di bawah pimpinan seorang Guru Besar  yang sentiasa menghargai usaha setiap anak-anak buahnya.

Bonda antara Guru Besar terbaik saya sepanjang perkhidmatan ini...

Sentiasa memberi ruang dan peluang untuk saya sentiasa berkarya...

Amat sedih apabila saya hanya sempat bekerja di bawah pimpinan bonda dalam waktu tidak sampai 2 tahun...

Tapi banyak ilmu yang telah bonda curahkan untuk saya pergi lebih jauh..

Saya doakan selamat maju jaya buat bonda. Semoga sentiasa sihat dan bahagia bersama keluarga tercinta dunia akhirat.

InshaAllah, kita akan berjumpa lagi selepas ini. Saya akan ingat jasa dan ilmu bonda. Mana yang baik saya akan jadikan teladan. InsyaAllah

CIKGU RAFIQI BAHARUDIN,  TEAM KREATIF SEKOLAH SK LAKSAMANA

Bonda terbaik!

Bonda memang terbaik! Guru Besar No 1 di Kota Tinggi. Sangat bersungguh dalam tugas. Ada cara tersendiri dalam kepimpinan beraras tinggi. Selamat bersara, semoga sentiasa sihat, bahagia, berjaya dunia dan akhirat bersama keluarga tersayang.

TUAN HJ ASRIN, PEGAWAI PPD KOTA TINGGI DARI UNIT PEMBANGUNAN BAKAT MURID

Selamat bersara Bonda

Selamat Bersara Buat Bonda BibiSakinah, walaupun saya mengenalinya sekadar di alam maya, namun aura kehebatan kepimpinannya menyerap dalam denyut nadi kerja buat saya. Terima kasih dan tahniah di atas perkhidmatan hebat dan berimpak tinggi yang telah ditabur merata. Terima Kasih Cikgu!!

WAN AHMAD HASBI.