Penularan pandemik ini telah memberi impak terhadap sistem pendidikan di Malaysia.

Bermulanya pada 18 Mac 2020 apabila kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan empat fasa yang berakhir pada 12 Mei 2020 diikuti, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 13 Mei 2020 sehingga 9 Jun 2020 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.

Kemudian PKPD iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat dan yang terkini pada penghujung September 2020 diperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Tersasar (PKPT) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melibatkan beberapa negeri mahupun daerah diarahkan untuk membataskan pergerakan dan seterusnya beberapa sektor ekonomi ditutup.

Sekolah juga tidak terkecuali berikutan beberapa kes penularan Covid-19 melibatkan sekolah.

Kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan dan kesihatan anak-anak sebahagiannya telah mendorong ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah atas pilihan ibu bapa.

Namun bagi negeri, daerah atau kawasan yang dikenakan perintah PKPB dan sekolah terpaksa ditutup, ibu bapa tiada pilihan dan terpaksa berhadapan dengan situasi anak-anak tidak dapat bersekolah.

Persoalannya, adakah anak-anak ini berupaya menjalani pendidikan di rumah (Home Based Learning)?

Sejauh manakah proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang dikendalikan oleh guru dapat diakses oleh seluruh pelajar? Keberkesanan pengajaran dalam talian yang dikendalikan oleh guru-guru pula bagaimana?

Apabila sekolah terpaksa ditutup, ibu bapa tiada pilihan selain menjalankan sesi persekolahan di rumah (Home Based Learning), namun ia masih membimbangkan ibu bapa terhadap keciciran pembelajaran anak-anak khususnya yang akan menduduki peperiksaan awam atau anak-anak yang akan memasuki Tahun Satu dimana anak-anak ini masih tidak dapat menguasai awal literasi dan numerasi.

Kesan kepada murid

Sepanjang tempoh ini iaitu lebih kurang enam bulan lebih, semua aktiviti pembelajaran terpaksa dilakukan oleh guru secara dalam talian.

Pembukaan sekolah pada Julai 2020 dengan prosedur yang ketat dan ikuti dengan beberapa sekolah dan institusi pendidikan masih perlu ditutup berikutan penularan wabak Covid-19, adalah tidak dapat dinafikan bahawa ianya turut memberi kesan terhadap proses pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, penguasaan akademik pelajar dan seterusnya pembentukan perwatakan murid.

Kehidupan di alam persekolahan dan aktiviti rutin persekolahan telah banyak berubah secara tidak langsung memberi kesan besar terhadap pengajaran guru, pembelajaran murid, pencapaian akademik, pembentukan perwatakan murid khususnya dari segi intelek, emosi, sosial, jasmani dan rohani.

Tidak dapat dinafikan, bagi mendepani isu dan cabaran penularan wabak Covid-19, warga pendidik, pelajar dan ibu bapa telah mula dibiasakan dan dididik untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu.

Walaupun penutupan sekolah telah disusuli dengan langkah proaktif dan inovatif pihak sekolah untuk menyediakan platform pengajaran dan pembelajaran dalam talian, namun murid berhadapan dengan isu akses internet, tiada peranti, kesukaran ibu bapa-guru untuk memantau perkembangan dan prestasi murid; dan proses pembelajaran tidak berlaku secara dua hala sebaliknya murid hanya membuat latihan atau kerja rumah yang disediakan melalui medium mesej teks tanpa bimbingan dan semakan secara berkesan.

Penutupan sesi persekolahan khususnya dikawasan tertentu bagi mengekang penularan wabak itu perlu diimbangi dengan Tindakan proaktif pelbagai pihak khususnya sekolah dalam memastikan kesan negatif ke atas pembelajaran murid dapat diminimumkan.

Tinjauan dan Pemerhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian selama lebih empat bulan pelaksanaan pembelajaran dalam talian semasa pandemik Covid-19, mendapati beberapa aspek perlu diberi pertimbangan langsung oleh pelbagai pihak bagi memastikan sesi pembelajaran memberi impak optimum terhadap pembelajaran murid iaitu:

Sesi pembelajaran perlu bagi semua murid sama ada secara dalam talian ataupun bersemuka (Penjarakan Fizikal) bagi meminimumkan keciciran pembelajaran dalam kalangan murid.

Maka, sokongan peralatan, akses internet serta kemudahan perkhidmatan internet perlu disediakan untuk setiap murid dan ianya tidak hanya kepada segelintir murid yang berada dalam lingkungan kawasan atau kelompok sahaja dalam memanfaat cara pembelajaran dalam talian.

Keterbatasan peranti menyebabkan murid tidak dapat meneruskan pembelajaran dalam talian. Ini secara langsung memberi kesan kepada murid yang akan jauh ketinggalan dalam pelajaran dan seterusnya menyebabkan murid tercicir dan membesarkan jurang pencapaian murid.

Maka, penutupan sekolah ini juga memberi kesan langsung terhadap kelompok murid tertentu yang akan terus jauh ketinggalan dalam akademik.

Ketidaktentuan Waktu Pembelajaran Dalam Talian – pelaksanaan pembelajaran dalam talian terletak kepada kesesuaian masa pembelajaran yang ditentukan oleh guru.

Tinjauan mendapati waktu pembelajaran sering kali tidak mengikut jadual yang ditetapkan. Maka untuk mengelak kesan negatif kepada fokus serta minat murid untuk pembelajaran, adalah disarankan agar waktu pembelajaran perlu mengikut jadual yang standard masa, diberi penekanan dan pemantauan yang berterusan dari pihak berkepentingan.

Tambah membimbangkan terdapat mata pelajaran tertentu yang tidak dilaksanakan sesi pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh penutupan sekolah ini atas kekangan tertentu di pihak sekolah mahupun guru.

Kebimbangan ibu bapa ini ada asasnya apabila diteliti terdapat sesi pembelajaran yang dijalankan dalam bentuk teks mesej yang menghantar lembaran kerja semuka untuk dibuat oleh murid tanpa bimbingan dan penerangan oleh guru atas kekangan murid tiada akses internet atau peranti.

Justeru, kerjasama pelbagai pihak untuk meneroka pelbagai bentuk inovatif platform pembelajaran, pemantauan dan pengoptimuman platfom pembelajaran dalam talian dapat mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap isu ini.

Kompetenasi Guru menjalankan pembelajaran dalam talian. Sejauh manakah guru mempunyai pengalaman mengendalikan pembelajaran dalam talian? Keupayaan guru untuk menguruskan tingkat laku pelajar semasa dalam talian? Sunguhpun murid dapat mengikuti pembelajaran dalam talian, sejauhmanakah impaknya terhadap pencapaian murid? Ini kerana keupayaan guru untuk menyampaikan pengajaran dalam talian amat terhad.

Kebolehan guru untuk menggunakan sepenuhnya medium pembelajaran dalam talian masih perlu dipertingkatkan.

Guru perlu diberi khidmat sokongan dan bantuan teknikal, literasi teknologi serta aplikasi pembelajaran yang dapat mengoptimumkan pengajaran dan memberi impak positif terhadap pembelajaran murid dalam sesi pembelajaran dalam talian.

Pesanan kepada ibu bapa dan murid

Kebimbangan ibu bapa ini ada asasnya, namun dalam memastikan keselamatan dan kesihatan murid terus terjamin, sewajarnya langkah proaktif untuk menutup sekolah tertentu yang berisiko adalah satu tindakan yang wajar dan seharusnya mendapat sokongan ibu bapa untuk sama-sama memastikan sesi pembelajaran dalam talian atau luar talian berlangsung dengan jayanya.

Kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah merupakan komponen utama dalam memastikan sesi pembelajaran murid berjaya.

Penutupan sekolah tidak semestinya bererti komunikasi guru-pelajar-ibu bapa terhenti. Sebaliknya ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dan berhubung dengan pihak sekolah untuk terus memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Pemantauan ibu bapa dan guru terhadap prestasi dan perkembangan anak-anak amat penting. Maka, kekangan untuk mengadakan sesi persekolahan bersemuka (fizikal) mahupun secara dalam talian seharusnya tidak mengehadkan proses pembelajaran anak-anak.

Guru-ibu bapa perlu berkerjasama untuk lebih proaktif dan inovatif untuk meneroka kepelbagai bentuk platform pembelajaran seperti luar talian atau menerusi ‘grab teacher’ yang dapat membantu anak-anak terus belajar tanpa ketinggalan dalam aspek akademik.

Justeru, ibu bapa lebih terbuka untuk memberi saranan serta cadangan yang dapat dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memastikan pelajar ini terus mendapat pendidikan semasa sesi penutupan sekolah.

Kesediaan guru dan pihak sekolah untuk meneroka kepelbagai cara penyampaian pengajaran mengikut konteks komuniti setempat dilihat satu langkah inovatif untuk memastikan kelangsungan pendidikan bagi setiap murid dalam situasi pandemik Covid-19.

Kesediaan guru dan pihak sekolah untuk menjalinkan kolaborasi pembelajaran atau membentuk komuniti pembelajaran sekolah-ibu bapa-guru-pelajar secara tidak langsung dapat meminiumkan kesan negatif penutupan sekolah yang berlarutan.

Kepelbagaian proses penyampaian pengajaran perlu digerakkan oleh para guru dengan sokongan ibu bapa khususnya bagi murid yang berada dalam keterbatasan lingkungan pembelajaran dalam talian.

Kegusaran ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak dalam era pandemik Covid-19 tidak hanya kepada soal keselamatan dan kesihatan tetapi menjangkaui proses pencapaian akademik dan pembelajaran.

Justeru, bagai mengekang isu keciciran pembelajaran murid khususnya golongan B40 dan luar bandar yang terhad kepada akses internet, usaha yang proaktif dan inovatif perlu mendapat perhatian sewajarnya oleh semua pihak bagi mengelak kesan buruk akibat Covid-19.

*****Terima kasih Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Mohd Nazri Abdul Rahman atas perkongsian ini.

Artikel menarik

Pelajar pintar perlu terus digilap jadi permata negara

Pemimpin penentu kecemerlangan sekolah

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Covid-19 boleh bertahan pada kulit selama empat hari

Wabak masih belum berakhir

Hati-hati cikgu...enam jenis Covid-19 telah dikenal pasti