SEPANG - Sekolah dan Tahfiz Kiblah, Jenderam Hulu, Batu Unggul, Sepang menyahut saranan menjayakan wadah SINAR4ROHINGYA-Solidariti untuk Kemanusiaan yang diusahakan Sinar Harian.

Pengarah urusannya, Ismail Omar berkata, melalui gabungan ini, sekurang-kurangnya dapat membantu pelajar, guru-guru dan ibu bapa memperingati, mendoakan dan berusaha sedaya upaya jadikan ia sebagai pengajaran atas apa yang berlaku terutama isu malapetaka terhadap umat Islam sedunia.

Menurutnya, warga premis pengajian tiga dimensi itu diharapkan terus menjadi ikon dalam memberi kesedaran, keinsafan, suntikan semangat dan meningkatkan penghayatan masyarakat ke atas misi kemanusiaan serta perjuangan etnik Rohingya terutama sekali pelajar.

Sebahagian pelajar wanita menyahut seruan menyokong usaha SINAR4ROHINGYA.

“Saya mahu pelajar ambil iktibar dengan apa yang berlaku.

"Pelajar kita juga kini dah faham, setiap kali solat, pada rakaat terakhir kita suruh mereka buat ummu nazilah.

“Apabila umat Islam ditimpa malapetaka, kita baca ummu nazilah dengan ikhlas kepada ALLAH memohon keampunan-Nya dengan segala dosa yang berlaku agar dijauhi,” katanya.

Sebahagian pelajar lelaki yang turut menyahut seruan menyokong usaha SINAR4ROHINGYA.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Prihatin Kasih Rohingya Solidarity for Humanity peringkat Sekolah Kiblah bersama Sinar Harian, di Dewan Utama, Kompleks Pendidikan Yakin, kelmarin.

Ismail ketika ditemui berkata, beliau mahukan pelajarnya yang mengambil pengajian tiga dimensi termasuk akademik, penghayatan Islam dan sahsiah diri untuk terus memupuk rasa jihad, kecintaan dan dakwah selain saling bantu-membantu tanpa mengira latar belakang.

Sebahagian pelajar wanita menyahut seruan menyokong usaha SINAR4ROHINGYA.

“Walaupun kita rasa kita tak mampu menghentikan kezaliman tapi kita perlu bantu mereka untuk terus hidup dengan bersatu.

"Kalau kita lemah, apa yang berlaku di Rohingya boleh jadi pada kita. Saya puji program ini bukan sahaja melibatkan NGO yang ada tetapi di peringkat sekolah pun mampu bersatu membantu etnik Rohingya,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed dan Pengetua Sekolah dan Tahfiz Kiblah, Zuriah Seman.

Pada program yang sama, Ismail turut menyaksikan gimik penyerahan replika cek tabung SINAR4ROHINGYA yang disampaikan Zuriah kepada Norden.

Nurnisa Nabilah Salman, 14

"Saya tak boleh tengok kezaliman terhadap umat Islam Rohingya. Umat Islam seluruh dunia perlu bersatu menentang penghapusan rakyat Rohingya dan masyarakat perlu ambil tahu untuk bantu walaupun ia bukan di tempat kita.”

Muhammad Rais Muhammad Riadz, 15,

"Selepas mendapat pendedahan isu Rohingya yang dianjurkan pihak sekolah dengan Sinar Harian, saya terkesan sangat dan berharap kezaliman terhadap masyarakat Rohingya dapat dihentikan segera.”