SEBAGAI ibu bapa, kita pastinya menyayangi anak-anak kita walaupun apa yang terjadi.

Bayangkan ketika anak kita masih kecil, jika seekor nyamuk hinggap di badannya pasti kita akan merasa risau dan menghalau nyamuk tersebut. Begitu juga apabila seorang anak mula membesar sehingga remaja sekalipun perasaan sayang tidak akan pudar kerana hubungan itu melibatkan darah daging kita.

Begitulah senario yang berlaku jika seorang anak kita pulang dari sekolah dan terlihat kesan dirotan atau walau sedikit kecederaannya, pasti kita sebagai ibu bapa akan menyiasat sehingga kita tahu puncanya. Itulah naluri fitrah sebagai seorang ibu bapa yang mahu melindungi anak-anak. Hanya janganlah pula kita terlebih melindungi sehingga hilang rasa keyakinan diri anak-anak kita.

Dalam hal yang melibatkan rotan ini, kita harus tahu ia adalah salah satu cara didikan yang boleh digunakan, bergantung juga kepada orientasi gaya keibubapaan dan gaya didikan masing-masing. Andai isu rotan timbul di pihak sekolah pula, kita patut berfikiran terbuka dengan menyelidik serta mendapatkan penjelasan secara jelas dan terperinci.

Sebagai contoh, andai ada anak kita yang dirotan dan mempunyai kesan lebam atau sebagainya, seeloknya berbincanglah dari hati ke hati antara anak dan ibu bapa serta guru terlibat. Kesannya secara psikologi amat positif kepada seorang anak selaku ‘mangsa’ yang sudah pun dirotan.

Komunikasi yang sihat ini mampu menghasilkan pemikiran anak menjadi lebih matang, menerima dengan baik dan menjadi manusia yang lebih berjaya di masa akan datang.

Seandainya isu psikologi anak-anak tidak ditangani dengan bijak, kita risau mengenai kesan jangka masa panjang di mana mereka mampu terkesan, teringat dan mempunyai lekatan peristiwa yang tidak baik sehingga mereka mahu membalasnya semula pada orang lain dan menjadi kitaran tindakan yang tidak sihat.

Tidak semua anak-anak kita sama dengan orang lain, walaupun kita nampak ia isu kecil namun boleh beri impak besar pada sesetengah anak-anak. Dan setiap anak-anak tidak mewarisi ketahanan diri mahupun pemikiran daripada ibu bapa, oleh itu fahamilah dan bertindak mengikut kesesuaian keadaan.

Berbalik kepada orang yang merotan pula, isu ini harus dipandang secara menyeluruh iaitu apakah faktor kepada perbuatan merotan tersebut dan apakah sebab-sebab perlunya merotan kepada anak kita sendiri atau pelajar tersebut. Barulah kita akan dirasionalkan dengan penjelasan yang masuk akal dan boleh diterima dengan baik oleh semua pihak.

Kita harus akui, rotan ini sebenarnya adalah alat yang memberikan pelbagai kesan sama seperti analogi pisau. Pisau yang digunakan secara baik mampu menyenangkan urusan seharian kita di dapur, dan dalam masa yang sama pisau juga boleh melukakan bahkan membunuh seseorang.

Sama seperti rotan, jika kita merujuk sisi psikologi, ia adalah alat untuk memberi kesan peneguhan kepada pelajar atau anak-anak untuk tidak berbuat sesuatu yang buruk supaya tidak dikenakan hukuman atau dirotan. Jika berbuat perkara yang buruk juga hukuman akan dikenakan sebagai peneguhan bagi mengingatkan semula supaya tidak mengulanginya lagi.

Justeru rotan ini sendiri boleh memberi kesan yang baik dalam kita mendidik secara bersistem serta patut ditekankan bahawa proses merotan yang akan berlangsung hanyalah bersifat mengajar dan mendidik bukannya mendera atau tindakan melepaskan emosi marah atau geram.

Amat digalakkan jika berlaku proses merotan ini, patut dibuat secara terancang seperti komunikasi yang bersistematik. Sebagai contoh kita sebagai orang dewasa patut menerangkan apakah sebab utama pelajar atau anak-anak akan dirotan dan merasionalkan pemikiran mereka supaya mereka berfikiran positif dan berlaku pengajaran dan didikan secara jangka masa panjang.

Seperti kita ketahui, pelajar dan anak-anak di peringkat remaja mudah memberontak dan hilang hala tuju, seeloknya lakukanlah sesuatu secara berhikmah.

Seandainya perlu merotan, rotanlah dengan unsur nasihat, didikan, pengajaran dan berhati-hati. Biarkan ia didahului dengan peringatan, amaran, peneguhan dan penjelasan. Akhiri ianya dengan kesan pengajaran yang membawa kepada perubahan yang lebih baik. Tindakan yang bijak mampu mengubah kehendak kepada keperluan yang lebih penting dan bijak.

Dalam konteks emosi dan perasaan kita sebagai manusia memilikinya sama sahaja tanpa mengira siapa pun kita sama ada kita sebagai ibu bapa, guru, pelajar, anak-anak tetap sama sahaja. Maka berlapang dada dan berfikir untuk kebaikan bersama adalah yang terbaik berbanding saling menuding jari menyalahkan mana-mana pihak.

Kita jualah mencorak pemikiran dan hala tuju anak-anak dan pelajar, jadilah teladan yang terhebat buat mereka mengapai masa depan yang lebih bersinar.

Sebagai panduan bersama, kita patut menambah ilmu pengetahuan dengan lebih kerap terutamanya mengenai tahap perkembangan anak-anak serta ilmu mendidik anak-anak dan pelajar seiring dengan peredaran zaman dan pelbagai lapisan generasi yang berbeza-beza.

Dengan ilmu yang betul kita pasti mampu mengubah sesuatu menjadi lebih hebat di masa depan. Positif dan jalan terus ke hadapan.

Mohammad Afizul Mohammad

- Kaunselor Berdaftar

Power Action Resources

ARTIKEL BERKAITAN:

Insiden guru rotan pelajar yang menggelarnya Cikgu Pondan, ini reaksi Dr. Maszlee

‘Dari kecil kita jaga hingga sekolah menengah, suka hati pula cikgu nak merotan’ - Baca dulu

Kes tular pelajar dirotan, bagi aku yang merakam itulah yang paling jahat

Bekas pelajar tampil pertahankan tindakan guru

Bekas pelajar berbilang kaum bangkit tunjukkan sokongan, ini pandangan Cikgu Korea…

Guru, sekali kau merotan, mencubit dan menengking...hilang sudah sejuta kebaikan