PELBAGAI keletah murid Tahun Satu ni. Comel ada, geram pun ada. Ini enam ragam murid Tahun Satu.

1) Mereka akan terus bertanya selagi kita tak bagi jawapan yang memuaskan hati mereka.

“Cikgu, saya nak minum air.”

Angguk.

“Cikgu, saya nak minum air.”

“Hmmm.”

“Cikgu! Saya nak minum air.”

“Okey Puteri Nur Malisa Anabella Ain Fitriah Maisarah binti Khairul Hamidul Rahman, awak boleh minum air sekarang.”

“Terima kasih cikgu.”

 

2) Dah tahu pun tanya juga.

“Cikgu, bunga ros ni kena warnakan kaler merah kan?”

“Ya, merah.”

“Kalau saya nak warnakan kaler biru, boleh?”

“Boleh juga. Bunga awak kan?”

“Tapi cikgu, bunga ros warna merah kan?”

“Iya. Warna merah. Tapi kalau awak nak warnakan bunga tu kaler kuning ke, oren ke, hitam ke, terpulang pada awak. Bunga awak.”

“Mana boleh cikgu. Tak cantik. Bunga ros kan warna merah.”

“Okey. Dah tahu warna merah, kaler je lah warna merah.”

Sengih-sengih dia masuk nak sambung mewarna, tak sempat 10 saat datang lagi.

“Cikgu, cikgu. Merah pekat ke merah cair? Pink boleh tak cikgu?”

Selonggok dia lambakkan warna kat atas meja suruh kita pilih pula.

“Ni guna warna merah pekat ni,” ujar cikgu sambil hulur warna merah pekat.

“Tapi cikgu, saya suka merah cair. Tak nak la merah tu.”

 

3) Benda yang setiap hari ditanya tapi masih tanya juga sampai akhir tahun.

“Cikgu, kena selang (langkau) ke?”

“Iya, kena selang. Baru cantik. Kan dah cakap semalam.”

“Tapi kakak saya tulis tak selang pun. Cantik juga.”

“Kakak dah besar. Awak baru Tahun Satu, kena selang.”

“Baik cikgu.”

Lima saat kemudian dia datang depan bawa buku tunjuk hasil kerja.

“Selang macam ni kan cikgu.”

“Iya. Macam tu lah. Dah, buat sampai siap baru hantar.”

Dia masuk ke tempat dan sambung buat kerja. 15 saat kemudian datang lagi.

“Selang macam ni kan cikgu?”

“Iyaaaaaa. Cantik dah tu. Dah, siapkan semua dulu baru datang depan.”

Masuk balik ke tempat. 10 saat kemudian bangun lagi nak ke depan. Tak dan sampai depan cikgu dah jerit,

“Iya Muhammad Khalish Ikmal Nasir bin Jusoh. Selang macam tuuuuu!”

 

4) Menulis hari dan tarikh

“Cikgu, hari tulis sebelah kiri ke kanan?”

“Hari sebelah kiri.”

“Cikgu, tarikh nak tulis sebelah mana?”

“Kalau dah hari sebelah kiri, tarikh takkan nak tindan atas hari? Nak tulis sebelah mana pula kalau tarikh? Kan ada contoh cikgu tulis kat papan putih ni. Tiru macam ni.”

“Ya ya cikgu. Tarikh tulis sebelah kanan. Jangan la marah-marah cikgu. Nanti cepat tua.”

“Biarlah cikgu tua pun. Pergi buat kerja cepat.”

“Cikgu, cikgu. Hari sebelah mana dah cikgu? Kanan ke kiri? Saya lupa.”

“Kiriiiiii!”

“Errrr. Cikgu, cikgu. Kanan tu sebelah sini kan cikgu?” (Sambil tunjuk sebelah kanan bukunya)

 

5) Habis semua dia pergi sharp.

“Cikgu, saya nak sharp pensel boleh?” tanya Ali.

“Boleh. Pergilah.”

“Cikgu, saya nak sharp juga,” kata Ain.

“Pergilah.”

“Cikgu, saya pun.” balas Karim.

*Cikgu angguk sahaja tanda benarkan.

“Cikgu, pensel saya pun dah patah,” kata Nisa.

“Okey kelas. Siapa nak pergi sharp pensel boleh pergi. Tak payah tanya lagi.”

Sekelas berlari pergi belakang nak sharp. Yang pensel masih tajam pun sharp juga. Yang bawa semua pensel warna nak sharp pun ada. Padahal tak ada aktiviti guna pensel warna pun.

 

6) Pensel siapa?

“Kalau jumpa barang, jangan ambil. Tak baik ambil barang orang. Bagi kat cikgu, cikgu simpankan. Nanti jumpa siapa punya, cikgu pulangkan. Faham?” pesan guru.

“Faham cikguuu!” sekelas menyahut.

Tak dan lima saat, beratur datang bagi barang kat meja cikgu. Pensel ada, pemadam ada, botol air ada.

“Cikgu, nah saya jumpa pensel.”

10 saat kemudian, datang murid mengadu.

“Cikgu. Pensel saya hilang.”

“Macamana boleh hilang? Jatuh ke?”

“Tak cikgu. Tadi Amin ambil pensel atas meja saya, dia hantar kat meja cikgu.”

**********

Cukup la dulu enam ragam anak-anak kalian di Tahun Satu.

Cuma nak ingatkan, begitulah antara gelagat anak-anak kalian di sekolah. Punya la sabar cikgu melayan karenah mereka.

Sebab itu jika pernah ada masalah dengan cikgu-cikgu, datanglah selesaikan elok-elok. Jangan cepat nak maki hamun kat media sosial, nak malukan, nak report polis dan saman bagai.

Banyak sebenarnya kisah dan jasa guru terhadap anak kalian yang kalian tak pernah tahu.

Cikgu pun manusia. Kadangkala ada buat salah dan silap juga. Bila begitu, selesaikan elok-elok.

Datang bincang gaya orang matang. Gaya orang yang menghargai ilmu. Gaya orang yang menghargai seseorang yang banyak berjasa dan bersabar dengan karenah anak-anak kita.

Begitu.

#MFS

- Cikgu sekolah rendah -

Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh

Artikel Menarik:

Meja guru perlu kemas dan tersusun - Panduan ini mungkin berguna buat cikgu-cikgu di Malaysia

Surat terbuka guru buat ibu bapa yang bakal hantar anak ke tadika

Walaupun mengajar bahasa Melayu tetapi inovasi Matematik cikgu ini buat murid cepat pandai

'Ni tandas sekolah ke tandas hotel?' - Patutlah terpilih ke peringkat kebangsaan, tahniah SMKA Miri