Covid-19, merupakan ujian besar buat kita hari ini. Ada yang bersedia dan tidak kurang juga masih belum bersedia berhadapan dengan pandemik ini.

Namun itulah ujian yang hakikat yang terpaksa kita hadapi bersama. Norma baharu bukanlah asing, sesiapa sahaja perlu menyesuaikan diri dan reda dengan ketentuan.

Sama ada kita seorang pelajar, pendidik, ahli perniagaan, atau siapapun kita, konsep reda itulah yang akan dapat membawa kita kepada ketenangan.

Guru Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam, merangkap Guru Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran mengupas tentang reda. Semoga ia dapat mendidik hati agar dapat menerima segala ketentuan.

Setelah melalui perjalanan hidup yang begitu mencabar selama dua tahun, cuti belajar pun tamat. Beberapa minggu sebelum tamat belajar, saya ke jabatan pendidikan terlebih dahulu untuk memaklumkan bahawa cuti belajar saya akan tamat.

Setelah berjumpa dengan pegawai yang berkenaan, nampaknya saya akan melapor diri ke sekolah baru yang jauh daripada rumah. Mengikut anggaran masa pada waktu itu, jarak perjalanan sehala saya ke sekolah tersebut ialah selama satu jam.

Menerima akan berita tersebut sudah tentu memerlukan kesabaran yang luar biasa. Saya masih ingat, saat dimaklumkan nama sekolah tersebut, saya tidak membantah walaupun saya tahu jaraknya jauh dari rumah saya.  Apa yang saya fikirkan waktu itu, walaupun ia sesuatu yang tidak dijangka, saya perlu bersabar dan menerima semua itu dengan lapang dada.

Apabila sampai hari yang ditetapkan, saya melapor diri di sekolah baru. Sepanjang perjalanan ke sekolah, saya dapat rasakan jauhnya jarak tempat bekerja saya dengan rumah.

Bayangkan saya perlu bertolak seawal jam 6.10 pagi supaya sempat sampai ke sekolah sebelum 7.20 pagi. Semasa saya mula-mula melalui rutin baru tersebut, kadang-kadang saya terfikir, mampukah saya melalui semua ini.

Saya juga asyik memikirkan, mampukah saya sampai ke sekolah sebelum 7.20 pagi. Pasti saya akan terkejar-kejar setiap pagi kerana untuk ke sekolah, saya perlu menghantar Hannan dan Halwa ke rumah pengasuh terlebih dahulu.

Oh Tuhan, perit juga rutin baru yang saya perlu lalui ini. Namun kini sudah masuk tahun kelima saya di sini dan saya sudah mampu menerima kesukaran tersebut dengan lapang dada.

Semuanya itu bermula dengan satu perkataan yang hebat iaitu  ‘REDA’. Saya juga percaya, ujian yang saya lalui ini tidaklah sehebat mana berbanding orang lain di luar sana. Namun yang pasti, di sebalik ujian itu pasti ada hikmah yang tersirat dan itulah yang saya ingin kongsikan supaya dapat memberi sedikit panduan kepada orang lain dalam menghadapi sesuatu perkara yang tidak disukai.

Ketika saya menerima berita bahawa saya perlu ke sekolah tersebut, apa yang saya buat pada waktu itu, saya menetapkan pada minda bahawa semua itu adalah takdir-Nya.

Saya mengatakan pada diri pasti semua ini ada hikmahnya. Saat saya menerima semua itu sebagai ketentuan daripada-Nya, hati menjadi tenang dan respons saya kepada pegawai berkenaan juga dalam keadaan yang baik.

Selain itu, segala persoalan di minda sendiri serta daripada orang di sekeliling terhadap perkara tersebut juga mampu saya dihadapi. Kadangkala fikiran tiba-tiba terdetik ‘jauhnya tempat kerja’. Kadangkala orang lain juga berkata “jauhnya untuk berulang-alik”.

Keadaan itu andai dilayan memang akan menggoncang hati. Pasti akan mengganggu emosi saya dan mungkin akan menyebabkan hati tidak tenang. Namun semua itu saya hadapinya dengan rasa reda di dalam hati, iaitu menerima takdir-Nya dengan lapang dada. Walaupun ia sukar kerana saya manusia biasa, namun  rasa reda telah menjadikan saya kuat dan bersemangat untuk meneruskan hari-hari seterusnya.

Dalam hidup ini, pelbagai ujian pasti mendatangi kita. Ada yang berat, ada juga yang ringan sahaja. Namun begitu, ukuran di hati kita kadangkala tidak sama. Ada orang merasakan ujian itu berat padanya, sedangkan di mata kita ujian itu ringan sahaja.

Namun begitu, sama ada ia berat ataupun ringan, kita masih boleh mengurus hidup ini dengan menerima ujian tersebut sebagai sebahagian daripada sunah kehidupan iaitu dengan memahami bahawa setiap manusia pasti diuji.

Apabila kita mampu menerima keadaan ini, barulah kita boleh menerbitkan rasa reda dalam hati yang akhirnya akan membawa hati kita menuju zon ketenangan.

Hari ini kita melihat ramai orang begitu mudah meluahkan perasaannya di media sosial. Kita faham, kadangkala itu sahaja jalan yang ada untuk melegakan perasaan.

Ada orang menanggung derita yang agak panjang. Pelbagai cara telah digunakan untuk menyelesaikannya. Namun semuanya kelihatan hampa. Lalu mereka memilih untuk meluahkan di media sosial dan mereka berasa lega.

Cuma persoalannya, adakah kelegaan itu berkekalan sifatnya? Adakah perkara lain yang lebih rumit pula berlaku? Apabila kita membaca luahan-luahan yang dikongsikan, kita memahami bebanan yang sedang ditanggung oleh mereka.

Saya juga kadangkala menulis di media sosial untuk melonggarkan fikiran daripada bebenan perasaan. Namun begitu, satu perasaan yang saya dapat rasakan, apabila kita meletakkan rasa reda terhadap apa yang sedang menimpa diri, perasaan lega itu tidak sama dengan perasaan lega setelah saya menulis di media sosial.

Begitu juga halnya setelah kita berkongsi keresahan hati dengan orang lain. Perasaan lega itu sememangnya ada. Namun sekiranya kita masih tidak mahu menerima takdir yang sedang menimpa, rasa tenang itu hanya sementara sahaja.

Sebenarnya, apa yang saya ingin sampaikan, redalah dengan segala ketentuan-Nya. Ketika itu kita akan dapat merasakan satu perasaan dan tenaga yang hebat meresap ke dalam diri kita. Saat kita menzahirkan rasa reda terhadap ujian yang sedang menimpa kita, hati bukan sahaja menjadi tenang, bahkan kita menjadi kuat untuk berhadapan dengan hidup.

Kita dapat rasakan seperti kita telah membuang sesuatu yang berat di atas kepala. Kita dapat rasakan beban yang berat yang kita pikul selama ini hilang sekelip mata.

Apabila kita menerima segala takdir itu dengan lapang dada dan kita mengatakan pada diri ‘ Ya Allah, aku terima semua ini’, waktu itu segala perasaan resah, marah, benci, sakit hati dan segala yang negatif terus hilang daripada hati kita.

Perasaan ini memang sukar untuk dijelaskan. Akan tetapi, mereka yang meletakkan nilai reda yang tinggi kepada-Nya, dengan izin-Nya akan dapat merasai kehebatan ini.

Pada waktu itu kesukaran yang dilihat pada awalnya, perlahan-lahan bertukar menjadi sesuatu yang mampu dihadapi. Rasa reda menjadikan kita percaya bahawa sesuatu ujian itu pasti ada hikmahnya dan jalan penyelesaiannya tetap ada.

Beberapa tahun yang lalu, saya pernah melalui satu ujian yang agak berat. Memang sukar untuk saya melupakan apa yang menimpa saya pada waktu itu. Sehingga ke saat ini, perasaan itu kadangkala datang mengganggu saya.

Semasa kejadian itu berlaku, setiap kali saya teringat, jantung akan berdegup agak laju. Tiba-tiba perasaan menjadi geram kepada mereka yang terlibat. Setelah penat melayan perasaan, akhirnya saya terfikir adakah apa yang saya rasa ini baik untuk diri.

Waktu itu saya cuba tenangkan hati dan perlahan-lahan memujuk diri supaya menerima ujian ini dengan lapang dada. Akhirnya, dalam tempoh masa tertentu, perasaan yang tidak baik hilang sedikit demi sedikit. Semua itu adalah rentetan daripada rasa reda yang saya serapkan ke dalam hati.

Sehingga kini, apabila datang perasaan yang negatif kerana teringatkan peristiwa itu, dengan pantas saya menyebutkan di dalam hati bahawa saya reda dengan apa yang Allah ujikan pada diri dan itulah senjata yang cukup hebat yang mampu menjadikan saya kuat, positf dan dapat mengelakkan diri daripada melakukan tindakan yang mungkin akan merugikan diri sendiri.

Dalam kita mendepani hidup ini, sekiranya kita masih tidak kuat menghadapi ujian yang sedang melanda kehidupan, sentiasalah mengingati firman Allah di bawah ini.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik buat kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik buat kamu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”.  [ Al-Baqarah : 216 ]

Inilah antara kata-kata motivasi yang saya pegang sehingga kini. Saat saya diuji dengan pelbagai ujian, ayat-ayat cinta daripada Allah ini sangat hebat kesannya kepada hati.

Mudah-mudahan, dengan mengingat ayat-ayat Allah yang hebat ini, akan menjadikan kita kuat dan mampu memujuk diri untuk menjadi hamba-Nya yang reda. Saya percaya, dengan memahami akan maksud ayat ini, kita akan menjadi seorang hamba yang sentiasa yakin akan hikmah di sebalik ujian kerana kita percaya apa yang Allah tetapkan adalah terbaik buat kita.