Belajar sendiri di rumah, tanpa guru di depan mata, hanya bersemuka di alam maya dan mungkin juga dalam keadaan yang tidak tenang bukanlah satu perkara yang mudah. Hanya mereka yang benar-benar mahu mencapai kejayaan sahaja akan memperolehi keputusan cemerlang.    

Kebiasaannya yang fokus ini adalah pelajar perempuan. Pelajar lelaki juga ada, namun tidak mustahil sudah ada yang mengambil lewa tentang peperiksaan. Apatah lagi jika ada kalangan mereka yang sudah mula membuat kerja ‘part time’ dan seronok memperolehi wang hasil titik peluh sendiri.

Belajar melalui online antara solusi buat masa ini. Namun satu persoalan yang boleh difikirkan bersama adalah mungkinkah secara tidak sengaja kita juga sebenarnya telah membentuk generasi ‘introvert’ iaitu generasi yang lebih suka menyendiri, buat kerja sendiri dan tidak pandai dalam pergaulan.    

Kisah ini berlaku pada diri saya. Mungkin kesilapan itu pada saya kerana tidak menerangkan dengan betul. Oleh itu, saya anggap ini sebagai pengajaran dan ingin kongsikan bersama.  

Ketika permulaan Covid-19, saya kerap menerangkan kepada anak bahawa betapa bahayanya wabak ini. Media massa juga banyak berkempen mengenai penjagaan kebersihan, memakai pelitup muka, sentiasa bersihkan tangan, elakkan tempat sesak dan penjarakan sosial.  

Pada ketika sesi persekolahan dibuka semula selepas keadaan kembali reda, saya terangkan bahawa wabak ini masih ada jadi tetap perlu berhati-hati. Di sekolah sentiasa pakai pelitup muka, basuh tangan, jaga jarak dan jangan bersentuhan dengan sesiapa. Jauhkan diri dari tempat sesak.  

Ketika mengambil kad laporan persekolahan akhir tahun, antara komen guru kelas mengenai anak saya adalah beliau menjadi pendiam, tidak bercampur dengan rakan sekelas, dan lebih suka buat kerja sendiri.  

Terus saya tersentak dan teringat mengenai pesanan-pesanan ketika di sekolah.    

Ya, tanpa saya sedar saya telah membina sifat ‘introvert’ dalam dirinya. Pelajar yang lebih suka buat kerja sendiri, pendiam dan mengasingkan diri serta banyak menghabiskan masa di alam maya belajar kerana belajar secara online.

Saya yakin pasti ada ibu bapa yang turut menerangkan hal yang sama kepada anak masing-masing secara asas tanpa kita ketahui bagaimana penerimaan mereka.   

Pun begitu, masih belum terlambat untuk kita ubah ayat dan terangkan secara lebih terperinci seperti;

1. Sentiasa memakai pelitup muka apabila berbual dengan rakan-rakan. Bukan tak boleh bercakap langsung tetapi pastikan sentiasa memakai pelitup muka.   

2. Jarak 1 meter apabila bersama rakan-rakan. Masih boleh berkawan cuma jaga jarak. Tidak perlu rapat-rapat.  

3. Tidak perlu bersentuhan dengan rakan-rakan atau sesiapa. Ketika di sekolah, elakkan memegang orang lain atau dipegang. Boleh berkawan seperti biasa cuma tidak perlu bersentuhan.  

4. Sentiasa basuh tangan dan jaga kebersihan bersama rakan-rakan. Ajak rakan-rakan sentiasa basuh tangan bersama-sama.  

Selain itu, boleh terapkan kata-kata yang positif seperti pergilah ke sekolah dan belajar seperti biasa dengan penuh semangat. Sentiasa aktifkan diri di dalam kelas, dan berkawanlah seperti biasa. Lakukan seperti sebelum munculnya wabak Covid ini cuma kali ini dengan norma baharu.  

Bukan saya katakan bahawa ‘introvert’ tidak bagus, tidak pandai tetapi sebagai kanak-kanak, kita perlu bimbing mereka untuk menjadi orang yang lebih terbuka dan aktif dalam segala lapangan. Jom sama-sama kita fikirkan.  

Meen Tahrin

Editor Lifestyle Sinar Harian

Artikel menarik

Covid-19 : Berikan informasi sesuai usia, anda boleh ikuti enam langkah berikut

Prototaip luar biasa, 3 pasukan raih geran inovasi berjumlah RM60,000 dari YSD