KEJAYAANNYA mencipta fenomena bersama anak-anak Genius Seni (Permata Seni) dalam persembahan Inspitari yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada tahun lalu menerusi tarian 'Sep Sep Tom Tom' menjadi antara momen yang tidak dapat dilupakan sepanjang penglibatannya dalam bidang seni tari.

Mengimbas kembali detik itu, kata Muhammad Akmal Ayob, 36, seorang penari profesional yang kini bergelar Pengarah Tari Genius Seni berasa sangat bangga apabila menyaksikan anak-anak didiknya tampil dengan persembahan cemerlang sehingga tular di seluruh negara.

“Biarpun pelbagai kejayaan telah diraih sepanjang penglibatan saya dalam bidang tarian ini namun momen tersebut menjadi antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan.

“Bayangkan bagaimana gembira dan bangganya kami guru-guru yang bekerja keras di sebalik persembahan tersebut apabila persembahan mereka mendapat sambutan yang luar biasa.

“Malah salah seorang VVIP (tetamu kehormat) pada malam itu yang juga timbalan menteri, turut meminta mereka membuat persembahan sekali lagi pada penghujung slot. Paling tidak disangka, selepas persembahan itu juga mereka mula tular dan mendapat jemputan membuat persembahan dalam pelbagai acara,” ujarnya.

 

Sumber: FB Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN

Jom kita saksikan video penuh tarian mereka..

 

 

Selain itu, anak Genius Seni di bawah bimbingan Akmal juga pernah meraih kejayaan di luar negara menerusi pertandingan tarian di Jerman pada tahun 2016.

Pasukan mereka memenangi kesemua enam kategori yang disertai selain bergelar juara keseluruhan.

Latihan bersama anak-anak Genius Seni.

Sebelum bergiat secara profesional dalam bidang tarian, Akmal merupakan seorang pelajar yang mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal di Politeknik Shah Alam.

Namun disebabkan minatnya kepada seni, dia akhirnya tekad untuk mendalami bidang seni tarian dengan mendaftar masuk di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini dikenal sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dari peringkat diploma, ijazah dan kini sarjana.

“Selepas sekolah dulu saya masuk kelas tarian di Pak Ngah Production bersama kumpulan Swatari dan mempelajari asas tari. Ketika itu saya betul-betul minat dengan tarian sehinggakan sanggup mencari duit sendiri untuk bayar yuran kelas.

“Tamat belajar di politeknik, saya mendapat tawaran untuk menjadi artis budaya di Taman Mini Malaysia sekitar tahun 2003. Banyak ilmu dan pengalaman yang saya peroleh sepanjang berada di sini dan mengenali lebih banyak jenis tarian daripada sebelumnya.

“Saya kemudiannya memutuskan untuk sambung belajar secara formal di Aswara kerana mahu lebih mendalami bidang tarian dan menjadi antara yang terbaik dalam bidang ini,” katanya.

TARIAN Sep Sep Tom Tom tular dan menaikkan nama Akmal.

Jurulatih tari untuk pelbagai peringkat umur

Berkongsi tentang cabaran yang dilaluinya sepanjang berkecimpung dalam bidang ini, Muhammad Akmal berkata, pada awal penglibatannya dalam bidang ini hasratnya itu tidak mendapat sokongan ibunya.

“Mungkin disebabkan pada awalnya saya belajar dalam bidang kejuruteraan, ibu saya memang tidak begitu menyokong saya masuk ke bidang seni atas pelbagai alasan termasuk peluang pekerjaan.

“Namun akhirnya saya berjaya yakinkan ibu bahawa bidang ini juga mempunyai masa depan dan peluang yang luas.

“Dalam bidang ini kita sendiri kena pandai mencipta peluang sendiri. Sentiasa tampilkan hasil kerja yang bagus dan bina reputasi yang baik untuk marketing diri sendiri,” katanya yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Selain bergelar Pengarah Tari untuk anak-anak Genius Seni, Muhammad Akmal juga turut aktif sebagai jurulatih tari profesional untuk pelbagai pihak tidak kira peringkat umur.

Dari anak-anak seawal usia empat tahun sehinggalah kepada pelajar dewasa berusia lebih 60 tahun.

“Saya seronok apabila berpeluang untuk berkongsi ilmu yang saya ada dalam bidang tarian ini dengan semua orang tidak kira usia mereka.

“Dalam masa yang sama ia memberi cabaran yang berbeza kepada saya untuk menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan usia dan pengalaman mereka sendiri.

“Apapun sebagai guru, saya merasa sangat puas apabila melihat pencapaian anak didik kita. Itu jugalah yang sentiasa merangsang saya untuk terus memberikan bakti dalam bidang ini agar  ia dapat menyumbang sesuatu kepada industri seni kita,” katanya.

Baca:

Sekolah dikelilingi alat permainan, patutlah 6.30 pagi murid dah datang - Macam dalam filem 3 Idiot!

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Tak sempat kembali bertugas di SK Medini, Cikgu Adam maut dirempuh kereta

Keluarga saman RM5 juta: Pakar percaya calon UPSR hidap myokimia akibat pencemaran Sungai Kim Kim

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan... Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku