BULAN Mei adalah bulan yang penuh dengan sambutan dan perayaan.

Antaranya Sambutan Hari Pekerja, Hari Bomba, Hari Persatuan Bulan Sabit Merah, Hari Jururawat, Hari Ibu dan banyak lagi. Namun Hari Guru yang biasanya disambut pada 16 Mei adalah sambutan yang paling popular, dingati dan paling meriah dalam kalangan perayaan yang jatuh pada bulan ini.

Ibu bapa turut terlibat, sama ada merancang aktiviti melalui PIBG atau setidak-tidaknya membantu anak memilih cenderamata untuk dihadiahkan kepada guru masing-masing.

Pada hari istimewa ini guru diraikan, dijamu dan dihargai. Pelbagai aktiviti dirancang dan dilaksanakan seperti perhimpunan khas, sukaneka, acara pentas serta jamuan. Guru-guru turut menunjukkan bakat menyanyi, berlakon, bersukan serta berpakaian beragam.

Hari ini disambut dengan gembira bersama anak murid.

Hari ini tiada istilah stres. Semua warga sekolah berhibur dari pagi hingga ke petang. Kadang-kala membawa ke malam apabila guru-guru berkumpul sesama mereka dalam majlis jamuan sempena Hari Guru.

Pelbagai aksi turut dirakam melalui telefon bimbit.

Memanjangkan rasa gembira, aksi-aksi penuh gembira, hebat dan glamor ini dimuat naik dalam media sosial untuk tatapan umum. Berpuluh malah beratus-ratus gambar dimuat naik ke media elektronik dan dikongsi bersama warga internet.

Saya berpendapat memadailah empat hingga lima keping gambar dimuatnaik untuk dikongsi kepada umum.

Ini sebab gambar yang terlalu banyak dengan berbagai-bagai gaya boleh menyebabkan masyarakat memandang serong dan membuat tafsiran yang negatif terhadap profesion perguruan.

Benar, kita hanya bergembira sehari cuma, tetapi gambar-gambar kita yang agak glamor, 'vogue' dan ekslusif memberi gambaran kita terlalu mewah, 'lupa diri' serta tidak melambangkan budi dan gaya seorang guru yang disanjung.

Guru berhak bergembira di Hari Guru, tetapi masyarakat memandangnya sebagai keterlaluan.

Guru meraikannya hanya sehari, tetapi gambarannya seakan sepanjang tahun. Guru beraksi dan berlakon suka-suka. Anak murid menjerit kegirangan melihat watak yang dibawa oleh guru.

Namun masyarakat mengandaikan inilah dunia glamor seorang guru.

Maka pesanan saya, teruskan sambutan Hari Guru seperti lazimnya. Kita berhak meraikannya. Cuma apabila kita muatnaik gambar sambutan Hari Guru, memadailah beberapa keping sahaja.

Pilihlah gambar yang lebih manis seperti gambar yang turut melibatkan anak murid. Pasti masyarakat turut gembira menatap gambar-gambar tersebut.

Gambar-gambar kita yang glamor kita kongsikan sesama kita sahaja. Muatnaik dalam kumpulan tertutup ('closed group') dan teruskan berkongsi kegembiraan dengan  ulasan-ulasan yang tidak perlu dibaca oleh orang luar.

Selamat Hari Guru.      

 

Kamaruzzaman Yahya,

Tokoh Guru Petaling Perdana 2019

Artikel lain:

Pernah dirotan dan ditampar guru...kini siapa sangka Firdauz dah jadi 'orang kuat' di sekolah

Walau terpaksa tahan sakit, ditahan lapan hari di wad… guru ini tetap tanda kertas

Ketika di tingkatan enam, dia terpaksa berhenti sekolah bantu keluarga, sara ibu dan empat adik