*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Dalam salah satu catatan Facebooknya, Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik, memuji pengorbanan Cikgu Mohd Zakuan yang walaupun dalam keadaan sakit dan sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh telah berusaha juga membuat sesi pembelajaran untuk anak didiknya yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun lepas.

Guru sememangnya adiwira yang sebenar.

Cikgu Zakuan yang tiba-tiba jatuh sakit disyaki mempunyaimasalah di bahagian saraf tunjang perlu dirawat di hospital ketika pelajarnya sedang menghadapi peperiksaan SPM dan memerlukan bimbingan.

Dalam keadaan sakit, beliau menyampaikan kuliah kepada pelajarnya daripada dua kelas yang telah melawatnya secara bergilir.

Dr Maszlee menyifatkan guru sebagai adiwira sebenar kerana melakukan pekerjaan yang kadangkala menjadi lebih sukar kerana terdedah kepada pelbagai cabaran jauh lebih luas daripada skop tugasan mereka, selain merupakan individu yang dekat di hati pelajar, ibu bapa dan masyarakat.

Ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Ziarah Cakna peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil awal tahun ini, beliau juga menggalakkan guru melakukan program Ziarah Cakna untuk memperkukuhkan hubungan antara guru dengan ibu bapa.

Menurut Dr Maszlee, inisiatif itu membantu guru mendalami tingkah laku murid selain membuka ruang bagi mereka untuk merasai denyut kehidupan murid di rumah dan menilai bantuan yang sewajarnya bagi meningkatkan pembangunan diri, sahsiah dan kecemerlangan murid terbabit.

Sebagai seorang pendidik, sememangnya Dr Maszlee dapat menjiwai perjuangan guru.

Banyak sekolah yang sememangnya telah melakukan aktiviti ziarah, cuma mungkin tidak diperluaskan lagi serta tiada publisiti. SMK Kubang Kerian adalah salah satu daripadanya.

Saya tahu perkara ini melalui penglibatan saya sebagai ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah tersebut.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Kubang Kerian mempunyai data berkenaan pelajar miskin dan susah.

Data ini turut dibentangkan dalam mesyuarat PIBG.

Terdapat kes pelajar tidak hadir ke sekolah bukan kerana ponteng tetapi pelajar mempunyai masalah pengangkutan akibat kemiskinan tegar, ataupun terpaksa menjaga ibu atau bapa yang sakit.

Semua ini diketahui apabila pihak sekolah menziarahi kediaman pelajar terbabit.

Yang Dipertua PIBG SMK Kubang Kerian, Prof Madya Dr Mohamed Saat Ismail turut cakna untuk bersama-sama melakukan ziarah.

Sebahagian besar daripada kutipan yuran PIBG juga akan digunakan untuk membantu murid-murid ini.

Pengetua SMK Kubang Kerian, Norsilawati Yusof, juga amat mengambil berat mengenai kebajikan pelajar di sekolah tersebut.

Beliau malah dapat menyebut satu per satu nama pelajar, terutama pelajar tingkatan 5.

Ini sangat mengagumkan bagi saya.

SMK Kubang Kerian mempunyai 1,200 pelajar, pengetuanya bukan sahaja mampu mengingat nama dan pencapaian akademik mereka tetapi juga latar belakang keluarga dan sebagainya.

Ini menunjukkan betapa pelajar tersebut begitu dekat di hati beliau.

Dalam satu pertemuan dengannya baru-baru ini, Norsilawati berkongsi cerita mengenai Haidar (bukan nama sebenar), pelajar kelas 5K1, seorang anak yatim tiga beradik yang tinggal bersama ibunya yang bekerja sebagai seorang tukang cuci di pejabat pos.

Haidar, seorang pelajar yang sederhana, telah menunjukkan peningkatan pencapaian akademik yang baik. Bermula dengan hanya satu atau dua A dalam setiap peperiksaan sejak tingkatan satu, Haidar kini mendapat A dalam semua mata pelajaran kecuali Bahasa Inggeris.

Norsilawati kemudiannya menceritakan satu per satu pelajar dalam kelas tersebut dan kelas seterusnya.

Saya kagum kerana bukan senang untuk menjadi seorang pendidik dan pentadbir dan mampu melakukan semua itu.

Setiap bulan, guru di SMK Kubang Kerian turut mendermakan sebahagian daripada gaji mereka bagi membantu pelajar yang miskin agar mereka dapat makan di kantin sekolah, memakai baju sekolah yang baharu serta membeli segala kelengkapan sekolah.

Usaha guru ini bukannya untuk mengharapkan pujian.

Mereka ikhlas untuk melihat anak didik berjaya. Saya percaya sekolah lain juga turut mempunyai guru sebegini.

Saya berharap anak-anak zaman kini yang masih bergelar pelajar sedar bahawa guru sewajarnya menjadi adiwira mereka.

Artikel Menarik:

Kalau dah jiwa pendidik, terlantar di hospital pun tetap nak mengajar - inilah adiwira sebenar

Bukan calang-calang Kelab Doktor Muda sekolah, mereka dilatih guna modul daripada KKM

Tolak tawaran belajar ke luar negara dan tekad ambil STPM.. Habil buat semua ini kerana ibu.

'Ke tadika pun tak pernah, saya sedih bila adik tanya bila boleh sekolah' - Kisah pilu 3 beradik

Tiada petua khusus, anggap al-Quran sebaai sahabat sejati - ini kata Farhatul, pelajar SMAP Labu