BERGELAR guru, mencurah ilmu dan memberi bimbingan demi anak bangsa sememangnya satu tugas mulia yang tidak semua orang boleh melakukannya.

Lebih mengagumkan ada pula guru yang sanggup berkorban masa dan  wang ringgit, mengusahakan sehingga anak didiknya mampu 'terbang tinggi menggapai awan' dan meletakkan kemenjadian murid itu perkara nombor walid dalam hidup.

Walaupun adakalanya dilabel dengan pelbagai perkataan yang tidak lunak untuk didengar namun tuntutan amanah dan tanggungjawab itu mengatasi segala.

Begitulah jiwa seorang pendidik. Apatah lagi bagi seorang guru di Sekolah Dalam Hospital (SDH), tidak  ubah seperti seorang doktor, guru-guru ini berusaha memberi sinar dan harapan kepada pelajarnya yang ada kalanya pesakit terlantar dan menerima rawatan bertahun di hospital.

Guru Sains, SDH Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia  (PPUKM), Nur Farhana Ramli berkongsi cerita bagaimana beliau dan rakan merupakan kumpulan pertama SDH yang ditubuhkan pada tahun 2011.

"Program ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan untuk memastikan kanakkanak yang  menerima rawatan di hospital kerajaan di seluruh negara berpeluang meneruskan pembelajaran.

"Dulu kami di Bahagian Pendidikan Khas, tapi kini di bawah Bahagian  Pengurusan Sekolah Harian.

"Meskipun mengajar di hospital dan bukannya di sekolah namun tugas sebagai seorang guru tetap berjalan seperti biasa," katanya.

CABAR DIRI

Cikgu Nur Farhana mengajar Sains daripada kanak-kanak pra sekolah berusia empat tahun  sehinggalah tingkatan enam.

"Penempatan pertama saya sebagai seorang  guru adalah di Sarawak pada tahun 2009, saya mengajar di SK Kampung  Lintang selama setahun dan SK Agama Majlis Islam Sarawak (dua tahun)," katanya.

Cikgu Nur Farhana membimbing pelajarnya dalam aktiviti pembelajaran berasaskan projek.

Selepas tiga tahun di arus perdana, beliau  kemudiannya memohon  untuk mengikuti program SDH kerana mahu mencabar diri meneroka peluang lain.

Beliau pada mulanya ditempatkan di Hospital  Kuala Lumpur (HKL) dan dipindahkan ke PPUKM setahun kemudian.

Kata Cikgu Nur Farhana, menjadi guru SDH ini agak mencabar kerana perlu berurusan dengan pelajar yang sakit dan bertukar setiap hari.

"Waktu kerja saya bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang, dimana sesi  belajar murid akan berlangsung selama 30 minit ke satu jam untuk setiap subjek bergantung kepada keadaan pelajar.

"Pihak hospital menyediakan satu bilik untuk dijadikan kelas bagi pelajar  yang mampu untuk datang kelas. Bagi pelajar yang sakit terlantar sesi pengajaran dan  pembelajaran dijalankan di katil mereka.

"Menjadi guru SDH membuatkan saya rapat dengan keluarga pelajar. Kami berkongsi kegembiraan dan kesedihan bersama-sama.

"Kami turut merasai kehilangan apabila berdepan dengan kematian  tetapi kami perlu bijak mengawalk emosi.

"Saya bangga apabila salah seorang pelajar saya kini sedang melanjutkan  pengajian dalam bidang pendidikan  untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang guru," katanya.

Berbanding dengan tugas guru di sekolah, beliau mengakui berhadapan  cabaran besar untuk menarik minat dan menerapkan pemikiran positif dalam kalangan pelajarnya.

Oleh itu, beliau perlu menggunakan pendekatan yang pelbagai, perlu lebih kreatif dan berinovasi dalam proses  pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

INOVASI PDPC

Bagi memudahkan pelajarnya memahami topik Sains dan Matematik  yang diajar, Cikgu Nur Farhana membimbing pelajar untuk menghasilkan komik STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

"Melalui Komik STEM ini pelajar dapat belajar dengan keadaan yang lebih  santai di mana saya cuba membawa Prinsip Bernoulli untuk subjek Fizik dalam komik ini.
"Saya dapati kaedah ini sangat membantu pemahaman pelajar untuk tajuk ini yang selalunya sukar difahami," katanya.

Cikgu Nur Farhana berkata, selain tajuk Prinsip Bernoulli ada lagi tajuk lain yang diolah dalam bentuk komik.

Selain itu, beliau turut menghasilkan inovasi PDPC iaitu menggunakan teknologi Augmented Reality.

"Inovasi ini dinamakan Anacube yang terdiri daripada tiga kiub yang mempunyai gambar haiwan pada sisinya.

"Inovasi ini telah memenangi pingat Perak dalam pertandingan K-Inovasi  Universiti Kebangsaan Malaysia 2016," katanya.

Katanya, melalui kuib itu pelajar hanya perlu imbas gambar haiwan yang  mereka inginkan dan video haiwan tersebut akan terpapar di peranti yang digunakan.

"Dengan Anacube, pelajar yang menerima rawatan di hospital boleh  merasai pengalaman dan melihat kehidupan sebenar di dunia luar.

"Saya tidak dapat  membawa pelajar saya ke zoo, jadi dengan Anacube saya boleh membawa mereka meneroka kehidupan haiwan secara lebih dekat," katanya.

SOKONGAN

SDH PPUKM beroperasi dengan seorang penyelia, enam guru dan  seorang pembantu pengurusan murid.

"Setiap hari kami mengajar pelajar yang berbeza kerana ada dalam kalangan mereka yang tinggal lama di hospital dan ada juga dalam masa singkat.

"Jadi setiap hari kami melalui pengalaman berbeza dan sentiasa  perlu bersedia dengan keadaan luar jangka," katanya.

 

Beliau berkata, ada juga pelajar mereka yang tiba-tiba tidak dapat  mengikuti proses pembelajaran kerana  keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan selepas menjalani sesi rawatan dan apabila situasi ini berlaku, mereka akan memainkan peranan memberi sokongan emosi dan kata-kata semangat.

Guru-guru perlu memahami SDH bukan sahaja sekolah bagi pelajar itu  tetapi tempat di mana mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa, pergi sekolah belajar dan gembira bersama kawan-kawan lain.

Menyentuh mengenai Pembelajaran Abad Ke-21, Cikgu Nur Farhana  berpandangan semua guru perlu mengaplikasikan kaedah pengajaran itu kerana kesannya banyak membantu PdPc dan pemahaman pelajar.

"Saya melihat kaedah PAK21 amat  membantu dalam menarik minat pelajar dan lebih memudahkan serta  membantu guru dalam merancang sesi pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Artikel Menarik:

'Perlu jaga imej' - Guru ini kongsi empat elemen imej yang perlu ada pada pendidik

'Tidak layak ke sekolah berasrama penuh, bukan gelap masa depan' - Penulis ini kongsi pengalaman

Anak dapat tawaran SBP...kepuasan mak ayah atau kehendak anak?