“Orang tidak kisah sebanyak mana kamu tahu, sehingga mereka tahu sebanyak mana kamu kisah.”- Theodore Roosevelt

Ramai beranggapan  bahawa pedagogi pengajaran dalam bilik darjah yang dipelajari seorang guru di maktab atau universiti sudah cukup untuk menjadikan guru tersebut bersedia dalam membentuk kemenjadian seseorang murid di sekolah.

Adalah sukar untuk seorang guru mencapai objektif tersebut tanpa pedagogi hati.

Pedagogi hati merupakan suatu cara seorang guru memahami muridnya menerusi keakraban tanpa prejudis.  Pendekatan ini dapat membentuk cara seorang murid berfikir dan berkelakuan dalam sekolah serta menambah baik pencapaian akademiknya di sekolah.

Terdapat tiga cara penerapan Pedagogi Hati seorang guru kepada seorang murid.

Kasih Sayang

Menerima seorang murid dengan seadanya tanpa melihat latar belakangnya. Gunakan kata-kata yang positif dan membina apabila menegur mereka. Sayangi mereka seperti kita menyayangi anak-anak kita sendiri. Tunjukkan kepada murid-murid bahawa pengetahuan mereka dari segi akademik tidak menjadi kayu pengukur untuk kita  mendidik mahupun sayangi mereka.

Empati

Sentiasa peka dan memahami perasaan mereka. Adakalanya murid inginkan suara hati mereka didengari dan difahami oleh seseorang. Tugas kita sebagai pendidik, kita boleh menunjukkan yang kita mudah didekati oleh mana-mana murid untuk berkongsi suka duka mereka apabila kita meminjamkan telinga kita untuk mendengar. Walaupun kita tidak dapat menyelesaikan masalah mereka, tetapi tindakan mendengar itu sendiri memberi impak yang besar untuk seseorang murid.

Percayakan Murid

Guru perlu percaya bahawa murid dapat mencapai kejayaan mengikut kapasiti masing-masing. Kita juga perlu menyampaikan mesej bahawa kita menjangkakan mereka akan mencapai kejayaan itu. Sikap positif kita yang mempercayai mereka akan menular dalam diri mereka sendiri. Mereka akan mengikut rentak positif yang kita semai dalam diri mereka.

Kata-kata seperti, “saya percaya kamu pasti boleh” boleh mencetus sikap percayakan diri mereka sendiri. Saya percaya pada Pedagogi Hati.

Saya percaya Pedagogi Hati dapat membentuk kemenjadian seorang murid. Harap perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada para pendidik serta semua pembaca.

Stephen Isaac

Guru Sains dan Biologi,  SMK (L) Methodist, Sentul, Kuala Lumpur

Artikel Menarik:

Cikgu boleh buat senaman ringkas untuk elak murid mengantuk...mereka pasti bertenaga selepas itu

Pelajar beri salam, cium tangan pengawal dipuji warganet termasuk menteri

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020