Menerusi artikel Cabaran Anak Autisme di SINAR HARIAN ada mengupas perihal anak istimewa ini.  Tidak ramai yang mengetahui dan faham, malah terapi dan pendidikan yang sesuai dengan mereka juga tidak dipenuhi.

Walhal, perlunya anak-anak istimewa ini perlu diberikan pendidikan awal,  sesuai dengan tempoh perkembangan otak kanak-kanak, moga mudah menyerap ilmu dan  dapat mengubah perjalanan autisme.

Jika ditakdirkan anda dianugerahkan anak autisme, apa yang anda akan lakukan? Adakah anda akan sembunyikan mereka atau biarkan si kecil terus berada dalam dunia mereka sendiri tanpa dibela?

Ketua Program Genius Kurnia, yang juga bekas Guru Besar di SK Pekan Nenas, Cikgu Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin berkongsi pengalaman dan  pandangan.

Semoga ia sedikit sebanyak dapat membantu para ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini.

Pernah ada yang bertanya, apa perasaan aku bila tahu Matiin seorang autisme.

Sedih? Kecewa? Redha?

Jujur aku boleh kongsi di sini, semua itu terbit dalam masa yang sama. Ibu atau bapa manalah yang tak akan gusar kan?

Tiba-tiba dunia rasa gelap gelita dan seolah-olah dunia tak adil untuk kita. Pelbagai persoalan mula terbit diminda.

Lagi memburukkan keadaan bila pasangan mula menyalahkan antara satu sama lain, yang ini lagilah menyedihkan.

Anda yang sedang melalui fasa ini janganlah terus menyerah kalah apatah lagi terus menyalahkan apa yang dah pun berlaku.

Kalau hendak mencari punca, kau akan penat. Yelah, autisme belum ada faktor khusus yang menjadi penyebabnya hingga kini. Kalau ada pun cuma faktor risiko sahaja, itu pun terlalu banyak kemungkinan.

Sedih tu biarkanlah ia berlalu pergi, sampai bila nak ditanggung? Luahkanlah kepada pasangan atau sahabat biar kurang bebanan yang ada.

Kalau disimpan, khuatir ia menjadi punca kepada stress dan seterusnya makin teruk hingga membawa kepada kemurungan. Kesannya, anak syurga kita juga yang akan terabai.

Pesan aku, kita cari kekuatan untuk bangkit. Lihatlah wajah anak itu, dan fikirkanlah masa depan mereka. Cari jalan bagaimana mereka boleh dibantu, apa bentuk sokongan yang boleh diberi.

Mulakanlah dari keluarga, ibu bapa perlu bersama dan mempunyai kesefahaman dalam merancang apa yang perlu dicapai oleh anak ini.

Adik beradik perlu tahu bahawa ada antara mereka ini adalah begitu istimewa sekali. Rapatkan jurang dengan kasih sayang.

Masa tidak akan menunggu kita, maka rancanglah perancangan jangka masa pendek dan juga panjang perlu ada. Pendek kata, rancanglah sesuatu untuk anak ini capai bersama kita. Janganlah dibiarkan sahaja atau menafikan hak anak ini.

Sudahkah anak kita ini pandai mengurus diri?

Bagaimana dengan kemahiran mereka ke tandas?

Anak kita pandai meminta atau berkomunikasi jika mahukan sesuatu?

Adakah anak ini tahu menyatakan perasaan mereka?

Persoalan-persoalan di atas perlu ditanya kepada diri kita dan pasangan. Jadikan ia sebagai motivasi untuk membantu anak syurga kita agar dapat mereka menjalani kehidupan bersama-sama orang di sekelilingnya.

Usah membanding anak ini dengan yang lain, fokuskan pencapai mereka dengan apa yang telah kita rancangkan.

Biarpun perkembangannya tidaklah sebesar mana jika dibanding dengan anak yang lain, ketahuilah.. ia sebenar begitu bermakna buat mereka. Teruskan!

Seterusnya, carilah ilmu dan bina ‘support system’ antara guru - ibu bapa juga ibu bapa - ibu bapa. Dari sinilah kita dapat berkongsi pula pengalaman dan ilmu yang ada.

Banyak kumpulan sokongan yang ada di luar sana, contohnya Autisme Malaysia, NASOM, IDEAS, Yayasan Faqeh, PPIJB dan macam-macam lagi termasuk yang tersedia di hospital dan sekolah.

Lebih mudah juga untuk kita bangkit apabila rasa hampir berputus asa itu adanya sokongan dari mereka yang faham dan berada dalam situasi yang sama.

Pengalaman kami dahulu, waktu inilah segala jenis bengkel kami sertai untuk memperoleh ilmu dalam intervensi awal serta terapi pertuturan.

Macam-macam jenis kelas juga kami hantar Matiin untuk membantunya serta bagi kami teruskan pula intervensi tersebut d irumah melalui apa yang diperhati dan diajar kepada kami.

Yelah, benda ini bukan hanya usaha sebelah pihak, walau semahal mana sekalipun yuran terapi yang dibayar.. ia bukan jaminan untuk perkembangan anak.

Sebaliknya, masa bersama ibu bapa lah merupakan masa terapi terbaik untuk anak-anak ini.

Paling penting, jangan berputus asa, jangan bersedih terlalu lama, jangan juga menyalahkan sesiapa termasuk anak itu!

Jangan! Jangan! Jangan!

Bina kekuatan dari kesedihan, dan ketahuilah anak kita adalah anugerah terindah dalam seluruh kehidupan ini.

 Pimpinlah mereka hingga mereka mampu berdiri sendiri walaupun ia akan mengambil seluruh masa kita, kerana percayalah.. perancangan Tuhan itu adalah sebaik-baik perancangan.

Kepada ibu bapa yang sedang berada di dalam situasi seperti aku, marilah kita sama-sama menyokong antara satu sama lain.

Mulakan dengan melayari laman web kami Genius Kurnia di pautan ini,

https://iautism.my/

https://iautism.my/

https://iautism.my/

Pelbagai jenis maklumat yang boleh kau peroleh mengenai autisme dan bagaimana anak-anak ini boleh dibantu.

Selain itu, ibu bapa dan guru juga boleh mendapatkan pelbagai jenis latihan dalam talian di sana.

Segala jenis latihan yang disediakan adalah untuk membantu ibu bapa, guru dan orang ramai bagi memahami apa itu austime dan bagaimana intervensi awal boleh membantu mereka. Semua ini disediakan oleh mereka yang semestinya pakar dalam bidang ini.

Akhir kata, teruskan pejuangan ini. Tanpa anak-anak ini, tidak mungkin kita akan melihat dunia dari pelbagai sudut. Tidak mungkin juga kita akan menghargai sekecil-kecil perkara di sekeliling kita. Tidak mungkin juga kita akan menjadi orang yang sabar dan begitu empati kepada orang di sekeliling kita.

 

#autismdad

XMA Header Image

iAutism.my – AUTISM is not a tragedy, IGNORANCE is.

iautism.my