TARIKH 16 Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Setiap sekolah pastinya akan menyambut dengan pelbagai situasi tema dan aktiviti yang menarik, menggambarkan keunikan insan yang bergelar guru.

Sesiapapun antara kita pasti pernah diajar oleh  guru. Sebagai membalas jasa  dan pengorbanan guru wajarlah kita memberi penghargaan kepada mereka.

Kebiasaannya anak-anak akan memberi hadiah kepada guru pada  sambutan Hari Guru.

Walaubagaimanapun sebagai  menghargai jasa guru pelbagai cara yang kita boleh lakukan seperti memberi kad ucapan Hari Guru.

Malah ada yang berusaha menghasilkan kad ucapan dengan hasil tangan sendiri.

Ada juga yang membuat kad ucapan gergasi berserta tanda tangan setiap murid.

Bagi sesetengah guru, kad ucapan buatan sendiri lebih berharga malah ada yang dijadikan koleksi kerana ia menggambarkan kesungguhan anak muridnya.

Tanda kita menghargai jasa guru tidak hanya pada  sambutan Hari Guru sahaja.

Selain itu kita juga boleh membuat kejutan iaitu menghadiahkan sebiji kek khas kepada guru apabila kita tahu tarikh lahir guru tersebut.

Suapkan kek yang dipotong oleh guru kepada guru tersebut.

Hal ini pastinya membuatkan guru berasa seronok, terharu malah tak kurang juga yang akan menitiskan air mata. Andainya kita telah bekerja, berbincanglah dengan rakan-rakan untuk meraikan sambutan hari jadi guru yang kita sayangi di tempat yang lebih istimewa.

Apabila menjelang hari raya berkunjunglah bersama rakan-rakan ke rumah guru kita.

Amalan ini bukan sahaja sebagai tanda kita menghormati guru kita tetapi juga membuktikan bahawa guru sentiasa terpahat di hati anak murid.

Guru-guru akan lebih seronok apabila anak-anak muridnya datang ke rumah. Lebih-lebih lagi anak murid yang telah bekerjaya. Melihat kejayaan anak-anak murid merupakan hadiah yang paling besar kepada guru.

Hal ini kerana kejayaan anak-anak murid juga merupakan kejayaan guru-guru juga.  Begitu juga apabila kita mengetahui guru kita sakit, ziarahilah mereka, bawalah buah tangan.

Kedatangan pelajar akan memberi ketenangan, kegembiraan dan semangat kepada mereka.

Berilah kata-kata perangsang. Doakan agar guru kita sentiasa sihat. Selain itu jika guru kita mengadakan majlis kenduri kahwin contohnya, datanglah bersama rakan-rakan untuk membantu apa yang patut.

Hal ini boleh membantu melancarkan majlis kenduri tersebut di samping mengurangkan beban guru mengemas,  membersih dan sebagainya.

Sekiranya kita mengadakan majlis reunion jemputlah guru-guru yang  pernah mengajar kita.

Ini akan memastikan hubungan  silaturahim bukan hanya antara rakan malahan antara guru bertambah erat. 

Jika kita minat menulis tulis sebuah sajak atau gurindam khas untuk guru kita. Jika kita seorang penulis tulislah bibliografi atau memoir guru yang kita sayangi.

Sebenarnya banyak lagi cara untuk kita membalas jasa guru tidak hanya  pada 16 Mei sahaja.

Apapun guru adalah insan yang  berjasa kepada kita. Walau siapapun kita hargailah jasa dan pengorbanan  seorang guru. Marilah sama-sama kita mengucapkan 'Selamat Hari Guru, Terima Kasih Cikgu.'

MOHAMAD ALI ALIMIN

Guru Besar SK Bukit Changgang, Banting, Selangor.

Artikel Menarik:

"Li, kau buat apa pula ni?" - Soal PK Hem apabila peguam sampaikan surat mahkamah

Tak sangka cikgu masih tunggu aku… ALLAH”- 'Ustaz Hamadi' sebak jumpa guru Muziknya di sekolah

Persembahan memukau Cikgu Donze hingga muncul Johan Kategori Nyanyian Solo