Beberapa bulan lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan.

Kebiasaannya, ia dikeluarkan pada sekitar bulan Mac setiap tahun, namun bagi keputusan SPM 2020 sedikit lewat diumumkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.

Ketika ini, pelajar lepasan SPM pastinya sedang memasang cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengikuti bidang yang diminati.

Bagaimanapun, golongan itu harus berwaspada dengan iklan IPT yang menjanjikan 'bulan dan bintang' seperti akan terus ditawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan selepas tamat pengajian.

Kini, pelbagai taktik digunakan penipu atau 'scammer' terutama dalam era digital menerusi media sosial mahupun laman sesawang.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Ada juga yang menggunakan nama universiti tempatan yang ternama untuk membuat hari pendaftaran "kolej" mereka bagi mengaburi mata ibu bapa dan pelajar itu sendiri.

Pelajar lepasan SPM kini akan mendapat banyak tawaran untuk melanjutkan pengajian, malah ada kalanya dari institusi luar negara apabila maklumat diri seperti alamat rumah atau e-mel pernah dikongsi menerusi pameran pendidikan atau cara lain.

Apapun, pelajar perlu memastikan program ditawarkan mendapat akreditasi. Jika tidak, berkemungkinan besar akan mengundang pelbagai masalah terutama membabitkan kualiti program apabila tamat pengajian nanti.

Pernah pada satu ketika, ada pelajar yang sukar mendapat pekerjaan ekoran daripada diploma penyiaran yang diikutinya di sebuah kolej swasta tidak mempunyai akreditasi.

Dia hanya menyedari perkara itu selepas terbaca di akhbar dan menyatakan kekesalan selepas berhempas pulas mengikuti pengajian selama tiga tahun setengah.

Lebih menyedihkan, skrol diplomanya hanya diberikan begitu sahaja tanpa ada sebarang majlis konvokesyen dibuat oleh kolej yang beroperasi di ibu negara itu.

Itu hanya satu contoh daripada banyak lagi kes penipuan yang dilaporkan kepada sebuah persatuan pengguna berkaitan kolej yang menawarkan program tanpa akreditasi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
 

Secara umumnya, akreditasi adalah proses yang ditetapkan bagi membolehkan program pengajian yang kita ikuti itu sudah mencapai standard akademik ditetapkan menerusi penilaian ketat sesebuah agensi kelayakan.

Di Malaysia, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diberikan tanggungjawab membuat penilaian dan memberikan akreditasi untuk setiap program pengajian yang ditawarkan di mana-mana universiti awam (UA) atau IPT.

Jadi, sebelum pelajar mengatakan 'ya' untuk mengikuti sesuatu program, pastikan ia mendapat akreditasi terlebih dulu.

Program berakreditasi bukan hanya diperakui kualitinya, malah perakuan sesuatu program akan disemak apabila membabitkan pelantikan di sektor awam, bantuan biasiswa serta urusan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Dalam era digital ini, mudah untuk pelajar membuat semakan maklumat kelayakan akreditasi sesebuah program akademik IPT tempatan, misalnya melalui portal MQA menerusi Daftar Kelayakan Malaysia (MQR), Portal Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) atau boleh muat turun aplikasi myMQR di App Store atau Google Play Store.

Diharap dengan semua kemudahan ini, tiada sebab lagi pelajar atau lepasan SPM boleh diperdaya pada masa akan datang.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

Artikel menarik

'Mohon pelajar berdisiplin' - Ini kata Presiden i-Guru berkenaan PdPR yang bakal dilaksanakan semula

 Penutupan sekolah terjejas Covid-19, ini sebab kenapa ramai ibu bapa bersetuju dengan tindakan itu