Naib Canselor, Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman mahu seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerapkan semangat T.E.R.A.S iaitu talent (bakat), ethics (etika), revitalise (menghidupkan semula), agile (tangkas) dan soul (jiwa) secara holistik dalam jiwa.

Beliau berkata, dalam konteks TERAS, warga UKM sama ada ahli akademik, mahasiswa, kakitangan Pengurusan dan Profesional dan sokongan telah berjaya melakar beberapa kejayaan dalam mengharumkan nama universiti.

“Antaranya ialah kejayaan penganjuran APEC Webinar on Industry-Academic-Government (IAG) Collaboration on Alternative RE-Employment Project for Aging Population: An Innovative Employment Management Model (IEMM) yang melibatkan 21 ekonomi di bawah APEC dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Female Entrepreneur,” katanya dalam ucapan Sejenak Minda Naib Canselor UKM baru-baru ini.

Selain itu katanya, kejayaan pakar neurologis muda, Dr Wan Asyraf Wan Zaidi yang menjadi rakyat Malaysia pertama terpilih sertai Program Pemimpin Masa Depan Bagi Penyakit Strok, Pertubuhan Strok Sedunia (WSO FLP) adalah perkara yang amat membanggakan universiti.

“Dr Wan Asyraf telah menggunakan peluang dan fasiliti yang ada di UKM untuk meningkatkan dan menyerlahkan bakat beliau ke peringkat antarabangsa.

“Inilah yang dipanggil agile yang kita mahukan dalam TERAS, iaitu pakar pantas mengikut arus dan terkehadapan dalam membawa kepakaran yang dimiliki oleh UKM,” ujarnya.

Apabila menerangkan tentang ethics, Dr Mohd Ekhwan berkata, pengkomersilan nilai adalah komponen TERAS yang perlu dititikberatkan kerana paten memerlukan ketelusan dalam mendaftarkan harta intelek dan seharusnya ia tiada plagiat dalam menzahirkan inovasi.

“Inilah yang warga UKM telah lakukan apabila dinobatkan sebagai The Most Influential Innovators di South and South East Asia Innovation Awards bagi kategori institusi akademik, sebagai satu-satunya universiti tempatan yang mengungguli anugerah ini pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata, UKM sentiasa melihat dan menilai bakat yang ada pada setiap warganya, dan melalui bakat jugalah Dr Zulkifli Amat yang merupakan Ketua Penolong Pendaftar Kanan dilantik sebagai Pengarah Pusat Sukan UKM.

Dalam ucapannya itu, Naib Canselor turut menekankan keprihatinan UKM dalam membuat pengurangan yuran pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 sebanyak RM350 dan pemberian pelan data dan peranti kepada siswa dari keluarga B40.

“Selain itu, UKM turut memberikan sebanyak 563 buah telefon pintar kepada mahasiswa Tahun 2 hingga Tahun 4.

“Bantuan Peranti iaitu komputer riba juga turut diberikan kepada kepada 250 orang daripada penuntut dan asnaf UKM. Projek sumbangan komputer riba bagi fasa 1 dan fasa 2 ini adalah berjumlah RM475,400 hasil sumbangan dari Zakat UKM dan skim Tabung Endowmen Bantuan Pelajar.

“Inilah yang dikatakan soul iaitu kita mengambil kira keperluan mereka dalam bebanan yuran dan pembelajaran dalam talian,” jelasnya.

Untuk revitalise, Dr Mohd Ekhwan berkata, kebolehpasaran graduan menjadi agenda utama universiti.

“UKM perlu revitalise dalam memastikan program, kursus atau kursus tambahan dan kursus CITRA yang ditawarkan memberi nilai tambah kepada graduan untuk penawaran diri dalam mencari pekerjaan.

“Saya percaya dengan TERAS yang kuat digenggam sebagai jiwa UKM oleh seluruh warga UKM, ia pasti akan menjadi kenyataan,” katanya.

Sumber: Portal UKM

Artikel menarik

Rakyat Malaysia pertama terpilih dalam WSO FLP, ini keistimewaan pensyarah UKM yang ramai tidak tahu

Pecutan Akhir Kimia SPM 2020 bersama 10 Guru Cemerlang. Mohon calon hadam dengan baik