KEMENTERIAN Pendidikan dibawah Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik, menyaksikan perubahan landskap pendidikan negara apabila KPM beralih kepada pendidikan berorientasikan pertumbuhan berbanding orientasi peperiksaan sebelum ini selain usaha mengurangkan beban tugas guru.

Justeru cara pendekatan dan penyampaian ilmu mengalami satu fasa baharu apabila ruang lingkup pembelajaran dan pengajaran lebih luas.

Pendekatan didik hibur menyediakan persekitaran yang lebih seronok pastinya. Ikuti temubual khas Editor GPS Bestari Wan Normi Hasan dan Wartawan Sarina Mohd Som bersama Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menjawab pelbagai isu membabitkan guru dan pendidikan.

1. Banyak perancangan dan perubahan yang dibuat, tentunya memberi kesan besar kepada pelajar dan pendidikan negara, komen Dr.?

Dr. Maszlee: Pencapaian ini tidaklah sempurna, jauh sekali menyelesaikan keseluruhan perkara tetapi pencapaian yang dicapai ini akan menjadi permulaan yang baik. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

Masih banyak harapan yang perlu kita tunaikan.

Ada sembilan teras pencapaian KPM setelah setahun mentadbir. Sembilan teras merangkumi sembilan kelompok yang ingin kita beri tumpuan. Pertamanya, untuk mewujudkan keseimbangan dan kesejahteraan akses terhadap pendidikan agar tiada mana-mana golongan yang tersisih.

Kita beri tumpuan penuh kepada golongan B40 atau mereka yang kurang berkemampuan.

Inisiatif ini memberi manfaat kepada 23,895 pelajar miskin di seluruh negara. Teras kedua adalah guru sebagai fokus utama. Kita akui guru merupakan adiwira perubahan yang sebenar dan suara keluhan mereka tidak boleh sesekali diabaikan.

Di bawah teras ini, ada dua fokus yang kita beri penekanan.

Fokus pertama adalah isu kebajikan guru. Buat masa ini, kita sedang giat mengadakan perbincangan dengan semua pihak untuk menggubal segera Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan dan kebajikan guru ketika membawa murid keluar sekolah.

Dalam masa sama, kita juga dalam usaha mengukuhkan fungsi dan peranan dimainkan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) untuk turun ke sekolah dan mengajar bagi membantu memberi panduan kepada guru dan pihak sekolah untuk pastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran murid.

Fokus kedua adalah beban guru.

Saya akui, ini merupakan cabaran yang sangat besar dan harapan yang begitu menggunung daripada para guru.

2. Apakah perancangan untuk mengurangkan beban tugas guru?

Dr. Maszlee: Bermula pada tahun ini, kita telah merangka lima inisiatif dan sembilan intervensi untuk mengurangkan bebanan guru. Inisitiaf ini bertujuan mengatasi pertindihan tugas guru supaya dapat memberi fokus yang lebih kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan sekali gus ada lebih banyak ‘facetime’ (waktu berinteraksi) dengan anak-anak untuk mendidik dan menggilap potensi mereka.

Selain daripada lima inisiatif itu, kita juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang yang melibatkan isu lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar serta peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur fizikal ICT serta pengoptimuman perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah.

Ini termasuklah isu berkaitan waktu kerja guru, capaian internet di sekolah, integrasi sistem maklumat, peranan pentadbir dan anggota kumpulan pelaksana serta agihan guru.

Teras ketiga, perhatian penuh kepada murid.

Kita tekankan pendidikan anak-anak tahap 1 dengan mansuh semua peperiksaan ke atas mereka.

Kita mahu mereka ke sekolah dengan gembira dan perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Mereka perlu belajar tanpa tekanan dan paksaan dan menganggap dunia adalah sekolah pembelajaran bagi mereka.

Kita berhasrat agar proses PdP (Pembelajaran dan Pengajaran) menjadi sebahagian daripada pembelajaran ceria ('fun learning') yang membantu proses pencernaan ilmu dalam jiwa murid.

Malahan, ini juga satu usaha agresif KPM untuk mula bergerak ke arah paradigma 'student-centered learning' (pembelajaran berasaskan murid).

3. Bagaimana dengan kanak-kanak tanpa dokumen, setakat ini berapa pelajar yang telah diberi peluang untuk mendapat pendidikan?

Dr. Maszlee: Tahun ini, kita telah membuka peluang seluas-luasnya kepada mereka. Sehingga hari ini sahaja, seramai 2,635 anak-anak telah mengikuti sesi persekolahan. Prinsip KPM jelas, pendidikan adalah hak setiap kanakkanak tidak kira di mana sahaja mereka berada dan dari mana mereka datang.

Pendidikan akan menyelamatkan anak-anak ini dan keseluruhan generasi mereka, daripada terlibat dengan jenayah dan gejala sosial.

Malah, inisiatif ini juga akan memberi impak sangat besar kepada masyarakat dalam jangka masa panjang. Hal ini selari dengan program sifar keciciran murid yang telah kita jalankan melalui Program Perintis Sifar Murid Cicir (PSMC).

Melalui program ini, sebanyak 26.1 peratus, iaitu 262 pelajar di sekolah menengah telah kembali ke sekolah.

Teras keempat, iaitu komitmen menangani sekolah daif menjadi antara tumpuan paling besar KPM. Di pejabat saya sendiri, saya minta diwujudkan dashboard (papan pintar) untuk saya meninjau secara langsung tentang perkembangan pembangunan seklah daif di sleuruh negara.

4. Berapa sekolah yang telah siap dibaik pulih setakat ini?

Daripada 394 sekolah daif, 301 daripada telah siap dengan CPC (Sijil Penyiapan Praktikal) dan 93 dalam peringkat pelaksanaan manakala 107 buah lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka selesai hujung tahun ini.

Saya yakin dengan menyelesaikan isu ini secara tuntas, barulah adil untuk kita bercakap tentang 'futureproofing' anak-anak, ketika sekolah daif ini setara dengan sekolah di Kuala Lumpur.

Teras kelima juga antara perkara sangat besar dan akan sering diberi tumpuan, iaitu Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang sentiasa mendiami relung hati saya yang paling dalam.

Mulai tahun ini, kita laksana Dasar Sifar Penolakan ('Zero-Reject Policy') bagi memastikan tiada lagi kanak-kanak istimewa yang terpinggir daripada mendapat hak pendidikan yang sewajarnya.

Artikel menarik:

Cara mudah menghafaz al-Quran... 10 tip ini boleh dijadikan panduan

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

'Kami rindu dia, rindu nak dengar dia mengaji, bernasyid' - Ahli keluarga kongsi momen bersama arwah

Fatimah kehilangan Mamajee, video buat AKOK GIANT jadi kenangan (5 foto)

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan