1. Apa perancangan dan pelan Kementerian Pendidikan (KPM)bagi membantu warga pendidik yang mengalami masalah kesihatan mental?

Nor Hafizah Mahmud, Kaunselor SMK Tanjung Pauh, Jitra, Kedah

DR. MASZLEE: Masalah kesihatan mental termasuk stres dalam kalangan guru berlaku atas beberapa sebab termasuk isu keluarga, isu kewangan, isu pentadbiran, bebanan tugas, tidak menerima penghargaan dan juga ada antara mereka yang kurang kemahiran dalam menjalankan tugas serta tidak dilatih untuk menangani stres.

Pihak KPM sentiasa prihatin dengan isu stres, kemurungan serta isu-isu emosi lain dalam kalangan guru.

Ini memandangkan peranan guru amat penting dalam mencorakkan sekolah, anak-anak murid dan generasi ke hadapan. KPM mempunyai kaunselor terlatih yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membantu guru-guru yang mengalami stres untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Namun begitu, kementerian mengakui bahawa bilangan kaunselor yang ditempatkan di PPD adalah belum mencukupi setakat ini dan sepatutnya ditingkatkan lagi bagi membantu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan guru.

Sehubungan itu, KPM akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambahkan bilangan kaunselor bagi membantu guru yang menghadapi stres dan masalah kemurungan berdasarkan nisbah 1:500 seperti mana yang telah ditetapkan untuk murid sekolah dan juga bahagian pendidikan yang lain.

Walau bagaimanapun, pelbagai aktiviti juga turut diadakan bagi tujuan pembangunan, pencegahan dan intervensi bagi membantu guru-guru yang mengalami stres dan kemurungan.

Antara aktiviti tersebut adalah seperti Program Pengurusan Konflik, Program Pengurusan Emosi dan Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB).

Guru-guru yang telah disahkan oleh pakar perubatan menghadapi masalah kesihatan mental atau kemurungan juga akan ditempatkan dalam Jawatan Kumpulan Pool, bagi memudahkan guru-guru ini menerima rawatan yang sewajarnya.

Selain itu, guru besar dan pengetua juga memainkan peranan yang amat penting bagi mengenal pasti guru-guru yang menghadapi masalah stres dan kemurungan.

Oleh yang demikian, KPM juga telah menjalankan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) kepada pemimpin-pemimpin sekolah yang terdiri daripada pengetua, guru besar dan juga kepada guru-guru bagi mengenal pasti guru yang mengalami stres dan kemurungan bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil dengan segera.

KPM di era Malaysia baharu juga komited untuk menerapkan budaya kegembiraan, kasih sayang dan hormatmenghormati melalui pelbagai program aktiviti dan inisiatif demi memastikan bilangan guru stres atau murung akan dapat dikurangkan secara signifikan.

Matlamat KPM di masa hadapan adalah untuk memastikan proses pembelajaran dan pengajaran akan menjadi aktiviti yang menggembirakan.

Artikel berkaitan:

Siri 1: Tiga soalan untuk Menteri Pendidikan - Ini Jawapan Dr. Maszlee

Siri 2: KPM hargai sumbangan pengetua, guru besar dan guru kanan

2. Mohon kaji perjawatan guru penolong kanan Pendidikan Khas gred DG44. Jika boleh diselaraskan sama dengan guru penolong kanan lain kerana beban tugas mungkin sama malah mungkin lebih luas lagi merangkumi kurikulum akademik, kokurikulum dan hal ehwal murid Pendidikan khas.

Sanra Amilasan, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kinarut, Papar, Sabah

DR MASZLEE: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberikan perhatian penuh kepada bidang pendidikan khas.

Cadangan ini perlu diteliti dengan mengambil kira pelbagai keadaan. KPM sememangnya dalam proses untuk memperkasa bidang pendidikan khas agar ia mampu memberikan kualiti terbaik buat anak-anak dan guru-guru yang terlibat.

3. Sejauhmana KPM dapat memastikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dijalankan dengan baik di sekolah? Kalaulah hanya berdasarkan pemantauan, semua guru atau pelajar boleh melakukan magis pada sekeping borang. Sedangkan hakikatnya bilangan pelajar yang ramai dalam kelas menyukarkan cikgu mentaksir pelajar secara dekat dan berterusan. Tambahan pula mentaliti ibu bapa dan guru di Malaysia masih kepada peperiksaan. Inilah sebenarnya beban utama guru di sekolah.

Dr Salbiah Mohamed Salleh Guru Cemerlang SM Sains Pasir Puteh, Kelantan

DR. MASZLEE: Pengukuhan PBD termasuk pemansuhan peperiksaan bagi murid tahap satu merupakan antara usaha yang dilaksanakan oleh KPM untuk memberi fokus dan meneroka kepelbagaian potensi yang ada pada murid.

Di samping itu, kita juga berhasrat untuk membolehkan guru memberi tumpuan penuh kepada tugas mendidik.

Hal ini juga mampu membebaskan murid daripada tekanan di peringkat awal persekolahan.

Keadaan ini juga akan membolehkan guru menyemai nilai murni di samping membantu membentuk karakter positif dalam diri murid.

Hakikatnya pengukuhan PBD ini akan memberi lebih ruang kreativiti dan kebebasan kepada guru-guru untuk mencorak kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Ini termasuk mengaplikasikan kaedah bersifat permainan, projek mudah, bercerita mahupun berbentuk kuiz.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha murni untuk mencungkil bakat dan minat murid di samping menarik perhatian mereka untuk melihat sekolah sebagai satu tempat yang menggembirakan dan menyeronokkan.

Diakui pada peringkat awal mungkin ada ibu bapa yang tidak memahami secara menyeluruh bagaimana usaha ini, namun dengan keberkesanannya nanti termasuk usaha berterusan semua pihak, hal ini akan mudah diterima.

Melaksanakan pembaharuan untuk kemajuan negara dan generasi hadapan bukan sesuatu yang mudah, namun ia tetap perlu dilaksanakan kerana manisnya kelak akan samasama kita rasai.

Artikel menarik:

SMK Khir Johari johan FiTA Wave Short Film Awards 2019, SMK Seksyen 18 Filem Pilihan Popular

Cikgu Hailmi pesan jangan keterlaluan di media sosial kelak diri sendiri yang rugi

Pasukan debat Sekolah Seri Puteri wakili negara ke pentas dunia

Empat elemen imej yang perlu ada pada seorang guru, nombor 1 paling ramai pelajar nantikan

Mak ayah perlu buat ini jika mahu anak mereka skor A Matematik