SIRI 4

Guru Pemulihan Khas merupakan guru yang terlatih dari institusi yang menyediakan kursus-kursus pendidikan pemulihan seperti di universiti, institut perguruan mahu pun institut pendidikan guru sama ada dalam negara atau luar negara.

Hasilnya, Guru Pemulihan Khas mempunyai kepakaran dan kemahiran yang khusus bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid yang lemah dalam penguasaan kemahiran asas 3M (menulis, membaca dan mengira) – Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas.

Merujuk kepada maksud siapa Guru Pemulihan Khas dapatlah difahamkan bahawa Guru Pemulihan Khas ialah guru pakar dalam bidang mengatasi masalah 3M tersebut.

Kalau di hospital, ada pelbagai doktor yang mahir dalam bidang masing-masing untuk merawat pesakit biasa.  

Dalam bilangan ramai doktor itu pula wujud sebilangan kecil Doktor Pakar yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang kepakaran masing-masing untuk merawat pesakit yang lebih kronik.

Begitu juga dalam bidang pendidikan. Ramai guru dengan kemahiran mengikut mata pelajaran masing-masing.

Tidak semua guru ada kepakaran dalam bidang mengatasi masalah murid yang tidak menguasai 3M.

Jelas di sini Guru Pemulihan Khas ialah GURU PAKAR bagi mengatasi masalah kronik murid yang tidak menguasai 3M.

Sekiranya ada yang kata Guru Pemulihan Khas itu banyak rehat, itu merupakan satu pandangan yang amat tidak tepat, tidak bertanggungjawab dan tidak benar segalanya.

Cikgu Roslee (kanan) berharap KPM dapat memperkasakan peranan Guru Pemulihan Khas dalam aspek pedagogi kerana aspek ini amat penting dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas Pemulihan Khas.

Saya senaraikan dahulu senarai tugas Guru Pemulihan Khas berdasarkan Buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas.

1. Merancang dan melaksanakan Program Pemulihan Khas mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

2. Memastikan murid Tahap Satu dan Tahap Dua menguasai kemahiran asas 3M sebagai sasaran kerja tahunan (SKT).

3. Menjalankan IPMBDP dan ISD kepada murid yang kebarangkalian mempunyai ciri-ciri bekeperluan khas .

4. Membantu guru-guru mata pelajaran dalam mengenalpasti murid-murid yang perlu mengikuti Program Pemulihan Khas.

5. Berjumpa dan berbincang dengan guru mata pelajaran, guru bimbingan, ibu bapa dan pihak-pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tingkah laku, tahap kesihatan dan lain-lain keterangan mengenai latar belakang murid.

6. Bertindak sebagai Setiausaha Jawatankuasa Program Pemulihan Khas serta menjadi ahli Jawatankuasa Kurikulum Sekolah.

7. Mengadakan latihan perkembangan staf mengenai Program Pemulihan Khas di peringkat sekolah.

8. Menghadiri kursus/bengkel/taklimat yang dianjurkan oleh KPM/JPN/PPD

Di sekolah, Guru Pemulihan Khas bertindak sebagai rakan pembimbing kepada rakan-rakan mata pelajaran lain bagi memastikan aktiviti pemulihan dalam bilik darjah bagi mata pelajaran lain juga dilaksanakan oleh guru mata pelajaran masing-masing.

Di Sekolah Kurang Murid (SKM) aktiviti pemulihan 3M ini dilaksanakan di dalam kelas arus perdana oleh guru mata pelajaran kerana perjawatan Guru Pemulihan Khas di SKM telah ditiadakan.

Kalau dilihat secara ilmiah, di SKM ini sepatutnya perjawatan Guru Pemulihan Khas diwujudkan bagi melaksanakan Program Pemulihan Khas.

Ada yang memberikan alasan murid di SKM ini tidak ramai dan bilangan guru juga tidak ramai.

Namun secara realiti di SKM terutamanya di sekolah orang asli dan sekolah-sekolah di pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak, Program Pemulihan Khas amatlah diperlukan kerana walaupun murid tidak ramai tetapi bilangan yang tidak kuasai 3M hampir 60 peratus daripada keseluruhan murid.

Sekolah-sekolah SKM sepatutnya diutamakan agar murid yang tidak menguasai 3M diberikan fokus yang lebih baik.

Peranan Guru Pemulihan Khas amat penting dalam menangani masalah tidak menguasai 3M. Hari ini peranan Guru Pemulihan Khas semakin meluas apabila dijadikan pakar rujuk oleh semua mata pelajaran serta menjadi pembimbing kepada program mengatasi masalah pelajar di sekolah menengah yang dikatakan semakin ramai yang tidak menguasai asas 3M.

Guru Pemulihan Khas juga sekarang merupakan penghubung utama kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang tidak menguasai 3M.

Peranan  utama Guru Pemulihan Khas kepada ibu bapa ini ialah sebagai pembimbing dalam memberikan ilmu mengajar anak-anak ini di rumah dengan pendekatan dan kaedah yang sememangnya amat diperlukan oleh ramai ibu bapa.

Jelas di sini peranan Guru Pemulihan Khas amat besar dan penting sebagai tunjang utama kepada asas kemenjadian murid.

Sekali lagi dijelaskan walaupun ramai yang tidak tahu kewujudan Guru Pemulihan Khas di sekolah namun kredibiliti Guru Pemulihan Khas di Malaysia tidak pernah pudar dan sentiasa komited untuk terus mendidik dan membimbing anak didik kesayangan mereka dengan penuh bertanggungjawab dan amanah.

Besar harapan semua Guru Pemulihan Khas seluruh negara agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat membugarkan semula Program Pemulihan Khas kepada yang lebih terkini dan mantap sebagai tunjang kepada asas pendidikan negara.

Cikgu Wan Razif Wan Harun sedang membimbing salah seorang anak muridnya mengenal huruf.

Cikgu Mat Zaidi Dahlan (kiri) merupakan salah seorang Guru Pemulihan Khas yang turut bekerja keras mendidik anak-anak muridnya agar mampu menguasai 3M.

KPM tidak perlu mewujudkan program lain yang sama hala tujunya dengan Program Pemulihan Khas tetapi lebih baik membuat penambahbaikan kepada program ini dan melaksanakan penyelarasan dalam semua kerja buat yang berkaitan di seluruh negara.

Pada masa ini banyak berlaku ketidakselarasan peranan Guru Pemulihan Khas antara satu negeri dengan satu negeri dan antara satu daerah dengan satu daerah.

Pelbagai versi peranan Guru Pemulihan Khas diwujudkan mengikut pentadbiran sekolah atau daerah masing-masing.

Diharap pihak KPM juga dapat memperkasakan peranan Guru Pemulihan Khas dalam aspek pedagogi. Aspek pedagogi amat penting dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas Pemulihan Khas.

Satu ketika dahulu KPM amat aktif memperkasakan peranan Guru Pemulihan Khas melalui kursus atau bengkel peningkatan profesionalisme Guru Pemulihan Khas secara tersusun dan terancang, namun sejak lima tahun kebelakangan ini Guru Pemulihan Khas terpaksa mengambil inisiatif sendiri mencari ilmu pedagogi dalam kalangan Guru Pemulihan Khas sendiri dan dengan kos sendiri pada hujung minggu.

Guru Pemulihan Khas ialah barisan pendidik yang tidak pernah di dendang. Peranan utama tetap dilaksanakan dengan sebilangan besar membelanjakan duit sendiri kerana tiada peruntukan kewangan khas disalurkan kepada Program Pemulihan Khas ini dalam penyediaan bahan bantu mengajar murid agar murid sentiasa berminat untuk belajar.

Pengorbanan Guru Pemulihan Khas amat besar dan semua cabaran mereka redahi tanpa ada rasa jemu atau serik kerana itulah jiwa kental Guru Pemulihan Khas dalam memastikan kemenjadian anak didik mereka.

*****Terima kasih Guru Pemulihan Khas, Sekolah Kebangsaan Kampung Soeharto Hulu Selangor, Cikgu Roslee [email protected] atas perkongsian bermakna ini.

Artikel berkaitan

(SIRI 1) Siapa murid Pemulihan Khas? Adakah masyarakat perlu cakna? Ini perkongsian Cikgu Roslee

(SIRI 2) Kelebihan dan kekuatan murid Pemulihan Khas

(SIRI 3) Ini peranan penting yang perlu guru besar laksanakan di sekolah