SIRI 5

Ibu bapa mana yang tidak mahu anak pandai.

Ibu bapa mana yang tidak peduli tentang pelajaran anak-anaknya.

Semua ibu bapa mengharapkan sinar terang dalam kehidupan anak-anak mereka pada masa hadapan.

Sebab itulah ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau tadika seawal usia empat tahun.

Ini bagi memastikan anak-anak mereka berilmu. Ibu bapa mana tidak gembira apabila melihat anak-anak mereka berjaya.

Pada zaman sekarang, setiap kejayaan anak-anak dikongsikan di media sosial. Begitu juga dengan guru-guru yang tidak mahu ketinggalan untuk melahirkan kegembiraan dan bangga akan kemenjadian anak didik mereka.

Kita lihat antara ibu bapa dan guru saling mengukir senyum. Guru memainkan peranan mereka di sekolah, ibu bapa berperanan juga di rumah. Inilah cerita gembira yang sentiasa dipaparkan pada media sosial.

Bagaimana pula kepada ibu bapa yang anaknya dimasukkan dalam kelas Pemulihan Khas? Mereka ada anak yang secara kebetulan tidak menguasai membaca, menulis dan mengira (3M).

Murid Pemulihan Khas SK Kg Soeharto sejak awal tahun telah didedahkan dengan aktiviti hands on.

Antara bahan bantu belajar yang dibina sendiri oleh murid Pemulihan Khas SK Kg Soeharto.

Di sekolah rendah biasa anak-anak ini diajar oleh guru khas yang pakar dalam 3M iaitu Guru Pemulihan Khas.

Di Sekolah Kurang Murid (SKM), anak-anak ini diajar oleh guru mata pelajaran di dalam kelas arus perdana yang juga menempatkan murid bertuah yang lebih pintar.

Secara hakikatnya anak-anak ini belajar secara terancang dan berfokus di kelas Pemulihan Khas. Mereka diajar berdasarkan tahap penguasaan individu.

Apabila anak-anak ini di rumah, mereka di arah belajar oleh ibu bapa. Kebarangkalian mereka belajar sepenuh hati cuma dalam sepuluh peratus sahaja. Mengapa? Kerana mereka tidak suka diajar membaca dengan cara menghadap buku berjam-jam. Inilah realiti murid Pemulihan Khas.

Ada ibu bapa mengeluh anak ini tidak mahu belajar, culas untuk belajar dan ada yang langsung satu hari tidak mahu duduk di rumah kerana tidak mahu dipaksa belajar berjam-jam.

Ada ibu bapa yang rasa kecewa, ada ibu bapa yang cuba berusaha. Selalunya apabila ibu bapa murid pemulihan dipanggil ke sekolah berkaitan pelajaran anak mereka, ibu bapa jarang untuk hadir.

Kalau kita selami secara kemanusiaan psikologi ibu bapa yang mempunyai anak Pemulihan Khas, kita akan dapat jawapan mengapa mereka lebih kerap tidak hadir dalam sesi perjumpaan dengan guru berkaitan anak-anak mereka. Ada sebilangan kecil akan hadir namun sebilangan besar tidak hadir.

Secara logik pasti akan timbul spekulasi ibu bapa yang anak mereka di kelas Pemulihan Khas tidak berikan kerjasama, tidak menunjukkan komitmen dan lain-lain lagi anggapan negatif.

Seperti yang saya katakan sejak awal tadi, ibu bapa mana yang hendak melihat anak mereka tidak pandai?

Menurut kajian saya, secara normal semua manusia ada perasaan.

Gembira, duka, takut, berani, bangga, malu, marah, tenang dan lain-lain.

Kursus hands on ibu bapa dan anak di SK Ampang Tinggi, Negeri Sembilan.

Berdasarkan kajian saya, ibu bapa anak Pemulihan Khas ini bukan berniat untuk tidak bekerjasama tetapi mereka ada perasaan malu kepada guru.

Malu bukan kerana mereka tidak berusaha mengajar anak mereka di rumah tetapi malu kerana tidak dapat membantu guru dalam menangani masalah pembelajaran anak mereka.

Dalam dunia pendidikan hari ini, banyak kajian telah dibuat untuk meningkatkan prestasi pendidikan anak-anak.

Namun tidak ramai yang mengkaji bagaimana untuk menangani masalah 3M dalam kalangan anak-anak di Malaysia.

Kita banyak didedahkan mengenai kajian di negara barat yang diaplikasikan kepada anak-anak di Malaysia.

Mengapa kita sendiri tidak mengkaji berdasarkan situasi, suasana dan kehidupan masyarakat Malaysia yang nyata jauh berbeza dengan masyarakat barat?

Saya telah mengkaji mengikut cara sejati iaitu sebagai guru Pemulihan Khas Malaysia yang hidup nyata dalam masyarakat luar bandar dan menyelami emosi ibu bapa yang ada anak-anak Pemulihan Khas.

Bapa diberikan ilmu untuk menarik minat anak belajar di rumah.

Melalui kajian ini, saya ingin kongsikan kepada ibu bapa dan guru serta ahli masyarakat.

Guru Pemulihan Khas pakar dalam menangani masalah murid tidak menguasai 3M.

Ibu bapa anak-anak ini pula berkehendak dan berusaha untuk mengajar anak mereka di rumah bagi membantu guru. Apa yang berlaku di sini ialah ibu bapa anak-anak ini perlukan ilmu mengajar anak Pemulihan Khas di rumah.

Mereka ajar ikut kebiasaan yang normal iaitu ajar baca dan pastinya akan memakan masa paling kurang satu jam agar anak mereka mengingat apa yang ibu bapa ajar.

Dalam kajian saya, fokus murid pemulihan kepada aktiviti mengeja dan membaca sepenuhnya ialah dalam 10 hingga 20 minit sahaja.

Kalau mahu diteruskan hingga satu jam, perlu diselang selikan dengan aktiviti seperti ‘hands on’, interaktif dan didik hibur.

Adakah ibu bapa ada ilmu ini semua? Pasti tidak selengkapnya. Jadi di sini interaksi dua hala antara ibu bapa dan guru Pemulihan Khas MESTI terjalin.

Situasi menang-menang mesti diwujudkan. Antara yang boleh dilaksanakan ialah:

1) Pihak sekolah adakan satu bengkel pengendalian aktiviti ‘hands on’ kepada ibu bapa yang anaknya belajar di kelas Pemulihan Khas. Bengkel ini mestilah dikendalikan oleh guru Pemulihan Khas itu sendiri dan kongsikan cara yang terbaik untuk menyediakan anak-anak ini belajar di rumah. Ajar ibu bapa cara untuk menarik anak minat belajar dengan cara membina bahan bantu belajar sendiri secara ‘hands on’.

2) Buat program perjumpaan antara Guru Pemulihan Khas dengan ibu dan bapa murid ini secara individu/personal atau ‘face to face’ selama satu atau dua jam dan bukannya dalam satu kumpulan yang ramai.

Dalam perjumpaan ini, Guru Pemulihan Khas boleh memberikan tunjuk ajar melalui bahan bantu belajar yang guru telah sediakan mengikut tahap penguasaan murid itu.

Di sinilah guru perlu berikan ilmu untuk hanya mengajar dalam masa antara 10 hingga 20 minit sahaja secara berfokus. Sehari boleh laksanakan dua kali iaitu sekali waktu pagi dan sekali waktu petang atau malam ketika hari cuti sekolah.

3) Sentiasa berhubung antara guru Pemulihan Khas dan ibu bapa melalui media seperti WhatsApp atau Telegram berkaitan perkembangan murid, perkongsian ilmu dan dialog prestasi.

4) Wujudkan Program Guru Rumah sebagai pengiktirafan sekolah kepada ibu bapa yang telah diberikan kursus dan ilmu pengetahuan mengenai cara yang betul untuk mendidik anak Pemulihan Khas di rumah.

Jelas di sini apabila ibu bapa tahu ilmu yang betul dan tepat bagi mendidik anak mereka di rumah, mereka tidak akan ada perasaan malu lagi untuk hadir dalam setiap majlis ilmu di sekolah. Malah mungkin ibu bapa ini boleh jadi sebagai sumber penyumbang idea pada masa akan datang.

Pendekatan yang betul untuk mengajar anak pemulihan di rumah.

Ilmu mewujudkan penumpuan belajar diaplikasikan dlm bengkel kepada ibu bapa.

Apabila ada hubungan dua hala dalam Program Pemulihan Khas iaitu Guru Pemulihan Khas yang mewakili warga sekolah dan ibu bapa murid Pemulihan Khas, matlamat untuk mengatasi masalah 3M akan dapat direalisasikan.

Pasti tiada lagi tanggapan bahawa ibu bapa murid Pemulihan Khas tidak memberikan kerjasama dalam usaha pihak sekolah mengatasi masalah 3M.

Apa yang perlu dibuat ialah pastikan ibu bapa murid Pemulihan Khas didedahkan dengan cara yang betul mendidik anak Pemulihan Khas ini.

Cara mereka berbeza dengan rakan-rakan lain yang berada dalam kelas arus perdana ketika mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik.

Jangka masa fokus mereka juga berbeza. Inilah yang perlu dilihat oleh setiap orang ketika mendidik anak di rumah dan di sekolah.

Selama ini dalam media ibu bapa dan guru banyak berkongsi kegembiraan mengenai kejayaan anak dan murid mereka.

Amat jarang kita lihat kegembiraan murid Pemulihan Khas dikongsikan dalam media sama ada oleh guru mahu pun ibu bapa. Sepatutnya ibu bapa  yang anak mereka telah berjaya berubah dan Guru Pemulihan Khas yang telah berjaya mendidik murid ini berganding bahu mengangkat wajah ceria anak-anak ini di media.

Ini merupakan satu motivasi diri untuk mereka dan kebanggaan kepada usaha ibu bapa yang sanggup belajar mencari ilmu yang tepat. Perkasakan Program Pemulihan Khas sebagai Program Tunggal dalam pendidikan asas negara.

*****Terima kasih Guru Pemulihan Khas, Sekolah Kebangsaan Kampung Soeharto Hulu Selangor, Cikgu Roslee [email protected] atas perkongsian bermakna ini.

Artikel berkaitan

(SIRI 1) Siapa murid Pemulihan Khas? Adakah masyarakat perlu cakna? Ini perkongsian Cikgu Roslee

(SIRI 2) Kelebihan dan kekuatan murid Pemulihan Khas

(SIRI 3) Ini peranan penting yang perlu guru besar laksanakan di sekolah

(SIRI 4) Adakah Guru Pemulihan Khas punyai banyak 'masa rehat' di sekolah? Ini hujah Cikgu Roslee