SIRI 6

Apabila Menteri Pendidikan mengumumkan cuti persekolahan di seluruh negara bermula 9 November 2020, pelbagai reaksi guru menjelma.

Pada setiap wajah insan bergelar guru menampakkan satu kejutan. Sesuatu yang tidak pernah dijangka dan diduga. Malah sebilangan besar guru seluruh negara melahirkan kerisauan tentang pembelajaran anak didik masing-masing seterusnya. Wajah-wajah anak didik menjelma dalam minda guru-guru.

Bagi guru-guru Pemulihan Khas, terpancar kesyahduan pada wajah masing-masing. Siapa murid Pemulihan Khas? Dalam Siri 1 telah diperjelaskan siapakah murid Pemulihan Khas. Murid Pemulihan Khas ialah murid dari Tahun Satu hingga Tahun Enam yang tidak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Ketika murid-murid Pemulihan Khas ini berada pada kesediaan belajar yang baharu sahaja menghampiri tahap stabil ketika mereka kembali ke sekolah setelah bercuti hampir tiga bulan akibat penularan Covid-19 gelombang pertama, mereka kini sekali lagi terpaksa belajar di rumah hingga berakhirnya cuti akhir tahun 2020.

Murid Pemulihan Khas sememangnya sentiasa memerlukan pembelajaran secara bersemuka dan sentiasa didekati secara individu bagi memastikan mereka memahami dan seterusnya menguasai kemahiran yang diajar. Walaupun pengajaran dan pembelajaran bersemuka diadakan hakikatnya mereka memerlukan masa yang agak lama juga bagi menguasai sesuatu kemahiran.

Murid Pemulihan Khas juga memerlukan keprihatinan daripada guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Sikap ambil peduli yang ada pada diri Guru Pemulihan Khas juga merupakan pemangkin kepada motivasi kendiri murid. Inilah antara ciri-ciri yang mendalam dalam diri Guru Pemulihan Khas.

Murid Pemulihan Khas akan rasa diri mereka dihargai dan sentiasa rasa diambil peduli oleh guru kerana situasi ini jarang mereka peroleh semasa mereka belajar di kelas.

Perhatian yang mereka dapat menyebabkan satu lonjakan minda ingin belajar timbul dalam naluri mereka. Namun semua ini tidak berlaku semasa normal baharu pendidikan yang memaksa untuk mereka belajar dari rumah. Impak kepada normal baharu ini amat besar kerana ramai yang tidak tahu kaedah atau teknik mengajar anak Pemulihan Khas ini.

Ramai yang berkata boleh diajar melalui atas talian selari dengan normal baharu pendidikan hari ini. Tahukah anda tentang latar belakang anak-anak pemulihan ini?

Mereka hanya memiliki fokus belajar yang singkat. Daya penumpuan kepada sesuatu pembelajaran amat singkat dan memerlukan banyak aktiviti pergerakan jika memerlukan mereka kekal fokus kepada apa yang sedang dipelajari. Hanya Guru Pemulihan Khas sahaja yang tahu bagaimana untuk melaksanakan aktiviti berkesan kepada mereka.

Namun kepakaran Guru Pemulihan Khas terhad sekiranya pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara atas talian. Satu lagi masalah yang Guru Pemulihan Khas alami apabila pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran atas talian ialah masalah peranti seperti telefon pintar.

Sebilangan besar murid Pemulihan Khas tidak memiliki peranti ini. Biasanya mereka bergantung kepada telefon pintar ibu bapa atau abang serta kakak mereka. Sedangkan pada masa yang sama ahli keluarga mereka sedang bekerja dan belajar. Sudah pasti mereka pun memerlukan telefon pintar itu dalam melaksanakan kerja pejabat dan pembelajaran di sekolah menengah atau institusi pengajian tinggi. Tidak semua keluarga murid pemulihan khas ini datang daripada keluarga senang.

Berdasarkan pengalaman sedia ada terkini, antara cara terbaik untuk memastikan anak Pemulihan Khas ini dapat belajar dengan lebih fokus ialah melatih ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih dewasa untuk memainkan peranan sebagai guru di rumah.

Kepakaran Guru Pemulihan Khas dalam bidang pengajaran dan pembelajaran ini boleh dikongsikan kepada ibu bapa melalui rakaman video atau panggilan video.

Guru Pemulihan Khas boleh merakamkan tunjuk cara bagaimanakah untuk mengajar anak Pemulihan Khas ini kepada ibu bapa atau ahli keluarga yang lain.

Setidak-tidaknya ibu bapa akan dapat sebahagian ilmu pendidikan Pemulihan Khas yang tepat untuk diajar kepada anak-anak mereka. Ini lebih baik kerana semua aspek fokus kepada anak pemulihan ini akan berlaku. Aspek sentuhan jiwa itu akan berlaku.

Bagi memastikan semua ini berlaku, Guru Pemulihan Khas perlulah menjadi sumber bahan kepada ibu bapa ini. Semua bahan yang hendak diajar atau diuji mestilah disediakan kepada ibu bapa yang hanya mempunyai masa yang terhad untuk mengajar anak mereka.

Kombinasi kerjasama Guru Pemulihan Khas dan keluarga murid Pemulihan Khas mestilah dijalin kukuh dan dilaksanakan dengan rasa saling menghormati dan memerlukan antara satu sama lain.

Interaksi dua hala amat perlu dan sekali-sekala Guru Pemulihan Khas boleh merakam video kata-kata motivasi untuk anak didiknya. Ini sekurang-kurangnya akan dapat mengelak murid Pemulihan Khas ini terus tertinggal dalam arus pendidikan.

Jumpa lagi dalam SIRI 7 yang akan menyentuh tentang Program Guru Rumah yang merupakan program yang relevan untuk dilaksanakan kepada ibu bapa seluruh negara bagi memastikan anak Pemulihan Khas dapat belajar secara berkesan dan tepat berdasarkan kepada factor ketidakmenguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M).

***Terima kasih Guru Pemulihan Khas, Sekolah Kebangsaan Kampung Soeharto Hulu Selangor, Cikgu Roslee [email protected] atas perkongsian bermakna ini.

Artikel berkaitan

(SIRI 1) Siapa murid Pemulihan Khas? Adakah masyarakat perlu cakna? Ini perkongsian Cikgu Roslee

(SIRI 2) Kelebihan dan kekuatan murid Pemulihan Khas

(SIRI 3) Ini peranan penting yang perlu guru besar laksanakan di sekolah

(SIRI 4) Adakah Guru Pemulihan Khas punyai banyak 'masa rehat' di sekolah? Ini hujah Cikgu Roslee

(SIRI 5) Ibu bapa perlu beri kerjasama kepada cikgu. Ini harapan Guru Pemulihan Khas di Malaysia