Bagi membimbing sekolah melaksanakan penilaian kendiri dengan betul dan menepati prosedur yang ditetapkan JNJK melaksanakan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2).

Audit ini merupakan satu elemen baharu dalam menentusahkan proses kerja penilaian kendiri yang di laksana menepati prosedur yang ditetapkan.

Namun begitu, terdapat kekeliruan yang perlu diberi perhatian oleh pihak sekolah.

Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, kekeliruan itu berlaku disebabkan ketidakfahaman terhadap beberapa perkara iaitu tidak jelas berkaitan dokumen yang perlu dibawa untuk diaudit. Evidens yang sepatutnya dibawa hanyalah merupakan dokumen pengurusan sedia ada terpilih sahaja.

Seterusnya, tidak jelas tentang evidens yang menyebabkan guru diminta menyediakan evidens baharu yang membebankan pihak guru, sedangkan evidens yang diaudit hanyalah merupakan dokumen pengurusan sedia ada yang disediakan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa.

Berdasarkan maklum balas daripada 4,735 sekolah yang telah diaudit menunjukkan kebanyakan sekolah menjadikan SKPMg2 sebagai panduan pengurusan sekolah dan bimbingan semasa sesi audit membantu meningkatkan kefahaman dalam melaksanakan penilaian kendiri.

Dengan kenyataan ini, diharap pihak sekolah tidak lagi meminta guru menyediakan dokumen berkaitan tugas mereka untuk tahun 2017 tetapi melihat ke hadapan dengan menguruskan tugas semasa terutama tugas yang berkaitan penyampaian pendidikan yang berkualiti tinggi kepada murid.

Budaya kerja sekolah yang sistematik hendaklah diteruskan bagi menyokong peningkatan kualiti kemenjadian murid.