Sesetengah sekolah akan buat program mereka ketika cuti sekolah tiba.

Ada yang berbentuk akademik, kokurikulum, program 'outreach'/lawatan dan sebagainya.

Cuma yang menjadi persoalannya, ada ke pelajar yang sertai aktiviti masa cuti?

Ikuti kupasan selanjutnya bersama GPS Bestari yang telah menemu bual beberapa sekolah mengenai pembabitan pelajar dalam program ketika cuti sekolah.

 

**********

 

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, Johor Bahru, Johor hanya mengadakan program ketika cuti penggal pertama atau pertengahan persekolahan.

Cuti akhir tahun pula, memang dikurangkan program sekolah kerana ia memberi peluang kepada pelajar untuk membuat persiapan untuk peperiksaan SPM.

Jenis program yang sering diadakan pula adalah pelbagai. Ada yang berbentuk akademik, lawatan dan juga kokurikulum.

Mengenai sambutan, setakat ini adalah memberangsangkan.

Ini sebab, Pengetua Norhayati Abd Kadir, pentadbir, kaunselor dan semua guru telah merancang program yang dapat memupuk sifat kepimpinan dan nilai murni dalam segenap lapangan.

Penyelaras Highly Immersive Program (HIP) dan Jawatankuasa Pengantarabangsaan Sekolah, Cikgu Nor Fadzleen Sa’don berkata, beberapa program telah berlangsung dengan jayanya ketika cuti sekolah sebelum ini, hasil muafakat pihak pentadbir, PIBG dan komuniti setempat.

"Antaranya, Kursus Kepimpinan Majlis Pemimpin Pelajar Sekolah, Pertandingan Persahabatan dan Kejohanan Sukan Ragbi dan Hoki, Lawatan STEM Robotics Legoland Malaysia, JB Cultural Walk, Johor Youth Leadership Camp dan Program Pengantarabangsaan Sekolah ke Osaka, Jepun.

"Sekarang ini, sedang berlangsung Program Pengantarabangsaan ke Yong Moon High School, Seoul, Korea Selatan bermula 25 sehingga 29 Mac nanti," ujarnya. 

Kata Cikgu Nor Fadzleen antara program cuti sekolah yang berjaya mencapai objektif ialah Program Pengantarabangsaan Ohayou Osaka yang diadakan di Osaka, Jepun pada 15 hingga 20 April 2017.

“Seramai 30 peserta yang mengikuti program tersebut melalui program, pelbagai impak positif yang peserta dan pihak sekolah peroleh.

"Antaranya, pihak sekolah berjaya membuat jaringan profesional antara budaya dengan sekolah di Osaka, Jepun. Pelajar juga dapat beramah mesra dan berkongsi ilmu dengan keluarga di Osaka. Tidak dilupakan, peserta berpeluang mempersembahkan tarian zapin dan mengajar asas bahasa Melayu kepada pelajar di sana," katanya.

Kata beliau, pihak sekolah juga berpeluang mengadakan sesi dialog bersama pelajar Malaysia di Osaka University bagi meningkatkan motivasi pelajar.

Nor Fadzleen (tengah) bersama guru dari Yong Moon High School, Seoul, Korea Selatan.

Program cuti sekolah capai matlamat

Selain itu, Kursus Kepimpinan Majlis Pemimpin Pelajar Sekolah, Qiamulail Perdana di bawah Unit Kaunseling Sekolah di bawah pimpinan Cikgu Hasmah Idin, Cikgu Aswiezah Ahmad, Cikgu Fadzlan Hasran dan Cikgu Hasmizah Hashim juga dilihat berjaya kerana melahirkan ramai pemimpin pelajar yang berakhlak mulia dan berkretampilan.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti PIBG SMK Bandar Baru UDA di bawah pimpinan Zahrin Saniman, Masjid Bandar Baru UDA dan Kolej Yayasan Pelajaran Johor.  

Begitu juga dengan program berbentuk kokurikulum di mana pasukan hoki sekolah di bawah pimpinan Cikgu Hafez Mohamad Kassim menjuarai MSSD dan 7 pelajar SMK Bandar Baru UDA mewakili daerah dan muncul sebagai Naib Johan MSSJ.

Bagi program rugbi, pasukan sekolah di bawah kepimpinan Cikgu Suzeli Mahadi dan Cikgu Asraf Mohamad Nor pula sering menyertai program dan kejohanan ketika cuti sekolah seperti Pelan Pembangunan Ragbi Negara dalam 1st Asian Rugby Exchange Fest di Fukuoka, Jepun. Pasukan tersebut telah menjadi johan dalam ragbi versi X-Rugby7s.

Setiap program yang diadakan itu, dapat membantu meningkatkan jati diri kerana pelajar menjadi duta sekolah dalam aktiviti kepimpinan, pengurusan projek dan antara budaya.

Semua program bermanfaat kepada semua komuniti sekolah secara keseluruhannya.

Minat sertai program

Kebanyakan program yang diadakan pada masa cuti, memang menarik minat pelajar untuk menyertai.

“Penyertaan tidak diwajibkan tetapi dialu-alukan buat mereka yang berminat dan memenuhi kriteria program. Kebanyakan pelajar yang terlibat adalah pelajar tingkatan 2 ke atas,” kata Cikgu Nor Fadzleen.

Sementara itu, SMK Bandar Baru UDA tetap mengambil kira risiko keselamatan pelajar setiap kali anjur program.

“Misalnya program lawatan, pihak sekolah memastikan prosedur lawatan dipatuhi. Jawatankuasa program juga mengadakan mesyuarat di peringkat sekolah dan turut merujuk kepada pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk memastikan kelancaran program," katanya.

Menurutnya, taklimat kepada ibu bapa juga dilakukan bagi program pengantarabangsaan.

Bagi lawatan, pembelian insurans adalah wajib bagi memastikan faktor keselamatan pelajar dan guru yang menyertai program.

Cikgu Nor Fadzleen berkata, walaupun dalam cuti, pelajar SMK Bandar Baru UDA tetap mahu mengikuti program yang diadakan ketika cuti sekolah.

 

Program STEM Robotics Legoland Malaysia yang turut diadakan pada cuti sekolah.

 JB Cultural Walk

Kursus Kepimpinan Pemimpin Pelajar yang berjaya membentuk pelajar berakhlak mulia dan berkepimpinan.

Norhayati (bertudung pink) bersama Prof Madya Dr Zainuddin Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan Dr Trang, Universiti Ho Chi Minh City, Vietnam, ketika lawatan ke sekolah itu, baru-baru ini.