PADA 15 Jun yang lalu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula prasekolah termasuk taska dan tadika yang dijadualkan akan bermula pada 1 Julai ini.

Ini berikutan terdapat permintaan yang tinggi daripada ibu bapa yang sudah mula bekerja dan perlu menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Walau bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Garis panduan yang diberikan bukan sahaja mengandungi panduan pelaksanaan seperti pengoperasian prasekolah, waktu tiba dan pulang serta Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) prasekolah. Malah, ia turut merangkumi peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru serta pembantu pengurusan murid, ibu bapa dan penjaga.

Peranan penting ibu bapa

Sekiranya kita meneliti garis panduan yang diberikan, sudah pasti semua pengendali prasekolah yang akan beroperasi telah memainkan peranan mereka dengan membuat persiapan yang rapi dari sudut susun atur meja di dalam kelas, menyediakan bilik kesihatan, memastikan tiada permaidani atau karpet digunakan serta meletakkan tanda.

Di samping itu, beberapa peraturan tambahan turut wajib dilaksanakan seperti memeriksa suhu badan murid, memastikan semua murid mencuci tangan dengan kerap, mengamalkan penjarakan sosial, tidak bersentuhan dan alatan yang digunakan perlu dibersihkan setiap hari setelah digunakan.

Melaksanakan SOP penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri di prasekolah yang melibatkan murid yang berusia di antara 4 hingga 6 tahun bukanlah satu hal yang mudah.

Dalam hal ini, semua pihak yang terlibat termasuk pentadbir, guru, pengurus murid dan juga ibu bapa perlu berganding bahu dan bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memastikan SOP ini benar-benar dapat dilaksanakan dengan baik.

Antara peranan penting yang perlu dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan memahami dan mematuhi peraturan serta SOP yang telah dimuktamadkan oleh kerajaan dan pihak sekolah.

Kerjasama ibu bapa sangat diharapkan supaya tidak menghantar anak-anak yang tidak sihat ke sekolah, tidak membawa anak-anak ke tempat yang berisiko, memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya anak-anak ini mempunyai sejarah ke luar negara atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19. Hal ini adalah sangat penting bagi membendung jangkitan ini daripada menular dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, ibu bapa harus memainkan peranan menjadi “trendsetter” yang paling utama kepada anak-anak dalam mengamalkan norma baharu di sekolah. Amalan menjaga kebersihan diri dan nilai murni seperti mencuci tangan dengan betul dan kerap, makan dengan tertib dan menutup mulut ketika bersin perlu disemai bermula dari rumah. Didikan dan nasihat ibu bapa tentang kepentingan penjarakan sosial ketika berbual dan bermain bersama guru dan rakan perlu dilazimi setiap hari.

Memberi kefahaman kepada anak-anak mengenai norma baharu yang bakal dilalui oleh mereka sepanjang berada di sekolah akan meringankan tugas guru serta membantu pihak sekolah melaksanakan SOP dengan jaya.

Malah, anak-anak yang telah dididik dengan pengurusan kebersihan kendiri yang baik dapat mengikut arahan guru dengan lebih sempurna apabila kembali ke sekolah.

Komunikasi berterusan, murid fokus utama

Mendepani cabaran norma baharu persekolahan memerlukan kerjasama dan komunikasi yang berterusan di antara guru dan ibu bapa.

Walaupun terdapat perubahan dalam perlaksanaan SOP Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di prasekolah, yang mana guru perlu menghadkan beberapa aktiviti murid seperti, aktiviti yang melibatkan sentuhan, kehadiran orang luar dan lawatan sambil belajar, namun, keperluan fitrah semula jadi kanak-kanak yang ingin bebas bermain dan bereksperimen perlu diutamakan.  

Kita tidak mahu anak-anak merasakan sekolah pasca PKPP ini umpama ‘penjara’ bagi mereka akibat daripada perlaksanaan SOP yang ketat. Hal ini akan menjejaskan emosi dan motivasi ingin belajar dalam kalangan kanak-kanak.

Saling menghormati antara guru dan ibu bapa serta sikap saling berlapang dada dalam memberi dan menerima pendapat di era pendidikan norma baharu ini adalah sangat penting bagi memastikan proses pembelajaran berlaku dengan baik, walaupun mungkin terdapat beberapa kekangan dari segi infrastruktur dalam memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

- Terima kasih Pensyarah Kanan Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Amani Nawi

Artikel menarik:

Pendidik kini frontliner, namun, mereka berdepan cabaran untuk pastikan SOP kekal konsisten

Guru-guru guna kaedah cuba jaya dan sedaya upaya jadi kreatif, semuanya kerana anak didik

Cikgu obes dan kurus. Ini yang perlu anda buat bila berada dalam kategori ini!