Gambar:  August de Richelieu dari Pexels

Semalam, anak-anak sudah pun memulakan persekolahan bagi tahun 2021, sama ada secara maya mahupun bersemuka di sekolah. Pelbagai reaksi diberikan oleh ibu bapa ketika ini, rata-rata menzahirkan kebimbangan berkenaan masa depan pembelajaran mereka.

Tidak kurang juga, ada yang belum bersedia untuk menggalas dua tugas dalam satu masa. Pun begitu, itulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh semua pihak ketika pandemik ini.

Bagi guru subjek Sains, Dual Language Programme (DLP), Cikgu Ahmad Faizal Osman dari Sekolah Kebangsaan Pulau Seduku, Sri Aman Sarawak atau lebih dikenali sebagai Cikgu Emmet menjelaskan, pembelajaran anak-anak era pandemik Covid-19 merupakan satu cabaran bagi ibu bapa.

Pada saat anak-anak ini tidak ke sekolah dan belajar di rumah, ibu bapalah yang bakal menggalas tanggungjawab membimbing anak-anak.  

Bagi pelajar sekolah menengah mungkin tidak terlalu sukar kerana mereka ini sudah matang dan mampu menerima arahan dengan teliti.

Namun bagaimana pula dengan anak-anak peringkat pra sekolah dan tahap rendah pada fasa usia tujuh tahun hingga 12 tahun? Sudah tentulah mereka ini memerlukan perhatian khusus dari ibu bapa.

Menurut Cikgu Emmet, umum sedia maklum bukan semua ibu terdiri daripada suri rumah sepenuh masa, ramai ibu-ibu yang bekerjaya, jadi daripada aspek fokus membimbing agak sukar dilaksanakan.

Namun begitu terdapat beberapa kaedah yang boleh ibu bapa lakukan, bagi membantu anak anak belajar dalam sesi pembelajaran di rumah, sekali gus  memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pencapaian akademik.

Antara kaedah yang dikongsi oleh Cikgu Emmet:

  •  Bagi murid yang terlibat dengan pengajaran secara dalam talian, ibu bapa hendaklah berbelanja lebih sedikit untuk menyediakan kemudahan internet yang baik di rumah.
  • Melanggan pakej internet yang berkualiti boleh memastikan anak-anak mendapat akses yang baik untuk belajar secara Google Meet,  Zoom atau Streaming.

Platform begini tidak memerlukan bimbingan ibu bapa kerana anak-anak akan diajar secara langsung oleh guru-guru dari rumah. Ibu dan bapa hanya perlu memantau mereka agar berasa selesa ketika belajar.  

Dalam aspek ini, ibu bapa haruslah menyediakan tempat yang kondusif untuk anak anak-belajar, misalnya bilik yang mempunyai cahaya dan pengudaraan yang baik serta berpakaian kemas ketika mengikuti sesi pembelajaran dalam talian.

Selain itu ibu bapa juga hendaklah memastikan tiada gangguan sama ada dari dalam rumah atau luar rumah yang boleh menjejaskan fokus mereka belajar.

Antara gangguan yang perlu dihindari adalah gangguan bunyi televisyen,  radio, vakum dan apa sahaja aktiviti  yang boleh menjejaskan fokus mereka ketika belajar.

Ibu bapa juga perlulah memantau dan mengawal anak-anak lain agar tidak mengganggu abang atau kakak mereka belajar.

Bagaimana pula dengan pembelajaran luar talian?  Inilah cabaran sebenar bagi ibu bapa dalam menangani masalah pembelajaran anak anak pada musim pandemik.  

Pembelajaran luar  talian ini lebih kepada pemberian kerja rumah, latihan dan projek yang menggunakan aplikasi muat turun sama ada menerusi aplikasi whatsapps atau telegram.

Banyak grup kelas diwujudkan, bagi ibu bapa yang bekerjaya, sudah tentulah kebanyakan tugasan yang diberikan oleh guru hanya akan dapat diberikan kepada anak-anak selepas pulang bekerja.

Pada saat ini, ibu bapa memerlukan kesabaran yang tinggi ketika anak-anak mula bertanya tentang kerja sekolah yang diberikan guru.Inilah faktor yang menyebabkan segelintir ibu bapa makin tertekan.

Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa hendaklah berbincang secara baik dengan guru kelas anak-anak.

Mohon agar diberikan masa atau dateline yang secukupnya supaya anak anak tidak tergesa-gesa menyiapkan kerja sekolah. InsyaAllah guru-guru sangat memahami.

Ketika membimbing, pastikan anak-anak menjawab soalan-soalan mudah dahulu. Soalan yang terlalu sukar boleh ditangguhkan untuk sesi soal jawab bersama guru nanti, dengan cara ini ibu bapa tidak terasa terlalu tertekan dengan tugasan anak.  

Ibu bapa jangan sesekali membuat kerja rumah anak-anak, kerana perbuatan tersebut tidak membantu langsung proses pembelajaran mereka.

Ada laporan diterima, ramai ibu bapa yang membantu kerja rumah anak-anak dan ianya dapat dikenal pasti dengan mudah, menerusi bentuk tulisan yang berbeza.

Ibu bapa juga janganlah terlalu garang pada anak anak, terasa lucu bila terbaca posting dari netizen yang berkongsi tentang kisah mesej seorang murid kepada gurunya.

"Cikgu... Bila sekolah nak buka, Saya ingat cikgu lah yang paling garang, rupanya mak saya lagi garang kalau mengajar saya..."

Bunyi mesej tersebut membuatkan saya tersenyum bila membacanya di facebook.

Maka, janganlah garang sangat ketika membimbing, cukup sekadar anak anak dapat menjawab soalan yang dia mampu jawab. Jangan dipaksa dan ditekan kerana dikhuatiri mereka menjadi lebih tertekan belajar di rumah.

Kesimpulannya, kerjasama antara guru dan ibu bapa dalam memastikan anak-anak dapat meneruskan pembelajaran amat penting.

Hubungan baik ini boleh memberikan kesan positif terhadap perkembangan akademik anak-anak. Semoga Covid-19 ini cepat berlalu dan anak-anak kembali ke sekolah dengan semangat baharu.