Semalam, kita dikejutkan dengan berita kematian seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun selepas menjalani latihan merentas desa sejauh 3.8 kilometer.

Laporan yang disiarkan di Sinar Harian bertarikh 14 Januari menjelaskan, pelajar Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) Sungai Besar itu dilaporkan pengsan dalam kawasan sekolah kira-kira jam 4.15 petang.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar tetapi disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

GPS Bestari mendapatkan reaksi daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad berkenaan isu ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) dan juga penulis buku "Doktor, Saya Taku Jarum" terbitan Grup Buku Karangraf menyifatkan, tragedi pelajar meninggal dunia selepas merentas desa adalah sesuatu yang mengejutkan.

Lantaran itu, beliau sudah menggariskan beberapa cadangan ke pihak KPM, agar mengadakan satu peraturan atau SOP bagi mengelakkan kejadian ini berulang.

  1. Masa aktiviti merentas desa harus dilakukan pada awal pagi, bukan lewat pagi atau petang kerana cuaca panas tidak sesuai untuk aktiviti lasak seperti ini.
  2. Surat kebenaran dari ibu bapa perlu diperoleh sebelum pelajar melakukan aktiviti fizikal. Ibu bapa harus maklum yang anak mereka akan mengadakan larian rentas desa. Ibu bapa harus berikan maklum balas kepada guru jika anak mereka pernah dirawat di hospital. Ini akan menyebabkan guru lebih awas dengan tahap kesakitan pelajar.

  3.  Aktiviti lasak seperti ini harus bermula lewat-lewatnya 7 pagi dan berakhir sebelum 9 pagi kerana cuaca panas bermula selepas 9 pagi. Ia akan menyebabkan pelajar mudah dehidrasi dan pitam.
  4. Pelajar yang mengadu tidak sihat, atau ada masalah kesihatan seperti asma, masalah jantung atau terlalu obes, pelajar yang demam tidak dipaksa melakukan aktiviti ini.
  5. Air kosong harus disediakan di beberapa point sepanjang laluan merentas desa bagi mengelakkan dehidrasi.

  6. Pelajar yang tidak mampu meneruskan larian haruslah diberikan perhatian. Tanda-tanda seperti mengadu sakit dada, sukar bernafas dan pitam, ia sudah cukup menunjukkan pelajar tersebut tidak boleh meneruskan larian. Jangan paksa pelajar meneruskan larian.
  7. Seorang guru harus ditugaskan sebagai 'orang yang dipertanggungjawabkan' jika berlaku masalah di mana pelajar tidak mampu meneruskan larian. Guru tersebut harus membawa pelajar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut dalam kadar segera.

Sementara itu, Pengetua SMK Dabong, Cikgu Ahmad Nizam Yahaya turut berkongsi beberapa tip keselamatan.

Sebelum:

1. Memastikan pelajar yang mempunyai masalah kesihatan tidak mengambil acara.

2. Memaklumkan dan meminta bantuan anggota keselamatan seperti polis, kesihatan, rela dan JPAM untuk mengawal keselamatan dan hal-hal kecemasan.

3. Memastikan pelajar melakukan aktiviti pemanasan badan, renggangan yang secukupnya agar jantung, otot dan tubuh badan bersedia sebelum melakukan aktiviti merentas desa.

4. Memastikan pelajar memakai pakaian yang sesuai untuk bersukan.

5. Melakukan aktiviti pada waktu pagi untuk mengelakkan strok haba.

6. Mengambil sarapan ringan sebelum berlari.

SEMASA:

1. Menyediakan pengiring, pengawal lalulintas & peronda untuk mengiringi pelajar

2. Menyediakan air di setiap check point.

3. Mengawal pergerakan larian pelajar di kawasan selamat

4. Menyediakan pasukan PBSM untuk rawatan dan kecemasan.

SELEPAS:

1. Memberi masa yang secukupnya untuk pelajar mendapatkan rehat sebelum memulakan aktiviti seterusnya.

2. Melakukan cooling down.

3. Menyediakan makanan dan minuman, bantu pelajar kembalikan tenaga yang hilang.

4. Meminta pelajar berada di tempat yang teduh untuk berehat.

GPS Bestari turut mendapatkan reaksi daripada beberapa pengetua.

“Sebenarnya sebelum menyertai merentas desa, perkara pertama ialah kebenaran ibu bapa dan rekod kesihatan kita peroleh. Kemudian latihan berterusan perlu dilakukan untuk memastikan stamina murid tinggi. Pada saat menghampiri pertandingan, sekolah juga perlu memastikan kesihatan mereka pada tahap yang terbaik,” Cikgu Rusita Sahari, Pengetua SMK Seksyen 8, Kota Damansara.

“Selalunya kami akan buat pada hari Sabtu, bermula jam 8.30 pagi sehingga 9.30 pagi. Jarak antara 6 hingga 8 km. Tiada masalah berlaku dan berjalan dengan lancar. Pelajar akan rehat selepas tu untuk makan dan minum. Bagi saya, apa yang penting pelajar sudah lakukan latihan dan berjalan di track tersebut sekurangnya sekali sebelum event sebenar. Sementara pada hari kejadian, cikgu perlu pastikan pelajar ada masalah kesihatan atau tidak. Pelajar yang ada masalah kesihatan dikecualikan dari aktiviti merentas desa serta bagi bantuan segera kepada mereka di garisan penamat. Saya juga sarankan guru-guru sediakan air sejuk di tengah route merentas desa. Serta libatkan ibu bapa sebagai urusetia dan sediaminum pada pelajar,”Cikgu Suhaimi Haris, Pengetua SMK Jitra.

“Merentas desa merupakan aktiviti riadah yang baik untuk semua, namun perlu perancangan dan pengawasan yang baik. Penglibatan PIBK dan komuniti setempat perlu di perluas lagi terutama bagi aktiviti yang berskala besar dan melibatkan kawasan luar sekolah. Bagi aktiviti riadah luar kawasan sekolah, faktor cuaca setempat dan kesusaian tempat/lokasi juga perlu diambil perhatian,” Ahmad Fauzi Yaakob, Pengetua SMK Agama Miri.

"Pada hari kejadian,  guru dan murid akan diberikan taklimat akhir tentang keselamatan dan kesihatan. Sesi "warm up" juga diadakan untuk mengelakkan kekejangan otot. Petugas-petugas sepanjang program merentas desa ini disediakan dengan peralatan lengkap untuk  sebarang kecederaan dan keadaan kecemasan," Cikgu Norjah Yusop, Pengetua Kolej Tingkatan Enam Puchong.

Artikel lain:

11 Kantin sekolah dengan dekorasi mewah ini patut jadi destinasi lawatan penanda aras

Cikgu boleh semak ujian kesihatan mental di sini…

Kronologi kes jangkitan influenza di sekolah, terkini 164 pelajar dan seorang guru dijangkiti

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020