SESI persekolahan yang baru seminggu dibuka tentu mengujakan ramai murid.

Maklumlah dah lama bercuti dan terperap di rumah, maka peluang ke sekolah semestinya menggembirakan.  Apatah lagi dapat bertemu rakan sekelas yang hampir sebulan tidak berjumpa dan bertentang mata. Pasti rindu kan?

Tahun 2020 menjanjikan seribu satu peluang dan ruang untuk dilaksanakan  dengan penuh impian. Bagi murid dengan impian yang besar, maka awal tahun diisi dengan motivasi setinggi gunung.

Bagi yang masih kurang jelas hala tuju pula, inilah peluang untuk anda terus cari dan gali setiap pengalaman sehingga ketemu apa impian anda.

Yang pastinya, setiap impian dan harapan, perlulah datang dengan satu  sasaran yang jelas. Selalu saya pesan dengan murid saya, tuliskan impian anda dalam kertas.

Tampal juga di semua tempat yang selalu dilihat. Biar jelas. Agar impian itu sentiasa boleh dibaca, sehingga benar-benar terang apa tujuannya.

Maka tahulah apa yang patut dibuat, dari masa ke masa. Insan yang berjaya, harus ada matlamat  hidup dan cara kerja yang bukan sahaja bersungguh, tetapi juga berfokus.

Pastikan juga diri anda sentiasa dikelilingi orang-orang yang positif. Yang sentiasa rajin mahu belajar. Yang sentiasa tahu  apa yang perlu dibuat.

Bak kata orang dulu-dulu,  kalau nak badan kita wangi, pandailah berkawan dengan  penjual minyak wangi. Pasti kita juga sama  wangi. Setuju kan?

Sebut sahaja pasal anak mahu belajar, sudah pasti ibu dan ayah tidak akan lokek  keluarkan duit untuk membelinya.

Sementara masih bersemangat pada awal tahun, maka sediakanlah peralatan dan bahan belajar dengan selengkapnya.

Tentu rasa lagi bermotivasi nak buat yang terbaik untuk tahun tersebut. Oh ya... buat murid yang menjadikan permainan dalam talian sebagai hobi, maka boleh lah mula menanam azam untuk menghentikan hobi kurang sihat ini.

Hobi yang boleh bertukar menjadi ketagihan ini bukan  saja memudaratkan, malah  mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Selain membuang masa, kegiatan ini juga boleh  menyebabkan murid lewat tidur malam dan tidak dapat  fokus di sekolah.

Akhirnya pembelajaran terganggu, keputusan peperiksaan menurun dan diri sendiri yang kerugian. 

Sebagai penutup, sentiasalah ingat, apapun tindakan kita pada tahun ini, biarlah ia sesuatu yang memberi kebaikan dan manfaat bukan saja kepada kita, malah  juga kepada orang di sekeliling kita pada akhirnya.

Buat semua murid yang disayangi, selamat maju jaya!

NORHAILMI ABDUL MUTALIB

Guru Adiwira SMK Jerlun, Kedah

Tip Menarik:

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Tip mudah ingat sifir 2,5,10 dan 11 cara Teacher Shaza

Cikgu ini kongsi cara hafal sifir dalam masa sehari - Murid-murid pasti dapat skor Matematik nanti