GURU Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok, Kedah, Mohd Solihin Che Rozali berkongsi satu aplikasi penting untuk murid berkeperluan khas (MBK) jadikan panduan.

Jom ikuti perkongsian beliau.

**********

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah satu penghalang buat semua guru untuk terus menabur bakti menyebarkan ilmu kepada anak didik masing-masing.

Pelbagai platform yang terbentang hanya di hujung jari untuk para guru terus menyampaikan ilmu kepada murid-murid.

Selain penggunaan Whatsapp dan Telegram untuk para guru terus kekal berhubung dan berinteraksi dengan anak didik, platform online lain seperti Zoom, Microsoft Team, Youtube dan Google Classroom juga semakin relevan pada masa kini dan sedang rancak dan dimanfaatkan oleh semua guru.

Malah, kerajaan juga telah memperkenalkan platform Pembelajaran Digital untuk kegunaan semua pendidik di dalam negara kita. Semuanya bergantung kepada nawaitu guru masing-masing samada mahu memanfaatkan semua kemudahan ini atau tidak.

Dalami bakat MBK

Kemenjadian MBK adalah agenda utama Kementerian Pendidikan Malaysia.  

Apabila berbicara tentang peluang pendidikan terhadap MBK, mereka juga mempunyai minat, hasrat dan cita-cita yang standing dengan individu normal.

Mereka juga perlu diberikan peluang yang sama dengan individu normal yang lain supaya mereka tidak tersisih daripada arus pembelajaran nasional kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai kecerdasan kognitif yang setanding dengan individu yang sempurna malah mereka mampu melebihi pencapaian pelajar yang normal.

Murid yang mengalami masalah pembelajaran, pendengaran, penglihatan mahupun fizikal tidak seharusnya dipinggirkan dan dikecualikan untuk mendapat akses pendidikan yang baik.

Penghasilan aplikasi android ProSolat

Aplikasi Android ProSolat ini dihasilkan bersama tiga orang MBK bermasalah pembelajaran iaitu Ismail Shamsani, Badrul Amin Maulid dan Sofiya Aryna serta seorang guru bimbingan Ustaz Mohd Solihin Che Rozali.

Projek ini dilakukan bagi memupuk serta mengasah bakat kemahiran pelbagai murid-murid istimewa dalam bidang teknologi.

ProSolat adalah satu aplikasi android yang merupakan Bahan Bantu Mengajar yang dicipta bagi membantu pelajar Muslim dalam mempelajari serta menguasai pergerakan dan bacaan dalam solat terutamanya bagi MBK pembelajaran dan pendengaran.

Ia merupakan suatu modul digital yang boleh digunakan melalui pelbagai alat seperti gajet, komputer, laptop dan juga tablet.

Melalui aplikasi ini, murid-murid boleh menggunakan di mana sahaja samada di dalam bilik darjah, di luar bilik darjah, asrama mahupun sekolah.

Secara tidak langsung kefahaman mereka dapat dipertingkatkan dan diperkukuhkan lagi.

Selain itu, dengan menggabungkan tiga elemen utama iaitu “VIG”- Video, Infographic dan Games, ProSolat bukan sahaja akan memudahkan lagi para pelajar dalam menguasai konsep solat, bahkan dapat menarik minat mereka untuk belajar dengan lebih mendalam.

Ini kerana elemen yang dirangka adalah berkonsepkan video, gamifikasi dan pembelajaran yang lebih interaktif lagi efisien.

ProSolat ini merupakan satu Bahan Bantu Mengajar berbentuk digital  yang pertama di Malaysia direka khas bagi MBK yang mempunyai masalah pembelajaran dan pendengaran.

Menjadi tarikan pihak luar

Aplikasi ProSolat ini telah mendapat mendapat pingat Emas di dalam pertandingan National Innovation and Invention Competition through Exhibition 2019 dan pingat Perak di International Bujang Valley Innovation, Invention and Design Competition 2019 baru-baru ini.

Modul pembelajaran ini mempunyai nilai komersial yang tinggi terutamanya dalam bidang pendidikan kerana modul ini dibina adalah sebagai panduan guru Pendidikan Khas dalam mengajar topik solat terutama bagi mereka yang kurang mahir di dalam menggunakan bahasa isyarat.

Bukan itu sahaja, modul ini juga membantu guru dari segi pengawalan masa pengajaran dan memberikan guru idea dalam melaksanakan aktiviti.

Modul ini juga dibina bersesuaian dengan pembelajaran abad ke-21 sesuai dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

Di samping itu, penyebaran kepada komuniti setempat juga tidak dikecualikan apabila produk inovasi ini turut disebarluaskan di sekolah-sekolah Pendidikan khas berhampiran seperti Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alor Setar dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Sungai Petani.

Melihat kepada kepentingan produk inovasi ini, MBK juga turut diberi peluang untuk membentangkan produk inovasi ini serta menunjukkan demonstrasi penggunaannya di hadapan panel penilai apabila Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok dicalonkan di dalam penilaian akhir Pembestarian Sekolah peringkat Kebangsaan 2019.

Antara panel yang terlibat adalah daripada Bahagian Pendidikan Khas dan BahagianSumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kemenjadian murid

Kebanyakan daripada MBK mempunyai potensi yang besar, mampu berdikari selain berupaya mencari sumber pendapatan sendiri jika mendapat didikan sewajarnya.

Potensi ini seharusnya perlu dicungkil dan digarap oleh para guru Pendidikan khas supaya kebolehan dan keupayaan mereka dapat dilihat dan dibuktikan kepada masyarakat di luar sana.

Kita amat berbangga apabila murid kita mempunyai masalah pembelajaran, tetapi mampu berkomunikasi dengan baik dan berkeyakinan tinggi apabila berhadapan dengan ramai pihak.

Melalui projek ini kita dapat melihat sendiri bagaimana mereka mampu untuk menjalankan tugas yang diberikan dengan baik selain merasakan ia sebagai sesuatu yang seronok untuk dilakukan melibatkan kerjasama dalam kumpulan.

- Mohd Solihin Che Rozali

Guru Pendidikan Khas

Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok,Kedah.

- Penerima Pingat Emas di National Innovation and Invention Competition through Exhibition 2019

- Penerima Pingat Perak di International Bujang Valley Innovation, Invention and Design Competition 2019

Tip menarik:

50 latihan peribahasa disediakan Guru Cemerlang SBP Integrasi Kubang Pasu

Guru Cemerlang kongsi kuiz subjek Sains untuk pelajar Tingkatan Tiga dan Lima jawab

Ustazah Zulfa sediakan 10 soalan mudah untuk calon UPSR jawab – Boleh rujuk buku teks

Cikgu Mohd Azif kongsi set latihan Fizik untuk calon SPM ulangkaji sepanjang PKP

Latih tubi soalan objektif Matematik SPM 2020 – Perkongsian Guru Cemerlang