Menurut http://www.myhealth.gov.my/, stres atau tekanan merupakan tindak balas fizikal, emosi dan mental yang dialami oleh seseorang apabila  tuntutan tidak dapat dipenuhi.

Stres boleh juga dialami bila berdepan dengan rangsangan yang tidak menyenangkan seperti bau yang busuk, bunyi yang kuat dan kata-kata yang kesat.

Sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas boleh mengalami stres.

Umumnya tahap stres yang dihadapi oleh seseorang berbeza-beza mengikut beban tekanan yang dihadapi.

Stres yang sedikit atau sederhana adalah baik dan boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi kepada individu untuk meningkatkan produktiviti.

Walau bagaimanapun, stres yang berlebihan, untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif, dan memudaratkan kesihatan serta meningkatkan risiko terhadap penyakit.

Sebenarnya ada berbagai cara yang boleh kita lakukan dalam mengawal stres. Stres boleh dikawal secara sendiri atau pun melalui bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan.

Menurut Guru Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam, merangkap Guru Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran,  tekanan begitu membebankan jiwa. Adakalanya ia menyebabkan seseorang itu begitu sukar berfikir dengan waras, dan tindakannya juga menjadi tidak betul.

Katanya, menasihati orang lain supaya mengawal tekanan memanglah mudah. Tetapi untuk mengawal tekanan yang melanda perasan tidaklah semudah menasihati orang lain.

“Sebenarnya kita boleh mengambil tekanan itu sebagai alat yang boleh menggerakkan kita ke arah kecemerlangan. Saya selalu menyebut bahawa orang bijaksana mampu mengubah sesuatu yang negatif menjadi positif. Inilah yang sukar untuk dilakukan.

“Bagaimana mungkin kita mampu mengubah sesuatu yang negatif itu kepada positif. Bagaimana pula hendak mengubah tekanan kepada kecemerlangan. Bekerja dalam keadaan tertekan, mungkinkah hasilnya cemerlang?,” katanya.

Tambah beliau, itulah yang membezakan setiap manusia itu. Jika ada yang mengatakan tekanan akan meracun jiwa dan menyebabkan seseorang itu bertindak tanpa kematangan atau menyebabkan manusia hampir-hampir menjadi luar kawalan, Razali sendiri bersetuju.

Namun, beliau yakin, jika dapat diatasi dengan betul, tekanan mampu menjadikan seseorang itu cemerlang dan berjaya.

“ Sebenarnya tekanan akan mendidik anda tabah dalam kehidupan dan bertindak pantas untuk menyelesaikan masalah. Hakikatnya, tekanan itu sedang memberi anda pengalaman supaya anda mampu menggunakan pengalaman tersebut ketika sedang merebut sebuah kejayaan.

“Selain bertindak membentuk antibodi dalam diri supaya anda kuat untuk berhadapan dengan tekanan yang lain kelak. Apabila anda berjaya menghadapi tekanan yang hebat, anda sebenarnya sedang bergerak ke arah kecemerlangan dalam hidup.

“Percayalah, hadapilah dengan tenang tekanan yang mendatang. Berfikir positif dan lihat tekanan itu sebagai sumber motivasi dalam diri anda. Insya-Allah anda akan cemerlang,” katanya.

10 tip hadapi tekanan

1.    Bertenang

2.    Bernafas dengan dalam

3.    Berkata `rilakslah’/ tak mengapa

4.    Beribadat

5.    Bercakap dengan seseorang

6.    Berurut

7.    Berehat dan mendengar muzik

8.    Beriadah

9.    Bersenam

10.    Berfikiran positif