SEPANJANG tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kita dapat melihat perubahan besar senario pendidikan.

Sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang rutinnya berlangsung secara bersemuka, kini berubah kepada cara guru mengajar anak-anak secara jarak jauh.

Ketika dua fasa awal PKP, ramai guru telah menyertai webinar anjuran pelbagai organisasi pendidikan yang bertujuan memberi pendedahan kepentingan serta penggunaan teknologi yang menyokong kepada pendidikan digital.

Begitu juga dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyediakan rancangan TV pendidikan untuk mempelbagaikan sumber pembelajaran bagi memastikan akses pendidikan diterima oleh semua murid.

Dalam pembelajaran bersemuka, lembaran kerja rumah murid akan diberi pada akhir sesi PdPc dan pada keesokan, guru akan melaksanakan perbincangan dalam bilik darjah.

Situasi itu berubah dalam pembelajaran jarak jauh, PdPc berlaku secara asynchronous atau tidak serentak yang memerlukan perancangan teliti dalam mengintegrasikan teknologi.

Pembelajaran jarak jauh bukan perkara asing, malah telah menjadi amalan dalam pendidikan moden (Carr-Chellman & Dechastl, 2000).

Tiada perancangan pendidikan jarak jauh, menyebabkan guru menggunakan teknologi untuk tujuan menghantar lembaran kerja sahaja dan tiada komunikasi dua hala antara murid dengan guru.

Kita perlu ingat terdapat juga murid yang mempunyai limitasi akses internet dan masih berkomunikasi melalui teks mesej dan panggilan telefon.

Tahukan kita, murid boleh belajar menerusi teknologi pada kadar yang minimum dengan melaksanakan pembelajaran berasaskan projek (Project Based Learning/ PBL).

Apakah PBL? PBL adalah pendekatan pembelajaran berpusatkan murid di mana murid akan diberikan masalah dan dikehendaki menyelesaikan serta menyediakan produk (Moss& Von Duzer, 1998).

PBL juga menekan pembelajaran berpusatkan murid, pelbagai disiplin serta mengintegrasikan dengan situasi dunia nyata (Solomon, 2003).

Pelaksanaannya juga dalam pembelajaran murid dapat memberi peluang kepada murid untuk belajar kemahiran tertentu ketika proses pembelajaran berlangsung (Brunetti, Petrell & Sawada, 2003).

PBL memerlukan ruang masa kepada murid untuk mengeksplorasi maklumat daripada pelbagai medium yang dikumpul dengan pelbagai cara yang sesuai sebelum dijadikan sebagai produk akhir untuk dipersembahkan murid dalam bilik darjah.

Pelaksanaan PBL merupakan kesinambungan PdPc mereka dalam bilik darjah yang diimplemenkan dalam situasi sebenar.

Sebagai contoh, menyediakan tugasan berkaitan pendidikan seni dan bahasa Melayu dengan menyediakan lukisan  ruangan rumah (pendidikan seni) masing-masing terlebih dahulu.

Seterusnya, menggunakan akhbar atau katalog pusat membeli belah, mereka memotong gambar barang dan meletakkan pada ruangan rumah.

Pengintegrasian subjek bahasa Melayu dengan mengaitkan dengan kemahiran bahasa sebagai contoh murid menamakan barangan yang ditampal, mengkategorikan mengikut kata nama, malahan murid boleh menulis karangan berdasarkan aktiviti yang ditugaskan kepada mereka.

Semua arahan dan panduan boleh dinyatakan melalui aplikasi Whatsapps atau secara teks mesej secara berkala.

Apabila tugasan mereka selesai, mereka telah menyiapkan sebuah big book berkaitan dengan bahasa Melayu dan pendidikan seni dengan menggunakan teknologi  pada kadar minimum.   

PBL tidak tertumpu kepada pelajar institusi pendidikan tinggi malahan ia boleh dilaksanakan kepada murid sekolah rendah.

PBL berpotensi untuk memotivasikan murid untuk membina keyakinan diri, penghargaan diri dan autonomi dalam mata pelajaran yang dipelajari (Chayanuvat, 2007).

Melalui pendekatan ini, ibu bapa dan anak saling membantu kerana tugasan yang disediakan bersifat umum.

Kolaborasi antara ibu bapa dan anak-anak menyediakan pengalaman berkomunikasi dengan orang dewasa. Mewujudkan kolaborasi dan komunikasi merupakan kemahiran penting untuk menyediakan murid berkemahiran abad ke 21.

Di samping itu, ibubapa tidak perlu memodalkan kad prabayar untuk perkhidmatan internet kerana tugasan ini melibatkan penggunaan sumber disekeliling mereka.

Pada era pendidikan moden, teknologi yang dipelajari oleh guru-guru bertujuan untuk memastikan komunikasi antara guru dan murid berlaku supaya murid dapat membina pengetahuan mereka.

Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan anak murid kita mempunyai batasan dalam penggunaan teknologi.

Bagi memastikan pembelajaran sentiasa berlaku, pendekatan PBL boleh diimplemenkan melalui penggunaan teknologi atau tanpa teknologi. Terdapat pro dan kons dalam kedua-dua mod pembelajaran.

Namun begitu, PBL dapat mewujudkan kemahiran kolaborasi dan komunikasi yang amat penting pada masa hadapan dan bukan sekadar menggunakan teknologi untuk praktis tradisional.

Teknologi itu memudahkan, bukan menyulitkan.       

 

Bibliografi

1. Brunetti, A. J., & Petrell, R. J., & Sawada, B. (2003). Team project-based learning enhances awareness of sustainability at the University of British Columbia,

Canada. International Journal of Sustainability in Higher Education, 4, 210.

2.Carr-Chellman,A. Dechastl, P. “The Ideal Online Course” British Journal of Educational Technology 31 (3) 229-242, 2000

3. Chayanuvat, A. (2007). Developing a PBL English course: A discovery journey.

Paper presented at the Third International Conference on PBL, Nakhon Si Thammarat, Thailand. Retrieved September 26, 2011 from http://pbl2.wu.ac.

th/conference/

4. Solomon, G. (2003). Project-based learning: A primer. Technology & Learning, 23, 20-27.

5.Moss, D., & Van Duzer, C. (1998). Project-based learning for adult English learners. Eric. Digest. Retrieved September 20, 2010 from http://www.ericdigest.

org/1999-4/project.htm

 

Oleh;

Muhammad Sabiq Mohd Noor & Dr Mohd Asnorhisham Adam

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Digital Pasir Gudang, Johor

Artikel menarik:

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu

Patutlah ramai cikgu buat Google Classroom...rupa-rupa ini faktornya

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid tahap dua kuasai

Mudahnya tanda jawapan murid di telefon, ini kaedahnya yang boleh cikgu cuba