Pendidikan negara telah mengalami pelbagai transformasi mengikut perancangan KPM berdasarkan keperluan situasi semasa. Tahun 2020 menyaksikan dunia berhadapan dengan wabak Covid-19 yang merencatkan operasi pelbagai sektor termasuk Pendidikan.

Tindakan KPM dengan mengaturkan pelbagai pelan kontigensi untuk warga sekolah dalam memastikan kelangsungan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid berlaku walaupun tiada pertemuan bersemuka.

Menurut dokumen penjajaran kurikulum pembukaan sekolah (2020), pihak KPM menggalakkan pelaksanaan pembelajaran teradun yang menggabungkan sesi PdP dalam bilik darjah dan luar bilik darjah, bertujuan memastikan kandungan mata pelajaran disampaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Pelbagai kajian menunjukkan pembelajaran teradun mempunyai keberkesanan terhadap murid dari aspek pencapaian mahupun pembangunan kemahiran.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai cabaran yang merencatkan kejayaan pendekatan ini khususnya dalam tempoh pandemik. Ini kupasan Cikgu Muhammad Sabiq Mohd Noor dari SK Senibong, Pasir Gudang Johor.

1. Pelaksanaan Pembelajaran Kontekstual dalam Pembelajaran Teradun    

    Rancangan pengajaran harian merupakan dokumen utama yang ditekan dalam Skpmg2 Standard empat iaitu guru sebagai perancang. Dokumen yang mengandungi objektif, aktiviti pengajaran dan pentaksiran perlu diselarikan dengan keperluan dan latar murid yang diajar.

Dalam melaksanakan pembelajaran teradun, khususnya dalam tempoh pandemik, pengintegrasian aplikasi pendidikan dalam pembelajaran kontekstual membantu dalam menyampaikan pengetahuan kepada murid.

Pembelajaran kontekstual adalah pembelajaran yang mengaitkan pembelajaran dengan persekitaran murid. Ini bermaksud murid menggunakan bahan yang berada di rumah untuk melengkapkan tugasan yang diberi.

Pelaksanakan pengajaran tersebut memerlukan kecekapan guru dalam mengenal pasti persekitaran murid dan aplikasi yang sesuai untuk mereka sebelum merancang aktiviti pembelajaran.

Kemahiran merancang aktiviti pembelajaran selaras dengan dokumen standard kandungan pengajaran (DSKP) dan topik dalam buku teks menjadi fokus supaya tugasan dapat dilengkapkan oleh murid dengan bantuan daripada ibu bapa.   

2. Batasan Peranti dan Akses Internet Murid

    Aspirasi pendidikan dalam melahirkan murid berkemahiran literasi ICT termaktub dalam anjakan ketujuh PPPM. Perkara ini penting dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran abad ke-21 serta memenuhi keperluan karier pada masa hadapan.

Untuk menyokong inisiatif ini, pihak KPM bersama pihak syarikat telekomunikasi berkerjasama dalam menaik taraf talian dan akses internet di Malaysia. Peranti dan akses internet menjadi satu keperluan bagi setiap individu khususnya golongan pelajar bagi membolehkan mereka belajar khususnya dalam tempoh pendamik ini.

Walaubagaimanapun, tidak semua murid mempunyai kemudahan tersebut dan kebanyakan bergantung kepada peranti milik ibu bapa untuk melengkapkan tugasan.

Perbandingan tempoh PKP awal dan gelombang ketiga menyaksikan penurunan kadar penglibatan murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Terdapat juga masalah akses internet, khususnya bagi murid-murid yang berada di kawasan pedalaman yang menyebabkan ketirisan dalam penyampaian pengetahuan.

3. Persediaan Bahan Bantu Mengajar Dalam LMS

    Aktiviti PdPC lebih menarik dan menyeronokkan dengan adanya bahan bantu mengajar berbentuk maujud. Ia memberi pengalaman baharu kepada murid terhadap mata pelajaran yang dipelajari.

Untuk tempoh pandemik, guru-guru menyediakan bahan pembelajaran dan hebahan melalui aplikasi Whatapps secara harian dan bahan pembelajaran terdiri daripada pelbagai bentuk. Untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran teradun, penggunaan sistem pengurusan pembelajaran atau Learning Management System (LMS) perlu dioptimumkan seperti Google Classroom dalam halaman DELIMA yang berfungsi sebagai pelantar pembelajaran maya.

Penggunaan LMS, membolehkan guru-guru meletakkan bahan pembelajaran serta menyampaikan arahan tugasan dalam satu halaman. Perkara ini memudahkan murid untuk berkomunikasi dengan bahan dalam melengkapkan tugasan yang disediakan oleh guru.

Walaubagaimanapun, kekurang kerangka pelaksanaan mengikut mata pelajaran menyebabkan bahan atau aktiviti pembelajaran tidak disampaikan dengan efektif. Perkara ini mengakibatkan sesi PdP berlaku secara mendatar dan tidak berkesan terhadap objektif pembelajaran.

4. Penilaian dan Pentaksiran Murid

    Penilaian dan pentaksiran merupakan fasa akhir dalam sesi PdP yang  dilaksanakan berasaskan kepada aktiviti dan objektif pembelajaran melalui instrumen tertentu. Instrumen ini menyokong kepada penilaian bilik darjah (PBD) yang menilai tahap penguasaan terhadap kemahiran manakala penilaian sumatif untuk mengukur pencapaian dalam mata pelajaran.

Dalam tempoh pandemik, berlaku batasan dalam pentaksiran di mana guru menilai murid berasaskan kepada hasil kerja mereka. Pembelajaran teradun membolehkan guru menyediakan sesi pentaksiran yang tersusun dalam LMS sedia ada. Walau bagaimana pun, kefahaman dan perspektif  terhadap penilaian secara berfokus dalam bilik darjah semata-mata menyebabkan kurang yakin dalam mencuba instrumen berbeza untuk tujuan tersebut.

Penurunan kadar penglibatan murid pada gelombang ketiga PKP menyukarkan guru untuk melaksanakan sesi pentaksiran murid. Perkara ini memberi impak negatif terhadap murid yang akan beralih ke darjah baharu sedangkan mereka belum menguasai kemahiran ketika berada dalam darjah yang lepas.

Kesimpulannya

Pembelajaran teradun merupakan satu pendekatan pendidikan yang rasional dilaksanakan sejajar dengan saranan pihak KPM. Pendekatan ini memberi impak positif kepada pencapaian dan perkembangan kemahiran murid dalam mata pelajaran yang dipelajari. Namun begitu, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru, murid serta sekolah dalam pelaksanaannya.

Cabaran-cabaran ini perlu diteliti dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi supaya pelan kontigensi dapat diatur dan dilaksanakan pada peringkat pelaksana. Di samping itu, guru perlu memastikan kelangsungan pendidikan itu berlaku secara berterusan dalam pelbagai situasi bagi melahirkan insan yang berkemahiran abad ke 21 serta memenuhi keperluan karier masa hadapan.

Teknologi itu memudahkan, bukan menyulitkan.

Sumber :  http://bpk.moe.gov.my/images/2020/Document/PANDUAN_KONSEP_KHAS_PKHAS.pdf