MEMANDANGKAN tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi untuk tempoh dua minggu bermula 29 April hingga 12 Mei ini, guru Matematik, Sekolah Kebangsaan SLDB No.1, Mukah, Sarawak, Cikgu Mohamad Hakim Mohammad Nor ada pesanan penting untuk semua murid.

Ikuti pesanan beliau ini.

**********

Dalam tempoh PKP, cikgu menyarankan supaya murid-murid baiki mana yang kurang bagi subjek Matematik. Gunakan masa cuti ini dengan sebaiknya untuk mengulangkaji pelajaran.

Murid yang bijak adalah mereka yang konsisten dalam membuat ulangkaji tanpa menunggu sehingga minit-minit terakhir sebelum sesuatu ujian atau peperiksaan tiba. Elakkan budaya bertangguh yang akhirnya akan memakan diri sendiri.

Tiada langkah mudah untuk murid menguasai subjek Matematik. Ia memerlukan latih tubi yang banyak setiap hari. Buat pembetulan dan kesan di mana kesalahan. Kemudian, cari soalan yang hampir sama bentuknya, buat lagi dan lagi. Langkah-langkah ini akan mengelakkan kalian daripada melakukan sebarang kecuaian seterusnya meningkatkan markah dalam peperiksaan.

Semasa cuti ini, pastikan murid-murid peruntukkan masa untuk subjek Matematik.

Paling kurang 10 minit untuk selesaikan beberapa soalan latih tubi. Lagi bagus jika ada jadual waktu belajar khas sepanjang cuti. Murid yang cemerlang, mereka belajar secara bersistem dan melatih diri untuk tepati waktu.

Seperti yang kita sedia maklum, sifir ini umpama nadi dalam Matematik. Murid yang dapat menghafal sifir, sudah pasti akan dapat menyelesaikan soalan Matematik dengan baik.

Pesanan cikgu yang seterusnya adalah berkaitan dengan penggunaan gadget ketika di rumah.

Jadilah pengguna yang bijak dengan memilih aplikasi-aplikasi yang dapat membantu dalam pelajaran.

Bagi subjek Matematik khususnya, aplikasi permainan seperti Sudoku dan Uno adalah pilihan yang baik.

Ini kerana aplikasi-aplikasi tersebut bukan sahaja menyeronokkan, malahan juga dapat membantu dalam mengukuhkan penguasaan Matematik.

Selain itu, terdapat banyak saluran-saluran pembelajaran yang boleh dilayari di platform seperti Youtube, Telegram dan Facebook yang mana ia mengandungi ribuan perkongsian yang dapat menambah serta mengukuhkan pengetahuan murid semua.  

Akhir kata dari cikgu, gunakanlah cuti yang ada dengan sebaiknya. Cuti-cuti juga, ulangkaji jangan dilupa ya!

Tip menarik:

Bina animasi mudah guna aplikasi FlipaClip. Perkongsian menarik daripada Cikgu Fazli BioSensei

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

Hafal dalam masa sehari sepanjang tempoh PKP. Murid-murid pasti mahir sifir 1-12

Guru Pendidikan Khas kongsi tip mudah mengenal Huruf Hijaiyah dalam bahasa isyarat

SK Dato’ Wan Kemara bina ‘Aplikasi OHSOM’ mudah pantau pembelajaran murid