FALSAFAH Pendidikan Kebangsaan telah menetapkan matlamat utama pendidikan ke arah melahirkan individu yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani berasaskan pegangan teguh dan kepercayaan kepada Tuhan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata,  menjelang abad yang baharu, rakyat Malaysia perlu menjadi warganegara yang berminda kelas pertama, teguh jati diri, matang dalam menyimpulkan pandangan serta dinamik dalam mencorak pemikiran.

“Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pelbagai inisiatif ke arah melahirkan generasi yang cemerlang dan terdidik dengan adab terpuji.

“Penerapan nilai dan adab perlu menjadi tunjang kepada  kemenjadian pembentukan diri seseorang murid secara holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Kini, proses 3M (Menulis, Membaca dan Mengira) dalam  pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) pada  mana-mana peringkat perlu ditambah dengan M yang keempat iaitu Manusiawi,” katanya.

Menurut beliau, sekolah bukan lagi tempat persaingan  tetapi tempat pembelajaran nilai kemanusiaan.

“Nilai teras yang harus kita raikan seperti menyebarkan  kasih sayang,  diterapkan dalam suasana hormat  menghormati dan bertanggungjawab pula membuahkan
hidup aman dan gembira.

“Seiring kemajuan berteraskan revolusi industri  4.0, nilai manusiawi juga seharusnya  menjadi tunjang utama,” katanya.

Beliau berkata, jika soal nilai dan manusiawi tidak  difikirkan pada zaman teknologi ini dikhuatiri lahirnya  manusia yang bukan sahaja gagal menginsankan
teknologi, sebaliknya mereka pula ditukarkan menjadi seolah-olah jentera  berautomasi.

Kata Maszlee, atas dasar tanggungjawab, pihak kementerian telah  menyediakan Manual  Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni bagi kegunaan murid sekolah rendah dan menengah.

“Ia merupakan suatu  panduan melaksanakan aktiviti bimbingan ke arah merekayasa  amalan nilai murni dalam kalangan murid.

“Saya berharap manual ini digunakan secara maksimum  bagi memupuk kesedaran, ke arah membina kefahaman  sehingga ke peringkat nilai tersebut menjadi  amalan dan dibudayakan dalam kehidupan harian.

“Semoga usaha murni ini memberikan impak kepada  kemenjadian murid yang bukan sahaja cemerlang inteleknya malah terbilang sahsiahnya,” kata Maszlee.

KPM telah menyediakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni bagi sekolah rendah dan menengah untuk  panduan pihak sekolah mengikut bulan disepanjang tahun.

Nilai teras yang diterapkan adalah kasih sayang, hormat menghormati,  bertanggungjawab dan kegembiraan.

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain