MENANGIS ketakutan, kesejukan dan angin kencang bukanlah halangan utama bagi 56 pendaki yang terdiri daripada bakal guru menawan puncak Gunung Kenderong, Gerik, Perak sempena Hari Kebangsaan ke-62, baru-baru ini.

Bagi mereka, cabaran yang dihadapi adalah perkara biasa yang perlu dilalui oleh setiap peserta.

“Dengan cabaran, kita akan lebih bersemangat dan makin bertenaga untuk sampai ke puncak dengan lebih cepat,” kata Penyelaras program Cabaran Merdeka 2019, Zakariah Abd Ghani kepada GPS Bestari.

Zakariah

Menurutnya, ada pendaki terutamanya wanita yang takut dengan ketinggian gunung apatah lagi ditambah dengan kegelapan semasa mendaki.

Tidak terkecuali, ada antaranya terpaksa dipapah turun kerana mengalami masalah lutut.

“Walaupun berdepan macam-macam masalah, alhamdulillah, kami sampai juga ke puncak Gunung Kenderong,” katanya.

Cabaran Merdeka 2019 Puncak Gunung Kenderong disertai seramai 56 penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun.  

Mereka terdiri daripada pensyarah, kaunselor, staf sokongan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), 41 penuntut Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dan seorang wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak.

Program pendakian dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Tuanku Bainun dengan kerjasama PPD Hulu Perak.

Menurut Zakariah yang merupakan pensyarah kanan, ekspedisi pendakian bertujuan melatih bakal guru dalam pengurusan organisasi.

“Kami juga mahu memupuk sikap kerjasama dan bantu membantu dalam kalangan penuntut menerusi aktiviti sukan lasak.

“Kami mahu mereka hayati erti kemerdekaan dan menzahirkan rasa kecintaan kepada negara dengan melakukan pendakian merdeka menawan Gunung Kenderong selain membentuk jati diri penuntut dalam mengharungi cabaran,” katanya.

Mengibarkan Jalur Gemilang ketika tiba di Kem Solar semasa menuruni Gunung Kenderong.

Nyaris ditimpa batu

Program julung kali diadakan itu mendapat sokongan padu daripada Pengarah IPGKTB, Mohd Saat Abas dan juga Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Tuanku Bainun, Ahmad Shukri Ghazali.

Peserta yang berjaya menawan puncak gunung, berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera IPG Kampus Tuanku Bainun.    

Bagi pengarah program, Muhammad Amir Syafiq Mukhtar, pengalaman mendaki Gunung Kenderong tetap ada cabarannya walaupun dia sudah beberapa kali mendaki gunung di Beijing dan Malaysia.  

Muhammad Amir Syafiq

“Cabaran utama ketika mendaki apabila saya beberapa kali tergelincir dan ada batu jatuh, nyaris menimpa kami. Memang mendebarkan waktu itu," katanya.

Walaupun bermacam-macam halangan, namun akhirnya Muhammad Amir Syafiq dan pendaki lain sampai juga ke puncak.

“Jika diberi peluang, saya akan sertai lagi program pendakian sebegini atau sukan lasak yang lain,” katanya.

Pendaki memasang khemah sebelum memulakan aktiviti pendakian pada malamnya.

 Dua pensyarah tidak melepaskan peluang mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Kenderong.
 

Penuntut IPG Kampus Tuanku Bainun meraikan kejayaan selepas berjaya menawan puncak Gunung Kenderong.

Muhammad Syafiq Wahab (kiri) dan Ahmad Qardhawi [email protected] (kanan) melompat keriangan apabila berjaya tiba di puncak Gunung Kenderong.

Bakal guru ini merentasi laluan yang paling mencabar ketika mendaki Gunung Kenderong.

REAKSI PESERTA

1) “Pengalaman mendaki Gunung Kenderong adalah pengalaman luar biasa bagi saya sebagai pendaki amatur. Saya masih ingat, cabaran paling getir ketika hendak sampai ke puncak yang mana pendaki perlu mendaki pada darjah kecuramannya 90 darjah dengan menggunakan tali. Menjadi lebih mencabar apabila pendaki perlu menongkah angin kuat dan sejuk ketika mendaki dan menuruni gunung. Ada yang menangis, ada juga yang perlu dipapah ketika menuruni gunung. Malah ada juga yang terpaksa menggelongsor ketika turun kerana fobia dengan ketinggian. Tentang pengalaman manis pula, saya dan pendaki lain gembira bila dapat menyambut Hari Kemerdekaan dan melaungkan ‘Merdeka’ di puncak gunung di samping menikmati keindahan alam.”

- Anis Arina Zulkefly (peserta)

PPD Hulu Perak

2) “Latihan sangat penting sebelum memulakan pendakian. Macam saya, beberapa hari sebelum mendaki, saya akan berlatih dengan berjoging dalam kawasan kampus. Kemudian, saya mendaki Bukit Tok’Kun di Cherok Tok’Kun Pulau Pinang untuk biasakan diri apabila mendaki Gunung Kenderong nanti.”

- Muhammad Aziem Zahrul Sam (peserta)

Naib Yang Dipertua 2, JPP, IPG Kampus Tuanku Bainun

3) “Ini pengalaman pertama saya dalam aktiviti mendaki. Sangat seronok dan dalam masa sama, saya hampir menangis kerana berdepan cabaran besar ketika mendaki. Namun, saya bersyukur dan bangga kerana berjaya mengatasi ketakutan diri sehingga tiba di puncak.”

- Khairunnisa Mat Nazeri (peserta)

Penuntut IPG Kampus Tuanku Bainun

INFO

30 Ogos

- Pendaki berkumpul di Masjid Kampung Pahat, Gerik dan bergerak ke tapak perkhemahan di kaki Gunung Kenderong.

- Mendirikan khemah, latihan jasmani dan taklimat pendakian (8.30 malam).

 

31 Ogos

- Bermulanya pendakian (2 pagi). Tiba di puncak Gunung Kenderong dan mengibar Jalur Gemilang sempena kemerdekaan (6 pagi).

- Turun dari Gunung Kenderong (7.15 pagi)

- Mengemas kawasan perkhemahan dan pulang ke kampus

Artikel dan Tip Menarik:

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

Murid tak datang duduki UPSR, cikgu ini nekad cari di rumah dan apa yang terjadi mengejutkan ramai

'Awak bangun jam 4 pagi, setiap hari, awak buat apa? Saya solat tahajud, ustazah' - Masya-Allah

Guru boleh cuba enam tip ini untuk elak pembentangan pelajar hambar

18 tip persediaan menghadapi SPM dan STPM, yang perlu anda tahu