Perkongsian Cikgu Mohd Fadli Salleh berkenaan seorang  guru asal Pulau Pinang di facebook milik beliau bertarikh 23 Januari lalu menarik minat GPS Bestari untuk mengenali lanjut siapakah Cikgu Asraf yang dimaksudkan itu.

Menerusi hantaran beliau itu,  Cikgu Asraf atau lebih dikenali sebagai Cikgu Bollywood itu mempunyai banyak keistimewaan. Perkongsiannya juga sering mendapat perhatian dan dikongsi netizen sebagai rujukan.

Selain bercerita tentang kisah anak muridnya yang mencuit hati dan adakalanya juga mengundang rasa sebak, Cikgu Asraf turut  kerap berkongsi tentang ‘Kelas Satu Minit’nya. Apakah itu ‘Kelas Satu Minit?’

Ini jawapan Guru Bahasa Melayu dan Sejarah, SK Batu Luking, Kanowit, Sarawak, Cikgu Asraf Selajudin.

“Idea 'Kelas Satu Minit' di Facebook ini timbul apabila saya berhasrat untuk membantu murid-murid di luar sana yang lemah dalam pelajaran secara percuma. Tambahan pula dalam Islam, kita digalakkan untuk mengajar ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain.

“Saya sedar ramai murid di luar sana mempunyai akaun Facebook. Jadi saya memilih platform ini untuk mengajar mereka. Konsep yang saya bawa dalam ‘Kelas Satu Minit’ adalah santai, ringkas dan menyeronokkan.

“Bukan sahaja murid, ibu bapa juga turut menjadi ‘anak murid’ dalam ‘Kelas Satu Minit’ yang saya jalankan di Facebook. Alhamdulillah, pengikut setia ‘Kelas Satu Minit’ saya itu sudahpun mencecah lebih 32 ribu. Alhamdulillah,”katanya.

Bercerita lanjut tentang bidang perguruan yang diceburinya, beliau yang baru lapan tahun bergelar pendidik itu menjelaskan, individu penting menyebabkannya jatuh hati dengan profesion guru adalah ibu dan arwah ayah beliau.

Jelas beliau, merekalah orang penting di sebalik kejayaannya kini. Pengorbanan, didikan kedua orang tuanya itu tidakkan dapat dibalas dengan intan permata.

Tanpa mereka, mungkin anda tidakkan kenal ‘Cikgu Asraf,’ Cikgu Bollywood di muka buku.  

“Arwah ayah, Selajudin bekerja sebagai buruh di kilang manakala ibu saya,  Jamilah pula seorang suri rumah. Namun, kekurangan bukan penghalang buat kami, sebaliknya mereka sangat mengambil berat pendidikan anak-anaknya.

“Setiap malam, mereka berdua akan mengajar saya dan adik-beradik yang lain. Sewaktu di sekolah rendah, saya tidak begitu mahir dalam subjek Matematik, tapi  merekalah guru saya di rumah. Cara pengajaran mereka secara santai menyebabkan saya mudah faham.

“Dari situlah, saya mula jatuh hati dengan kerjaya guru ini. Contoh yang ditunjukkan oleh mereka membuatkan minat untuk mengajar orang lain mulai timbul. Merekalah sumber inspirasi saya dalam dunia pendidikan,”jelas beliau.

Rasa cinta dan minat yang mendalam membuatkan beliau tabah harungi cabaran. Mengajar di kawasan pedalaman, meninggalkan keluarga nun jauh di seberang laut,  sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau.

Segala onak duri, dilaluinya dengan tabah. Harapannya hanya satu, dapat menyampaikan ilmu dan memberikan didikan kepada anak bangsa, itu yang utama.

Pun begitu, cabaran yang terpaksa dihadapi oleh golongan pendidik kini cukup berbeza. Pandemik Covid-19 membawa kesan yang begitu besar dalam dunia pendidikan.

Pada saat ini, internet menjadi ‘nyawa’ bagi memastikan pengajaran terus berjalan melalui PdPR. Namun, masalah utama yang terpaksa ditempuh adalah, capaian internet yang sangat terhad.

“KPM memberi kelonggaran dan kebebasan kepada pendidik untuk menjayakan PdPR mengikut kesesuaian. Di sini, saya menggunakan aplikasi Whatsapp sebagai medium utama PdPR kerana aplikasi masih lagi dapat digunakan walaupun talian internet berada pada tahap yang sangat minimum.

Saya menjalankan PdPR subjek Bahasa Melayu Tahun Tiga dan Tahun Empat. Bagi subjek sejarah, saya menjalankan PdPR untuk murid Tahun Lima. Sambutan dan respon yang diberikan oleh ibu bapa dan murid adalah amat baik. Ini sudah cukup memberikan saya semangat dan harapan baru.

“Semoga pandemik ini dapat berakhir secepat mungkin, dan pengajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan seperti sedia kala. Saya pun dah rindu dengan semua murid-murid saya. Rasanya guru-guru lain di luar sana juga menyimpan perasaan yang sama dengan saya,” katanya.