AKHLAK secara terminologi bererti tingkah laku seseorang yang didorong oleh suatu keinginan secara sedar untuk melakukan suatu perbuatan yang baik.

Manakala adab dalam konteks perilaku, perbuatan: kebaikan, kesantunan, moral, sopan santun, kesusilaan dan kemanusiaan. (Wikipedia).

Pakar Motivasi, Sidiq Ad’Din menerusi telegram Sidiq Ad’din (Pakar Motivasi), berkongsi pandangannya mengenai akhlak dan adab pelajar terhadap guru.

**********

Makin menjadi-jadi isu yang melibatkan akhlak dan adab di mana tidak ada lagi rasa hormat pada guru masa kini.

Wahai mereka yang bergelar pelajar, tahukah kamu bahawa ada dua perkara yang perlu kamu jaga baik-baik semasa kamu menuntut ilmu.

Dua perkara itu adalah Adab dan Keberkatan Ilmu.

Ingat lagi pernah berlaku masa dalam kelas, ada guru yang sampai kecil hati bila lihat anak murid dia terlalu biadab sehingga pemadam papan dibaling, menitis air mata guru dan diangkat barangnya terus keluar dari kelas bergerak ke bilik guru.

Lagi menyakitkan, bila pelajar-pelajar nakal lagi biadab ketawakan terus guru tersebut. Allahu...sebak rasa hati bila membayangkan sendiri kalaulah guru itu adalah mak atau ayah kita sendiri.

Wahai pelajar di luar sana, ini pesanan saya...

Pernah saya bertanya pada seorang guru yang satu ketika dahulu pernah rotan di punggung saya, sakit teramat sampai terduduk di hadapan orang ramai, namun saya tahan dan tetap ucap “terima kasih” cikgu. Terima kasih kerana memberi pengajaran untuk saya dan pasti kesalahan tidak akan diulangi.

Apakah soalan saya bila saya bertemu kembali guru saya sekarang??

Soalan saya, Wahai guru...sewaktu cikgu merotan saya, adakah cikgu rasa puas hati sampai sekarang?

Jawab guru saya, Sidiq...kalau kamu nak tahu, lepas saya rotan kamu dahulu, saya terduduk dan rasa sedih, menyesal terus menyelubungi diri saya, bila yang dididik tak melentur, yang kecewa adalah diri sendiri. Adakah kamu rasa gembira bila sakitkan kesayangan sendiri??

Menitis air mata saya bila mendengar apa guru saya katakan. Dari dulu hingga sekarang saya terus jaga hubungan dengan guru-guru, terus doakan mereka, ada yang telah pergi menghadap Ilahi, ada yang terus berbakti.

Untuk pelajar di luar sana, nak menuntut ilmu, kuatkanlah hati dan terus berbuat baik pada guru kamu, meskipun kamu didenda, itulah bahagian bagi kesalahan kamu.

Jangan terus melabel guru kamu dengan pelbagai maksud yang tidak baik. Ingatlah, jika kamu berbuat baik, kamu pasti akan terus diingati, namun jika sebaliknya percayalah guru kamu tidak pernah simpan dendam terhadap kamu, malah mendoakan yang terbaik untuk kamu.

Buat guru-guru di luar sana, teruskanlah berbakti di luar sana. Saya percaya ramai lagi ibu bapa yang perlukan anak mereka dibimbing dan diajar. Saya doakan semoga setiap kesusahan cikgu, Allah gantikan dengan ampunkan dosa-dosa cikgu.

ARTIKEL MENARIK:

Terperangkap dalam hujan lebat, Baverly sanggup gendong pelajar Pendidikan Khas redah air

Hargailah guru yang memberi kau pengetahuan dan meluruskan jalan mu

'Proses merotan bersifat mengajar dan mendidik bukannya mendera' - Ini kata Kaunselor Berdaftar

Guru, sekali kau merotan, mencubit dan menengking...hilang sudah sejuta kebaikan

Cepat mengantuk ketika mula baca buku - Pakar motivasi kongsi lima faktor yang buat ramai setuju