Isu murid orang asli yang sering keciciran, kemiskinan dan ditambah lagi dengan sikap segelintir mereka yang tidak begitu kisah dengan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) ketika pandemik Covid-19 melanda sangat memberi kesan.

Banyak usaha yang perlu dilakukan agar, masyarakat ini tidak terus ketinggalan dalam pembelajaran. Mengupas lanjut, Prof.Madya Dr.Abdul Ghafar Don, Pusat Kajian Dakwah & Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, ada butirannya.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia kira-kira setahun yang lalu telah memberi kesan yang begitu besar kepada semua sektor kehidupan manusia: politik, ekonomi, agama, sosial dan tidak terkecuali Pendidikan.

Pada peringkat awal Pandemik Covid-19 melanda negara ini, kerajaan telah mengambil langkah yang ketat dengan menutup semua kegiatan melalui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali bagi sektor yang kritikal dan perlu (essential sectors/services) bermula pada bulan Mac 2020.

Bagi tujuan meneruskan kelangsungan ekonomi agar tidak lumpuh kerajaan kemudiannya melonggarkan PKP dengan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kemudiannya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Fenomena Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang besar kepada perjalananan sektor Pendidikan dan kegiatan PdP. Sekolah-sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diarahkan tutup bagi tujuan mengekang virus Covid-19 yang boleh mengancam nyawa warga sekolah dan IPT.

 Sesi dan proses PdP berlangsung dalam norma baharu. Kalau dahulu, proses PdP berjalan secara bersemuka. Tetapi kini, semua sesi dan proses PdP berlangsung secara maya melalaui pelbagai aplikasi seperti google classroom, google meet, live facebook, Microsoft teams, zoom, webex dan lain-lain. Sudah pasti proses PdP yang berjalan secara maya ini banyak memberikan cabaran kepada sama ada guru, murid mahupun ibu bapa.

Aktiviti PdP secara maya mungkin tidak begitu bermasalah kepada murid-murid atau pelajar-pelajar yang tinggal di bandar atau pinggir bandar. Bagi yang tinggal di pedalaman, PdP secara maya menyukarkan mereka mendapatkan akses yang baik kerana berkemungkinan di sesetengah tempat capaian internet tidak bagus atau tiada langsung capaian internetnya.

 Ini termasuklah murid-murid atau pelajar masyarakat orang asli yang tinggal di pedalaman. Berlatarbelakangkan sikap masyarakat asli yang tidak begitu mengambil kisah soal PdP dan kadar keciciran sekolah yang tinggi, PdP semasa Pandemik Covid-19 amat memberi kesan.

Faktor kemiskinan memburukkan lagi keadaan menyebabkan mereka tidak berkemampuan untuk membeli data internet bagi tujuan PdP. Situasi ini menyebabkan mereka mengalami kesukaran dan ketinggalan dalam pelajaran.

Bagi mengatasi masalah ini, pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah mengambil inisiatif memastikan anak-anak orang asli tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Proses dan aktiviti PdP telah dilaksanakan dengan guru-guru pergi ke rumah murid-murid atau pelajar asli untuk memastikan mereka dapat belajar seperti biasa. Mereka diberi tugasan dan latihan.

Guru atau petugas JAKOA akan datang untuk mengambil atau mengumpul kerja sekolah dan latihan yang telah diberikan kepada murid Asli. Bagaimanapun, tugasan ini tidaklah semudah yang dijangkakan.

Berdasarkan temu bual terhadap Penghulu Bidin di Kg Orang Asli di Sungai Rual, Jeli, Kelantan dan wakil pejabat JAKOA, Jeli, Muhammad Luqman Romli dan juga imam Kampung Asli Hendrop, Lojing, Aris Rami baru-baru ini mendapati, terdapat murid-murid asli yang telah tidak melaksanakan tugasan atau latihah yang diberikan oleh guru.

 Ini adalah antara cabaran yang terpaksa dihadapi para guru yang bertugas di perkampungan orang asli. Oleh itu, beberapa kaedah lain perlu difikirkan bagi memastikan proses PdP dalam kalangan masyarakat asli agar dapat terus berjalan meskipun dalam suasana pandemic Covid-19.

Usaha-usaha berterusan dan strategik perlulah dilakukan bukan sahaja oleh pihak berwajib dalam membawa masyarakat asli dalam arus perdana pendidikan negara, malah semua pihak perlu berganding bahu secara bersepadu melalui pendekatan yang holistik.

Keberadaan komuniti asli dalam arus perdana pendidikan negara pastinya akan turut memberikan sumbangan dan impak bermakna terhadap pembangunan negara dan pembinaan negara bangsa.