Profesion seorang guru adalah tugas yang mulia.

Tanpa keringat guru yang memberi ilmu, mungkin ramai yang tidak akan berjaya dalam hidup masing-masing. Namun, di sebalik tanggungjawab mulia ini benarkah para guru terbeban dengan lambakan kerja yang tidak sepatutnya?

Malah, baru-baru ini Kementerian Pendidikan (KPM) menasihatkan guru besar dan pengetua menilai semula agihan tugas kepada guru agar tidak membebankan dan mengganggu tugas hakiki mereka.

Wacana Sinar Harian ke-109 yang berlangsung di Dewan Karangkraf, Shah Alam semalam membincangkan tajuk Cikgu Terbeban Realiti Dunia Pendidikan?.

Wacana dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) menampilkan Timbalan Naib Canselor Akademik Universiti Antarabangsa Albukhary, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Setiawangsa, Amiruddin Sahudi dan Guru Pemulihan Khas SK Nitar 1, Roslee [email protected] sebagai ahli panel.

Personaliti Astro Awani, Nazri Kahar pula bertindak sebagai moderator.

Ikuti kupasannya. 

Pandangan Roslee [email protected]

‘Tugas guru bukan suatu bebanan’

TUGAS sebagai seorang guru bukanlah sesuatu yang membebankan. Jika ia dilihat dari sudut positif, bagi guru sebenarnya tidak wujud istilah bebanan sebaliknya itu satu cabaran. Saya bermula dengan mengajar di kelas pemulihan, di situ saya berada di akar umbi di mana saya mengajar murid-murid yang bermasalah dari segi membaca, menulis dan mengira.

Di situlah saya mengkaji apa permasalahan yang berlaku.

Sebagai guru pemulihan khas, minda bijaksana guru perlu diaplikasikan kerana saya yakin apa sahaja permasalahan boleh diatasi sebab guru diberi kelebihan iaitu mempunyai kebijaksanaan.

Apa yang menjadi bebanan ‘benda’ lain itu dipanggil sebagai bebanan, kami diajar untuk menjadi guru yang baik, diberi ilmu sepenuhnya oleh pensyarah.

Saya ada pengalaman mengajar di penjara selama sebulan iaitu ketika mengajar juvana yang berumur 18 hingga 21 tahun. Di tempat pengajian, saya tidak diajar mengajar pelajar kategori ini tapi sebagai guru yang bijaksana kita jangan anggap ia sebagai satu bebanan.

Kita kena cari satu benda yang boleh kita ajar mereka dengan cara yang betul. Alhamdulillah selama sebulan saya mengajar di sana, 12 daripada 15 pelajar juvana terbabit sudah boleh membaca, menulis, mengira dan sebagainya dan salah seorang daripada mereka saya jumpa dua tahun lepas sudah menjadi tauke ayam.

Inilah kebijaksanaan guru yang tidak perlu fikir bebanan, kita cuma perlu melaksanakan tugas kita dengan bijaksana.

Sebenarnya peratusan guru mengajar di dalam kelas itu bergantung kepada suasana atau iklim sekolah masing-masing, ada sekolah ada yang terlalu sibuk dengan kokurikulum hingga mengabaikan aspek akademik.

Misalnya, seorang guru yang memegang banyak jawatan di sekolah dia terpaksa mengejar ‘ke sana ke sini’.

Antara bebanan yang saya nampak ialah guru kena proses borang Rancangan Khas Tambahan Murid, proses borang keluar murid, pakaian sekolah murid (bantuan), yang terbaru bantuan awal persekolahan dan ditapis borang pula.

Kemudian ibu bapa yang tidak dapat bantuan itu tidak berpuas hati, dan ia jadi bebanan.

Kerja ini boleh disahut tetapi dalam situasi yang sama kenapa kita tidak buat satu sistem di mana kita boleh buat penapisan. Jadi saya rasakan suara guru juga perlu didengar oleh pihak tertentu, contoh bila sesuatu dasar hendak dibuat sepatutnya gurulah yang perlu dipanggil lebih ramai.

Kira-kira 60 peratus ahli panel mesyuarat dalam kalangan guru diperlukan.

Pandangan Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed

Polisi kerajaan perlu konsisten

Tanpa PIBG, sekolah-sekolah tidak akan berkembang dengan baik. Bercakap tentang beban guru, semua kerja ada bebanan kerja. Masalahnya apabila semua orang bercakap soal pendidikan, mereka bercakap dari sudut pengalaman iaitu dari sudut yang mereka nampak dan apa yang hanya mereka lalui.

Misalnya, kalau anak pergi sekolah asrama penuh mereka hanya tertumpu mengenai cara sekolah berkenaan.

Kita ada hampir setengah juta guru di Malaysia yang merupakan jumlah yang besar jika dibandingkan dengan jumlah rakyat kita. Boleh dikatakan di Malaysia, nisbah satu guru mengajar 14 anak murid.

Tetapi kita nak ikut acuan mana?

Sekolah kita ada macam-macam. Sistem ditukar dari satu sekolah ke satu sekolah. Ini satu masalah. Antara permasalahan kerjaya guru pertamanya apabila mereka diberi tugasan yang mereka tidak dilatih.

Misalnya, guru bahasa Inggeris diminta ajar bahasa Mandarin, pasti guru akan tertekan.

Guru tertekan bukan kerana mereka tidak dilatih dengan betul tetapi keadaan dan masalah yang diwarisi. Guru dianggap profesion pilihan tetapi bukan kerjaya pilihan. Kalau kita lihat pendirian negara pun tidak tetap, bagaimana kita nak terapkan kepada pendidikan dan sekolah?

Kita mahu polisi kerajaan yang konsisten.

Macam Korea dan China, polisi mereka konsisten dan bertambah baik. Agak mengelirukan kepada guru-guru apabila polisi asyik bertukar.

Pandangan Amiruddin Sahudi

PIBG dapat bantu kurangkan beban guru

FUNGSI PIBG adalah untuk membantu dan kami tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran sekolah. PIBG fokus kepada empat teras untuk membantu sekolah iaitu infrastruktur, sukan dan kokurikulum, sahsiah disiplin serta akademik.

Jadi, tugas PIBG untuk timbulkan kesedaran kepada ibu bapa mengenai sumbangan mereka kepada sekolah.

Ramai ibu bapa jadikan sekolah seperti nurseri dan banyak menyalahkan cikgu jika anak tak pandai. Bila kita serahkan semuanya kepada guru, harapan terhadap guru terlalu banyak. Guru-guru perlu mengejar silibus dan dalam masa sama perlu melakukan tugas pengkeranian dan pentadbiran.

Sebagai PIBG, kami cuba membantu semampu yang boleh.

Di luar sekolah, di sinilah PIBG main peranan dengan menubuhkan kumpulan sokongan ibu bapa. Ramai ibu bapa nak membantu mengurangkan beban guru tetapi kami kena ikut peraturan juga.

Sebenarnya, sekolah dan PIBG berpisah tiada tetapi, masih ada pengetua dan guru besar yang bersikap pintu tertutup.

Di situlah kekangan kami untuk membantu. Kalau bukan kita nak bantu sekolah, siapa lagi? Tetapi dalam masa sama sekolah kena ubah mentaliti juga kalau PIBG nak bantu. Bercakap mengenai polisi dan dasar pendidikan pula, ia cantik di atas kertas tetapi kekangan timbul pada implementasi.

Ibu bapa sekarang kalau ambil kad laporan anak-anak akan tengok berapa A, nombor berapa dalam kelas.

Maknanya, mentaliti ibu bapa lebih kepada akademik. Kita nak ubah mentaliti itu. Ibu bapa juga perlu main peranan dengan ambil berat pelajaran anak-anak di rumah. Sistem pendidikan kita sebenarnya dah bagus, cuma kadang-kadang ada kecairan di tengah-tengah.

Kalau kita masih tak tukar mentaliti, sampai ke sudah kita susah nak berubah.

Artikel menarik:

Pernah dirotan dan ditampar guru... kini siapa sangka Firdauz dah jadi 'orang kuat' sekolah

Program Pengangtarabangsaan Bahasa Arab, kukuhkan komunikasi

3,000 pelajar tahfiz bertadabbur sempena World #QuranHour (15 foto)

Salam Aidilfitri daripada warga SK Dato' Wan Kemara 2019

Walau terpaksa tahan sakit, ditahan lapan hari di wad... guru ini tetap tanda kertas