PERKONGSIAN Guru Cemerlang Sains Sekolah Rendah, Cikgu Sharifah Aziah mengenai tip memohon Guru Cemerlang.

Ikuti panduan daripada guru hebat ini.  

**********

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Cerita lama untuk dikongsi. Sebenarnya dah lama nak share tip, tapi masa mencemburui. Boleh share untuk panduan mereka yang berminat ya.

Baru-baru ini terima perkhabaran ramai rakan guru telah berjaya dan menerima pelantikan sebagai Guru Cemerlang gred 44/48/52/54. Tahniah diucapkan. Sesungguhnya pencapaian itu adalah antara yang terbaik dan termanis hasil daripada usaha cikgu-cikgu selama ini.

Sebenarnya, ramai lagi yang sememangnya layak menjadi Guru Cemerlang (GC), tetapi tidak memohon. Ya, untuk pangkat GC ni mestilah memohon terlebih dahulu untuk melalui peringkat-peringkat tapisan sebelum dilantik.

Ada yang 3-4 tahun berturut-turut memohon, sehingga ke peringkat pemantauan di sekolah, tapi tiada rezeki, tetapi alhamdulillah telah berjaya dalam lantikan GC pada tahun ini.

Tahniah atas usaha dan semangat yang tidak pernah luntur. Saya kongsi sedikit tip untuk rakan-rakan yang ingin mencuba memohon jawatan GC ini ya. Semoga boleh dijadikan panduan.

Peringkat-peringkat yang perlu dilalui: Permohonan -> Saringan & Tapisan (Putrajaya) -> Pemantauan di sekolah untuk verifikasi (jika melepasi tapisan kelayakan) -> Keputusan & Pelantikan

Persediaan untuk memohon dan pemantauan:

1) Menepati syarat kelayakan (cukup tempoh untuk memohon) dan syarat-syarat umum lain

- Sah jawatan

- Telah dinaikkan pangkat ke gred semasa, tidak layak memohon jika sedang memangku

- Bebas tindakan tata tertib

- Lulus tapisan keutuhan SPRM

- Telah isytihar harta

- Markah prestasi sekurang-kurangnya 80% untuk 3 tahun kebelakangan

- Mendapat sokongan Ketua Jabatan

2) Sumbangan di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan, antarabangsa. Jangan lupa simpan semua sijil-sijil sumbangan, penyertaan di pelbagai peringkat untuk dokumentasi. Sebagai bukti sumbangan cikgu. Paling penting: Kemenjadian murid-murid cikgu sendiri dari aspek peningkatan dalam peperiksaan, pencapaian murid dalam pertandingan dan sebagainya. Walaupun kita terlibat dengan pelbagai aktiviti, tetapi kebajikan murid kita sendiri jangan diabai. Sumbangan sebagai Ketua Panitia, JU Daerah, JU Kebangsaan, panel-panel KPM, semua itu ada kreditnya.

3) Anugerah / Pencapaian dalam Profession Perguruan Sekiranya cikgu-cikgu pernah mendapat apa-apa anugerah, contohnya Guru Inovatif, Ikon, dan sebagainya, mohonlah cikgu. Ini antara kredit terbesar untuk berjaya. (Pendapat peribadi saya berdasarkan pemerhatian dan pengalaman)

4) Hasil Penulisan. Sekiranya cikgu-cikgu ada menghasilkan apa-apa bahan penulisan ilmiah, simpan cikgu, sebagai evidens. Modul, buku kerja, laman blog, youtube channel, bahan-bahan ceramah yang cikgu hasilkan sendiri.

5) Inovasi dalam PdPC & Kajian Tindakan Sebagai guru, kita memahami murid-murid kita sendiri. Kenalpasti kelemahan murid dan buatlah inovasi untuk membantu murid. Bahan inovasi boleh dijadikan Kajian Tindakan. Dokumentasikan semuanya. Bahan inovasi ini juga boleh digunakan dalam pertandingan Anugerah Guru Inovatif Daerah/Negeri yang diadakan saban tahun, sebelum dipilih untuk ke peringkat kebangsaan.

6) Dokumentasi Ini evidens paling penting untuk verifikasi semasa pemantauan. Saya pasti ramai antara kita yang kerjanya sangat cemerlang, tapi lemah dalam bahagian dokumentasi. Jujurnya, saya sendiri pernah terdetik rasa menyesal memohon, kerana perlu menyediakan dokumentasi yang lengkap dan tersusun. Tapi, alang-alang menyeluk pekasam kan.

Apa yang perlu ada semasa pemantauan?

Sediakan fail-fail berasingan untuk pemantauan:

1. Sumbangan peringkat sekolah (kurikulum, HEM & kokurikulum)

2. Sumbangan peringkat negeri

3. Sumbangan peringkat kebangsaan / antarabangsa

4. Sumbangan luar yang melibatkan komuniti

5. Sijil kursus-kursus peningkatan profesion yang pernah dihadiri

6. Hasil-hasil penulisan

7. Inovasi dan Kajian Tindakan

8. Rekod pencapaian murid (semua kelas yang cikgu ajar, terutamanya kelas peperiksaan)

9. Slide powerpoint (berdasarkan kehendak / syarat yang dikemukakan dalam surat makluman pemantauan)

10. PdPc - Pemantauan PdPc cikgu pun antara yang sangat penting dan perlu dititikberatkan. Pastikan rph dan bbm cikgu lengkap. PAK21 dan teknologi dalam Pdpc sangat digalakkan.

11. Hubungan dengan rakan sekerja. Pemantau akan turut bertemu dengan rakan-rakan sejawat kita untuk temuduga. Hubungan yang positif, ikhlas, inshaAllah akan membantu kita nanti.

Akhir sekali, teruskan berdoa, dan jangan putus asa. Allah SWT dah tetapkan rezeki masing-masing, dari pelbagai sudut, cuma cepat, atau lambat, bergantung kepada usaha dan semangat kita. Insha-Allah.

Semoga tip-tip ini sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan dan membantu rakan-rakan yang ingin mencuba untuk permohonan. Insha-Allah.

Usaha, doa, tawakal. Jaga niat, Allah pelihara.

Sumber: Facebook Sharifah Aziah

Artikel menarik:

Musim PKP: Gigih Cikgu Nazmi jelajah 13 kampung, hantar kerja sekolah murid

Aktiviti menyeronokkan yang anda boleh buat sepanjang PKP

PKP pun pelajar hantar kek sempena hari lahir cikgu, Cikgu Donze terharu terima kejutan

PKP bulan 'bulan madu' - Guru Cemerlang Matematik kongsi tip mudahnya belajar atas talian

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi