MUHAMMAD HABIL SELAMAT, 19, nekad tolak beberapa tawaran melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi di Tangkak dan Asasi Sains UiTM Dengkil, kerana mahu menjaga ibunya yang kurang sihat.

Dia juga menolak tawaran biasiswa daripada syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC), malah kental menyahut cabaran ke tingkatan 6 dalam aliran Sains Tulen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra Batu Pahat.

Anak bongu daripada tiga beradik yang mesra dengan panggilan Habil ini rela menutup hatinya daripada mana-mana peluang menyambung pengajian demi memberi peluang kepada abang dan kakaknya yang kini masing-masing sedang melanjutkan pengajian di Kolej Vokasional Kelantan dan Universiti Putra Malaysia dalam bidang pendidikan.

“Ibu saya seorang suri rumah, turut ambil upah jahit baju sementara ayah saya seorang peniaga kecil kecilan. Pada saya, inilah peluang terbaik untuk saya berbakti kepada keluarga terutamanya ibu saya.

“Bila kakak dan abang saya sudah habis belajar nanti, insya-Allah giliran saya pula akan sambung belajar,” katanya.

Dia mengambil keputusan meneruskan pengajian ke tingkatan 6 kerana yakin, STPM merupakan jalan terbaik untuk ke universiti.

“Kita bukan saja belajar ilmu, tetapi pada masa sama kita dapat mempersiapkan diri sebelum melangkah ke universiti. Diakui, STPM ini sedikit mencabar berbanding saluran lain yang ada. Tapi saya yakin dengan sistem STPM mampu membentuk diri saya untuk berjaya bukan sahaja dari aspek pelajaran, tetapi juga dari aspek keperibadian diri,” katanya.
Ditanya tentang cabaran yang terpaksa dihadapinya, menurut Habil, sepertimana pelajar lain, dia sendiri turut menghadapi cabaran menguruskan masa dengan baik.

“Masa di sekolah terlalu terhad, disebabkan saya tidak mengikuti mana-mana kelas tusyen, saya gunakan kemudahan internet di sekolah sebagai peluang untuk membuat kajian dan ulang kaji.

“Selain itu saya juga turut yakin dengan kemampuan tenaga pengajar di sekolah ini. Dengan usaha dan semangat, saya juga yakin tanpa kelas tusyen pun kita boleh berjaya seperti orang lain,”katanya.

Biarpun pada awalnya ibunya kurang bersetuju, apabila Habil membuat keputusan untuk mengambil aliran Sains ketika di tingkatan 5 sebelum ini, namun membuktikan yang sukar itu akan jadi mudah.

“Ibu memang kurang bersetuju awalnya, tapi saya yakinkan pada ibu, sehingga berjaya memperoleh 10A dalam peperiksaan lalu,” katanya.

Ingin jadi pendidik
Habil turut menanam cita-cita untuk menjadi seorang pendidik.

Katanya, minat dan bakti yang ditonjolkan oleh pendidik di sekolah ini telah menarik minatnya untuk bergelar seorang guru suatu hari nanti.

Dia juga percaya, untuk berjaya dalam pelajaran, seseorang itu perlu dapatkan mrestu ibu ayah, selain hormat kepada guru, barulah keberkatan ilmu ada dalam pelajaran.

Dalam pada itu, Habil yang juga Ketua Pengawas SMK Tunku Putra ini memberitahu, kata-kata hikmah ibunya menjadi senjata ampuh dalam diri - ‘Tidak kisahlah jika tiada apa-apa, tidak mempunyai harta itu bukan penghalang untuk berjaya.’

Pelajar harapan sekolah ini turut berkongsi kata inspirasi, jangan patah semangat jika pernah jatuh. Dunia ini ibarat roda, ada kalanya di atas dan adakalanya di bawah.

“Siapa yang tak pernah berasa sedih, bila duduk seorang diri, saya pasti akan fikirkan tentang masa lalu. Tunggu bas ke sekolah, naik basikal dan terlalu banyak rintangan serta halangan yang terpaksa kami sekeluarga tempuhi. Tapi, kami tabahkan hati, cekalkan hati, jika kita fikir kita susah, sebenarnya orang lain lagi susah.

“Begitu juga dalam pelajaran, jika kita fikir sesuatu subjek itu susah, ia akan jadi susah. Jadi, fikirkan kita boleh lakukannya, insya-ALLAH berkat doa ibu ayah, kita akan berjaya suatu hari nanti.

"Untuk mahir dalam pelajaran, kita perlu banyak buat latihan, lama kelamaan kita akan terbiasa dengan soalan-soalan tersebut.

"Bila sudah hampir dengan peperiksaan, bukan masanya untuk kita membaca dan menghafal semua fakta dalam buku teks, sebaliknya kita perlu buat ulang kaji dan semakan terhadap buku nota ringkas serta fokus kepada intipatinya,” katanya.

Tiada galang ganti
Sementara itu, Pengetua SMK Tunku Putra, Yazid Zawawi menjelaskan, Habil bukan sahaja permata di sekolah ini, bahkan pelajar harapan yang tiada galang gantinya.

“Habil adalah sebutir permata yang sangat bersinar. Kejayaan dan jasanya menaikkan nama sekolah sangat kami hargai. Paling saya kagum, adalah sifat sopan santun dan adab dia dengan orang sekeliling.

"Sebagai ketua pengawas juga dia dapat mentadbir dengan baik pengawas di bawah seliaannya. Malah, dia sangat dihormati dalam kalangan pengawas dan pelajar di sini," katanya.

Tambah beliau, Habil seorang pelajar yang sangat menghormati guru, bahkan terlalu meminati profesion perguruan.

"Dia pelajar yang cemerlang dan memperoleh skor 10A dalam SPM lalu. Banyak tawaran yang dia dapat, tapi ditolaknya sebab nak jaga emaknya yang kurang sihat.

"Pada masa akan datang, saya tak pasti, sekolah ini akan dapat pengganti sepertinya atau tidak,” katanya.

PROFIL
Nama: Muhammad Habil Selamat
Umur: 19 tahun
Tempat lahir: Hospital Muar, Johor
Asal: Batu Pahat Johor
Cita-cita: Guru
Anak: Ke-3 (bongsu)

Pencapaian
1. Tokoh Kelab Hobi dan Rekreasi 2017 - Peringkat sekolah
2. Naib Johan Pameran Sains Menengah Atas 2017 - Peringkat Sekolah
3. Pengerusi Gold Medal Certificate For ASEAN Quiz competition Grade 10-12 - 2017 Peringkat Antarabangsa
4. Penyertaan The #Neighbourhood Project Short Film Competition 2017 - Peringkat Kebangsaan
5. Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak Antirasuah 2016 - Johan Peringkat Negeri
6. Naib Johan Pertandingan Choral Speaking Bahasa Inggeris 2016 - Peringkat Daerah
7. Pelakon Lelaki Terbaik Pertandingan Drama Komsas Karnival Bahasa Melayu Sekolah - sekolah Menengah Daerah Batu Pahat - 2015
8. Anugerah Mengamalkan Budaya Beradab dan Berbudi Bahasa Peringkat Sekolah (2013,2013,2016)
9. Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2017

Tip Belajar Habil
1. Bangun tengah malam untuk ulangkaji pelajaran.
2. Buat jadual ulangkaji, agar pembelajaran semua subjek seimbang.
3. Rujuk guru sekiranya terdapat kemusykilan.
4. Membuat latih tubi dan memastikan semua kelengkapan untuk belajar lengkap sebelum mengulangkaji pelajaran di rumah.
5. Akhlak dan hubungan dengan guru perlu dipelihara.
6. Keberkatan ilmu penting untuk memperoleh ilmu.
7. Usaha keras tanpa jemu.