SABAN tahun, 16 Mei dijadikan sebagai hari yang sangat berharga buat semua.

Kita mengenang 16 Mei sebagai Hari Guru bagi mengenang jasa dan pengorbanan yang ditumpahkan guru-guru buat anak bangsa kita. Tahun ini, tema Hari Guru yang dipilih ialah ‘Guru: Obor Hemah Menyinari Pertiwi’.

Saya secara peribadi berasa puas dengan tema ini kerana ia diinspirasikan daripada sebuah puisi indah karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said berjudul Obor Hemah.

Perkataan obor menurut Kamus Dewan Edisi Keempat menata dua dimensi maksud berbeza. Satu, secara literal ia bermaksud jamung. Kedua, secara kiasan bermaksud pemberi, penerang, petunjuk atau pembimbing.

Perkataan hemah pula membawa maksud mulia dan budi pekerti.

Apabila kita memanggil seseorang sebagai berhemah bererti seseorang itu disegani dan dimuliakan kerana budi pekertinya yang tinggi. Sinergi dua perkataan ini mendatangkan makna yang sangat indah.

Seorang guru itu adalah pembimbing yang berbudi pekerti atau boleh juga difahami sebagai pembimbing untuk menjadi insan yang berbudi pekerti.

Pertiwi pula istilah yang sangat asli dan mendalam yang membawa maksud tanah air sendiri. Tema ini secara keseluruhannya memotretkan seorang guru sebagai pembimbing yang membaja budi ke dalam diri insan, sekali gus menjadi batu-bata yang penting terhadap pembangunan pertiwi.

Melalui tema ini, kita ingin sama-sama melihat kembali betapa sinonimnya seorang guru terhadap pembinaan negara.

Setiap daripada kita tidak boleh melihat guru hanya sebagai profesion biasa, sebaliknya keringat yang mereka kerah sangat berkait rapat kepada pembangunan dan masa depan negara. Mereka barangkali bukanlah orang yang duduk di dalam bangunan Parlimen membahas segala masalah rakyat.

Ada dalam kalangan mereka cumalah orang biasa yang tidak dikenali dan hanya berulang alik ke sekolah setiap hari.

Namun, setiap langkah mereka, setiap kali mereka masuk ke kelas, setiap detik yang mereka guna untuk mengusahakan alat bantu mengajar sehingga setiap saat yang mereka peruntukkan untuk mendidik anak-anak kita mengenal ABC, ‘alif ba ta’, semuanya adalah titis-titis makna yang jatuh ke ranah pertiwi, langsung menjadi benih lalu tumbuh dan mekar.

Kata penyair Arab Asy-Syauqi: “Bangunlah dan sambutlah seorang guru. Lalu berikanlah penghormatan terhadapnya. Percayalah, hampir-hampir sahaja seorang guru itu menjadi seorang Rasul.”

Jika ditanya kepada saya, siapakah adiwira yang paling agung di seluruh galaksi?

Jawapan saya ialah guru.

Siapakah pahlawan yang paling hebat dari seluruh peradaban? Jawabnya guru.

Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua guru di seluruh negara. Terima kasih di atas segala pengorbanan yang dicurahkan. Hanya Tuhan yang bisa membalas jasa kalian semua.

Doa saya sentiasa bersama kalian.

Obor Hemah

Sajak: A Samad Said,1988

Guru adalah awan indah terbang rendah, 

melimpahkan hujan pada musim gersang,

menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah; ia renjis embun pada tanah bakat,

suara ihsan ketika manusia kalah,

sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,

ketika sejarah dalam bilik darjah,

senyum penyembuh bagi wabak sengsara,

ia - sungai rangsang sentiasa tenang,

menghantar bahtera ke segara dharma,

memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,

mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,

menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,

ia mengemudi biduk, melepaskannya,

atas lambungan laut, merangsangkan

manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,

menghidupkan batin yang bersih

di daerah dunia cemar kasih,

dan pada ketika tak tersangkakan,

walau diambilnya kembali semua buku,

sempat ditinggalkan asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,

penjunjung budi, manusia yang takwa,

obor hemah kehidupan bangsa.

Artikel menarik

'Peningkan nak cuti raya' - Ini jadual pekeliling daripada KPM

Maszlee umum tujuh inisiatif kurang beban guru 

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

'Dalam diam, murid ini solat dhuha di surau sekolah' - Catatan Cikgu Rohizam buat warganet sebak

Patutlah guru-guru ini terima Anugerah Guru Adiwira.. rupa-rupanya ini cerita mereka